Baru-baru ini, negara kita gempar apabila berlaku fenomena gerhana matahari cincin atau turut dikenali sebagai gerhana matahari anulus.
Kali terakhir fenomena ini berlaku di Malaysia adalah pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor.
Setelah 21 tahun berlalu, ia berulang kembali pada 26 Disember 2019 yang lalu bersamaan 29 Rabiulakhir 1441.

Masing-masing tidak mahu lepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena alam yang cukup menakjubkan ini.
Bagi rakyat Malaysia, Tanjung Piai menjadi lokasi cerapan tumpuan, namun ada juga yang sanggup berkampung di negara jiran iaitu ke Pulau Batam, Indonesia.
Lebih mencabar lagi, terdapat juga ahli astronomi yang menjejak gerhana tersebut jauh di negara Oman.
Mendongak Kemudian Menunduk
Sebagai seorang Mukmin sejati, seharusnya fenomena alam seperti ini memberi makna dalam hidup.
Bukankah Allah s.w.t. sendiri telah mengisytiharkan bahawa segala fenomena alam yang berlaku ini adalah untuk diambil iktibar?
Allah berfirman: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.” (QS Al Imran 3: 190)

Malangnya, hanya orang berakal yang disalut keimanan sahaja akan mengambil iktibar daripada semua ini
Bagi golongan yang melihat fenomena alam ini hanya dari sudut saintifik semata-mata tidak akan mengaitkannya dengan kekuasaan Tuhan. Bagi mereka, itu hanyalah fenomena alam yang berlaku secara semula jadi sahaja
Seperti kejadian gerhana matahari baru-baru ini, sebaik sahaja berlaku terus disunatkan untuk mendirikan solat sunat gerhana secara berjemaah di masjid atau surau.
Kemudian, disusuli dengan bacaan khutbah yang rata-ratanya berkisarkan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t.
Kejadian gerhana itu sendiri memberi iktibar kepada kita bahawa sehebat-hebat makhluk yang bernama matahari, akhirnya dikalahkan oleh makhluk yang lebih kecil iaitu bulan.
Begitu juga hidup kita di dunia. Apabila berada di atas, jangan berasa bongkak dan takjub kerana boleh jadi kita akan dimalukan atau diremehkan oleh orang yang biasa-biasa sahaja.
Mereka Juga Mengkaji Langit
Hari ini kita lihat golongan non-Muslim sudah mendominasi bidang aeroangkasa. Melalui kecanggihan teknologi yang dimiliki, pelbagai pencapaian dan penemuan baharu dalam bidang ini telah dilakukan.

Bagaimana pula dengan umat Islam?
Bukankah firman Allah itu ditujukan kepada kita?
Adakah kita tahu bahawa umat Islam juga pernah mendahulu kajian angkasa raya?
Siapa tidak kenal ahli astronomi Muslim yang suatu ketika dahulu karya-karya mereka menjadi rujukan di Barat sehingga ke hari ini.
Berikut antara tokoh astronomi dan sumbangan mereka dalam bidang astronomi:
Muhammad al-Fazari : | Orang Islam pertama membina astrolab. |
Ulugh Beg : | Membina sebuah kompleks cerapan yang besar di Maraghah. |
Al-Marzuki : | Menulis sebuah karya ensiklopedia astronomi berjudul al-Azminah wa al-Amkinah. |
Al-Battani : | Mengira bilangan hari setahun takwim Masihi hampir tepat dengan kiraan moden. |
Al-Biruni : | Mencerap dan membuat kajian tentang fenomena gerhana. |
Itulah yang difahami oleh umat Islam silam. Mereka tahu betapa dengan memerhati alam sekeliling terutamanya langit akan memberikan pelbagai hikmah dan membongkar rahsia betapa Allah s.w.t. Maha Berkuasa.
Akhirnya terucap di mulut mengakui kebesaran dan kehebatan-Nya
Mereka juga memahami firman Allah: “Dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.”’ (QS Ali ‘Imran 3: 191)
Lihatlah kata seorang ahli astronomi Muslim bernama Syeikh Zakariya al-Qazwini ketika menukilkan pendahuluan kitabnya, Aja’ib al-Makhluqat wa al-Ghara’ib al-Mawjudat:
Yang dimaksudkan dengan memandang itu ialah berfikir tentang perkara yang boleh diterima akal dan melihat kepada benda-benda yang dapat dikesan dengan pancaindera.
Termasuk juga mencari hikmah agar tersingkap hakikat kebenaran. Itulah sebab kelazatan duniawi dan kebahagiaan ukhrawi.
Kembali Pelajari
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersikap terlalu skeptik terhadap ilmu astronomi moden yang terlalu didominasi Barat?
Penyelesaiannya, kembali mempelajari astronomi semula!
Setidak-tidaknya, ilmu astronomi asas yang disebut sebagai falak syarii perlu dikuasai semula oleh umat Islam walaupun kini pihak berwajib seperti jabatan mufti memiliki jawatankuasa falak mereka.
Sungguhpun ia tidaklah sepenting ilmu fardu ain, tetapi penghayatan terhadap kehebatan ciptaan Allah, itulah yang penting
Tujuannya agar ibadah yang dilakukan tidak hanya menjadi ritual semata-mata tanpa penghayatan.

Antara langkah pertama yang boleh diambil:
- Sertai program cerapan langit malam anjuran Planetarium Negara bersama anak-anak.
- Hadiri kelas-kelas falak syarie anjuran masjid atau institusi tertentu.
- Aplikasi ilmu yang telah dipelajari seperti menyemak arah kiblat ketika fenomena matahari berada betul-betul di atas Kaabah serta mengira waktu solat menggunakan bayang-bayang matahari.
Percayalah, apabila kita cuba lakukan ketiga-tiga langkah ini, kita dapat merasakan betapa dekatnya umat Islam dengan angkasa.
Semuanya bagi menyahut seruan Allah s.w.t. untuk memerhati dan mengambil iktibar daripadanya.
Rujukan:
Al-Qur’anul-Karim, Al Imran: 190-191