,

Meskipun Matanya Buta, Tetapi Mata Hatinya Tetap Teguh Bersinar, Dialah Srikandi Zinnirah..

Di dalam sejarah Islam, selain daripada perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda, kaum wanita juga merupakan tulang belakang di sebalik perjuangan menegakkan Islam. Nama-nama seperti Siti Khadijah Khuwaylid, Saidina Aisyah, Fatimah merupakan nama-nama yang seringkali diceritakan melalui lisan atau bertulis.

Tetapi nama Zinnirah Arumiah agak begitu asing dari pengetahuan kita. Namanya cukup indah dan unik. Wanita ini rela menggadaikan dirinya demi kecintaannya pada Allah dan Islam. Wanita ini telah dicucuk matanya dengan besi tajam dan menyebabkannya buta.

Zinnirah, begitu indah namanya, mungkin tidak ramai yang tahu kisah ketabahan dan keagungan cintanya kepada Allah SWT. Wanita ini tidak terkenal di dunia, tidak mempunyai harta apalagi memiliki pangkat yang besar. Namun, Allah SWT memuliakan dan memberi penghormatan yang tinggi kepadanya.

Kenapa digelar Zinnirah Arumiah? 

Zinnirah adalah seorang gadis yang berasal dari Rome. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

Zinnirah adalah di antara orang yang terawal memeluk islam semasa zaman penentangan islam pada peringkat awal dakwah Rasulullah SAW. 

Beliau menerima Islam dari salah seorang daripada hamba yang senasib dengannya. Hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulluah SAW. Penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk Islam.

Pada peringkat awal, Zinnirah cuba menyembunyikan pengislamannya daripada diketahui oleh Umar. Dia melakukan ibadah ketika orang lain tiada di rumah atau pada waktu tengah malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Namun, lama kelamaan amalan solehahnya dapat dicium oleh musuh.

Sudah tentu orang yang paling marah ialah tuannya sendiri iaitu Umar. Siapakah yang tidak kenal dengan Umar al-Khattab yang terkenal dengan sikap kejam, bengis, ganas, garang, tidak berhati perut, tidak berperikemanusiaan itu. Umar terus menampar Zinnirah, menendang, mengikat kedua belah kaki tangan Zinnirah. Kemudiam, dijemur di tengah panas mentari. Bayangkanlah antara seksaan yang dihadapinya. Sungguh panas padang pasir pada waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam, badannya dihempap dengan batu besar dan 1001 macam penyeksaan yang diterimanya.

Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan “Allah, Allah, Allahu Albar, Allah lah yang Maha Besar”.

Dan hatinya berbisik, “Ini untuk-Mu wahai Tuhan, aku membeli kesusahan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat.” Begitulah ungkapan katanya yang menjadi penawar untuknya.

Kemuncak penyeksaan yang diterima oleh Zinnirah ialah matanya dicucuk dengan besi tajam dan akhirnya gelaplah seluruh pandangan. Hatinya masih mampu berbisik:

“Tuhan, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama-Mu ini Tuhan. Semakin aku diuji, semakin terasa kehebatan dan keagunga-Mu Tuhan. Panahan cinta dari-Mu itu makin menguatkan diri ini untuk menerima apa sahaja. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada orang yang menyesaku ini.”

Ternyata betullah, doa orang yang teraniaya ini makmul. Akhirnya Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah Allah SWT melalui adiknya, Fatimah.

Zinnirah, walau matanya buta untuk melihat alam maya tapi hatinya tidak buta untuk menerima cahaya kebenaran Islam. Pandangan hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari Tuhan mereka iaitu, latta dan uzza.

Zinnirah menolak penghinaan itu. Baginya kedua berhala itu tiada sedikitpun kena mengena dengan matanya. Dia cuba meyakinkan mereka bahawa masalah buta itu adalah datang daripada Allah SWT. Maka Allah lah yang berkuasa mengembalikan pancainderanya seperti biasa.

Berlakulah sedikit kekecohan, orang-orang Quraisy mencabar Zinnirah kerana mempertahan dirinya. Umar pula sudah berhenti menyeksa kerana bosan melihat ketabahan hatinya.

Hambanya tidak mahu sedikitpun berganjak daripada keimanan kepada Allah S.W.T. Tiada siapa yang boleh menolak ketentuan Tuhan. Apabila Allah S.W.T mengambil sekejap nikmat mata, kemudian memulangkannya semula kepada Zinnirah. Allah S.W.T menggantikannya dengan mata yang lebih baik. Zinnirah boleh melihat seperti biasa, lebih terang daripada matanya yang asal.

Demikianlah pertolongan Allah S.W.T kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya. Tidak lama kemudian, Saiyidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga tinggi. Terselamatlah dia daripada menjadi penindasan orang-orang kafir.

 

Di antara sifat wanita yang solehah ini, dia sentiasa merasa Allah S.W.T memerhatikan dirinya, setiap detik dan saat. Apabila nafsunya mengajak berbuat sesuatu perkara yang mungkar, segera pula hatinya bertindak balas dengan mengatakan Allah S.W.T Maha Melihat. Nafsu yang mahu berbuat segera ditepis dengan katanya," Wahai nafsu mengapa engkau tidak takut dengan neraka?".

Hati Zinnirah sentiasa terpimpin, begitu juga dengan akhlaknya. Hasilnya, hati dan jiwa merasa aman daripada kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.

Marilah kita berazam dengan membulatkan sepenuh pengharapan memohon pada Allah S.W.T supaya sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah. Sekiranya diuji dengan pelbagai dugaan biarlah hati kita setabah Zinnirah. Biarlah iman kita sekuat dirinya. Biarlah hati kita terus celik. Inilah idola kita, Zinnirah.

Sumber: Ustaz Naim