, ,

“Cinta Dunia Telah Hilang Dari Diriku” Harithah Bin Syuraqah

Pada suatu hari, ketika Nabi Muhammad SAW berjalan di Kota Madinah, baginda berselisih dengan seorang sahabat yang bernama Harithah bin Syuraqah. “Harithah! Bagaimana keadaanmu pagi ini?” baginda bertanya.

“Ya Muhammad! Pagi hari ini aku telah mencapai hakikat keimanan. “Jawab Harithah.

Mendengar jawapan tersebut, Nabi Muhammad bertanya.

“Apakah buktinya dan dimanakah bukti hakikat keimananmu?”

“Cinta pada dunia telah hilang dari dalam diriku sehingga nilai emas dan batu sama sahaja di mataku. Dalam mataku seolah-olah dengan jelas dapat melihat Arasy Tuhan, penghuni syurga mendapatkan nikmat di syurga manakala penghuni neraka menerima azab di neraka.

“Ya Rasulullah! Pada waktu malam aku bermunajat dan di siang aku berpuasa.” kata Harithah.

“(Engkau adalah) hamba Allah yang telah memperoleh cahaya di hatimu. Harithah, engkau telah menerimanya, maka jadikanlah ianya sebagai amalan, “kata Nabi kepadanya.

“Wahai Rasulullah! Tuan doakanlah aku mati syahid.” Kata Harithah.

Kemudian, Nabi pun mendoakannya.

Kebetulan pada hari itu Nabi dan para sahabat keluar memerangi orang kafir Quraisy di Perang Badar.

Harithah tidak menyia-nyiakan kesempatan untukknya berjihad sebaik mungkin di Medan itu.

Jumlah tentera orang kafir lebih daripada 950 orang sedangkan tentera muslim hanyalah 313 orang, tanpa memiliki senjata hebat.

Akhirnya sebuah anak panah, yang tidak diketahui  siapa yang melepaskannya, mengenai tubuhnya dan ia tewas menemui syahid seperti yang didoakan Nabi SAW.

Namun begitu, Allah memberikan kemenangan kepada mereka apabila 70 orang kafir quraisy terbunuh manakala 70 yang lain ditawan. Seramai 14 orang sahabat mati syahid dan Harithah adalah salah seorang daripada mereka.

Ketika pasukan muslim kembali ke Madinah dengan membawa kemenangan, ibu Haritsah, Ummu Rubayyi' binti Bara', yang telah memperoleh berita kalau anaknya tewas dalam perang Badar tersebut, bergegas menemui Nabi SAW, dan berkata:

“Wahai Rasulullah, dimanakah anakku Harithah?”

“Wahai ibu Harithah! Bersabarlah, sesungguhnya anakmu terbunuh dijalan Allah,” jawab Nabi.

Ibunya mengulangi pertanyaan tersebut dan dijawab dengan jawapan yang sama. Untuk kali ketiga, ibu Harithah bertanya, “Ya Rasulullah, aku tahu anakku terbunuh di jalan Allah kerana itu yang diinginkannya. Tetapi di mana anakku berada, di syurga ataupun neraka?”

“Wahai ibu Harithah, apakah engkau tidak tahu? Sesungguhnya syurga itu bukan hanya satu tetapi banyak tingkatannya. Dan sesungguhnya anakmu telah mencapai syurga Firdaus, iaitu syurga yang paling tinggi,” jawab Nabi.

Ibu Hartihah berasa gembira mendengar berita itu. Ahli tarikh meriwayatkan bahawa ketika Haritah terbunuh, dia berusia 17 tahun.