, ,

Husnudzon Atas Apa Yang Ditakdirkan Oleh Allah SWT

Manusia dalam hidupnya akan sering berhadapan dengan ujian dan masalah. Ketika masalah belum selesai, ketika ujian datang bertalu-talu, penting untuk kita berhusnudzon dalam setiap perkara. 

Sebaiknya berprasangka baiklah sama ada sesama manusia atau pada Allah SWT yang Maha Pencipta.

Kenapa penting untuk kita berbaik sangka pada Allah SWT? Sebab Allah adalah yang menciptakan manusia dan seluruh alam semesta.

Berbaik sangka kepada Allah SWT dan selalu menyedari bahawa ketetapan yang kita terima dari Allah SWT adalah ketetapan terbaik yang ditentukan oleh Allah SWT.

Jika Allah SWT menimpakan musibah pada suatu kejadian, berbaik sangka kepada Allah bahawa Allah mendatangkan musibah tersebut untuk memberi hikmah yang agung dan sempurna.

Walaupun kita sebagai manusia tidak memahami kebaikan tersebut dan tidak memahami hikmah terhadap kebaikan tersebut, wajib bagi kita semua untuk menerima ketentuan Allah SWT yang berupa takdir-Nya. 

Dengan berbaik sangka kepada Allah, segalanya akan menjadi baik. Fikiran kita akan sentiasa tenang dan tidak akan dibebani serta tidak berada dalam ketakutan.

Redhalah..redhalah terhadap ketentuan Allah…

Kita perlu redha dengan segala yang telah ditetapkan oleh Allah. Rela menerima kenyataan walau sepahit mana pun hakikat.

“Sungguh mengagumkan keadaan seorang Mukmin, segala keadaan yang menimpanya dianggap baik. Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur dan apabila ditimpa musibah dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya..”

(HR Muslim)

Begitu juga jika apabila kita melakukan perbuatan dosa kemudian bertaubat kepada Allah SWT.

Lalu bertekadlah kita dengan bersungguh-sungguh tidak mahu mengulangi lagi perbuatan dosa itu.

Yakinlah bahawa Allah SWT akan menerima amal kita dan memaafkan dosa kita kerana Allah SWT telah berjanji akan menerima taubat yang benar dan amal yang soleh dari hamba-Nya.

Sedangkan kalau kita tidak yakin atau menyangka bahawa Allah selalu mendatangkan ujian pada kita dan berprasangka bahawa Allah SWT tidak pernah mahu memakbulkan akan doa kita, maka hal itu termasuk putus asa terhadap rahmat dan nikmat kurniaan Allah SWT. Itu antara dosa besar.

Maka hendaklah kita bertaubat atas prasangka itu. Semoga Allah mengampuni.

Dari Jabir radhiallahu anhu dia berkata, Aku mendengar Nabi sallallahu’alaihi wa sallam tiga hari sebelum wafat bersabda:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ  ( رواه مسلم، رقم  2877 )

 “Janganlah salah satu di antara kalian meninggal dunia kecuali dia berprasangka baik kepada Allah.” (HR. Muslim, 2877)

Berbaik sangkalah kepada Allah, maka Allah pun akan memberi kebaikan kepadamu. Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun, mengampuni dosa hamba-Nya.

Berharaplah kepda Allah untuk meminta apa saja yang engkau butuhkan selama itu masih berupa kebaikan untuk mencari redha-Nya.

Jangan tutup harapan dan kecerahan masa depanmu hanya kerana engkau tidak yakin bahawa Allah akan menolong hidupmu.