Jom kita lihat semula kisah ketika Rasulullah mendapat wahyu pertama di Gua Hira’. Bagaimana respon Khadijah sebagai isteri pada ketika itu?
Ketika Rasulullah pulang ke rumah dalam keadaan takut dan minta diselimutkan, Khadijah terus melakukannya tanpa mempersoalkan apa-apa pun.
Kalau nak ikutkan, sebagai seorang isteri, pastilah si isteri akan banyak bertanya, contohnya: “Abang, apa yang berlaku? Kenapa ni? Abang tak apa-apa?” Namun, Khadijah tidak terus ‘menyerang’ suaminya dengan soalan yang bertubi-tubi kerana Khadijah mengutamakan kehendak suaminya terlebih dahulu berbanding kehendaknya sendiri.
Setelah itu, Khadijah juga menghiburkan Rasulullah dengan memberikan pujian: “Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan menghinakanmu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, kamu telah menyambung tali persaudaraan, berbicara jujur, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, menjamu tamu dan sentiasa membela faktor-faktor kebenaran.”
MashaAllah… betapa tenangnya sikap Khadijah sebagai isterinya, jika diikutkan zaman sekarang ni pasti ada saja si isteri yang bersikap kasar, contohnya: “Haa, itulah! Saya dah cakap jangan keluar rumah, degil… abang nak keluar juga, padan muka…”
Bukan sekadar menenangkan suami, malah Khadijah juga turut memberikan cadangan yang bernas iaitu dengan cara berjumpa Waraqah bin Naufal yang merupakan sepupu Khadijah untuk bercerita mengenai peristiwa yang dihadapi Rasulullah.
Begitulah antara ciri-ciri isteri yang solehah, isteri yang menjadi bidadari syurga bagi suami, apabila mengutamakan kehendak suami berbanding kehendak sendiri, memberi ketenangan kepada suami dan berusaha untuk mencari jalan keluar bagi masalah yang dihadapi suami.
Nota kaki : Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid. Layari https://t.me/aizuddinhamiid untuk perkongsian bermanfaat.