,

Sia-sia Dan Rugi Amalan Jika Begini!

Dalam pada kita berasa selesa dan seronok dengan ibadah kita yang semakin kerap, kita kadangkala terlepas pandang dengan urusan di sekitar kita.

Iaitu hubungan baik dengan manusia di sekeliling. Jika kita sudah hablumminallah, bagaimana pula dengan hablumminannas?

Kita terlupa yang dalam Islam bukan saja hubungan dengan Allah perlu dijaga, namun hubungan dengan manusia perlu dipelihara juga.

Pastinya kita tidak mahu amalan yang kita lakukan hanya sekadar sia-sia.

Antara sikap yang rugi kita miliki walaupun kita banyak beribadah:

  • Takbur

Takbur adalah sikap mudah memandang hina orang lain dan merasa diri lebih mulia dan baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga, siapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah rasa takbur!” Seorang sahabat bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang elok-elok?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Allah itu Maha Cantik dan suka akan kecantikan. Takbur adalah menolak kebenaran (kerana ego) dan menghina orang lain.“ (Hadis riwayat Muslim)

  • Hasad

Hasad adalah perasaan tidak selesa melihat orang lain beroleh nikmat.

Sebaliknya dia mengharapkan agar nikmat itu lenyap daripada saudaranya. Moga sifat ini kita dapat jauhi.

Rasulullah SAW bersabda: “Berwaspadalah kamu tentang hasad! Sesungguhnya hasad memakan semua kebaikan sebagaimana api memakan kayu.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

  • Menghina saudara muslim

Jangan memandang hina orang lain. Sedangkan Allah sendiri mengampunkan hamba-Nya.

Siapalah kita, hamba yang begitu banyak kelemahan ini untuk menghina orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang dikira melakukan kekejian dengan menghina saudara Muslimnya!” (Hadis riwayat Muslim)

  • Bergaduh

Adalah sangat penting untuk kita menjaga hubungan baik di antara satu sama lain.

Daripada  Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Semua dosa hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu akan diampuni, kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya terdapat kebencian dan perpecahan (bersengketa).” Lalu dikatakan kepadanya: ‘Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai! Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai!’ (Hadis riwayat Muslim)

Malahan pernah juga diceritakan pada zaman Rasulullah SAW dahulu, ada pemuda yang masuk syurga walaupun ibadahnya biasa sahaja.

Antara amalan yang dilakukannya adalah tidak menyakiti hati orang lain (dengan selalu berbaik sangka), memaafkan kesilapan orang dan juga menjaga silaturrahim.

Benar, kita hari ini sebagai umat akhir zaman, perlu sentiasa memperbanyakkan ilmu dan amalan, namun jangan pernah sesekali mengabaikan hak orang di sekeliling kita.

Jagalah baik-baik pancaindera kita seperti mulut dan tangan terutamanya daripada melukakan hati orang lain.

Elakkanlah menjadi rugi dan muflis di akhirat kelak dengan pahala kita akan diberikan kepada orang yang kita zalimi atau aniaya.

Lindungilah diri kita dan ahli keluarga kita serta semua orang Islam daripada azab api neraka.

Moga kita dipermudahkan semuanya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Pernah terlibat dengan beberapa buah antologi cerpen & puisi. Buku terkini beliau ialah Bianglala Melukis Syurga (antologi puisi kemerdekaan bersama dengan rakan-rakan penulis). Beliau juga aktif menulis di blog beliau: https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%