, , ,

Selamat Pengantin Baru Wahai Sahabatku

Alhamdulillah syukur pada Tuhan kerana dalam waktu yang terdekat ini aku menerima beberapa berita gembira bahawa ada dalam kalangan sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga.

Pertama-tamanya aku ingin menyatakan ucapan tahniah atas perkahwinan korang. Moga-moga perkahwinan yang dibina di dalamnya ada rahmat dan keberkatan yang besar.

Kesempatan ini aku ingin titipkan beberapa perkara supaya kita semua termasuk aku sendiri mendapat kebaikan kelak.

Anggaplah ia sebagai hadiah pemberianku yang kecil kepada seorang sahabat yang sangat bermakna dalam kehidupan aku.

Wahai sahabatku, sesungguhnya mulai detik ini betulkan niatmu untuk mengambil seorang insan menjadi sebahagian dalam hidupmu.

Kerana itu adalah lambang permulaan yang baik bagi pengakhiran yang mulia. Kerana Allah telah menghalalkan dia dengan kalamNya yang agung dan dengan niat yang ikhlas keranaNya maka tercapailah maksud.

Ingatlah hidup ini ada peringkatnya, jika kita berjaya melintasinya maka kita akan berjaya dan bahagia. Kata Hamka:

“Bahawasanya perkahwinan adalah suatu tujuan yang suci dari segenap lelaki dan perempuan. Tiga kali kita menyeberang hidup, apabila ketiga kalinya telah terseberangi dengan selamat, bahagialah kita. Pertama hari kelahiran, hari suci. Kedua hari perkahwinan, hari bakti. Ketiga hari kematian, hari yang sejati.”

Tanggungjawab

Wahai sahabatku, janganlah engkau lupa bahawasanya di bahumu nanti ada perkara yang akan dipertanggungjawabkan.

Pada badan manusia itu ada dua berkara, pertama jasad dan yang kedua adalah roh.

Kedua-dua perkara pada isterimu itu hendaklah engkau jaga kerana jasadnya itu perlukan perlindungan dan penjagaan daripadamu manakala bagi roh itu janganlah engkau membebankan dia dengan rasa susah hati dan berusahalah untuk mengembirakan dia kerana itu adalah haknya.

Kerana itu hendaklah engkau bersabar.

Ingatlah, matlamat utama Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kita adalah supaya kita tidak menjadi bahan bakaran api neraka.

Wahai sahabatku, hendaklah engkau berusaha bersungguh-sunngguh memastikan keluarga dan orang yang di bawah jagaanmu selamat daripada azab api neraka.

Kerana Allah SWT berfirman merujuk kepada ketua keluarga:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada azab api neraka…” (Surah At-Tahrim: 6)

Oleh itu, hendaklah engkau insaf kerana sesungguhnya apa yang dirimu tanggung itu adalah berat dan kelak akan dipersoalkan di hadapan Tuhan pencipta Alam.

Kepada Isteri

Kepada Isteri, Rasulullah SAW menyatakan ramai dalam kalangan wanita kecundang di akhirat kelak lantaran tidak taat kepada suaminya.

Taat kepada suami itu adalah wajib selagi mana tidak melangar tuntutan syarak. Sesungguhnya mentaati perintah suami itu bermakna mentaati perintah Allah swt.

Rasulullah SAW menyatakan: “Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada seorang wanita yang enggan berterima kasih kepada suaminya dan kepada wanita yang tidak merasa memerlukan suaminya.” (hadith riwayat al-Nasa’ie dan al-Baihaqi)

Bantulah suami kamu dalam agamanya kerana ia satu kemuliaan yang akan kamu nikmati bersamanya kelak.

Janganlah kamu rasa terbeban dengan apa yang kamu pikul kerana tanggungjawab seorang isteri itu memanglah besar dalam rumah tangga.

Oleh itu, bantu-membantulah dan patuh kepada suami kerana mustahil satu kapal dipandu oleh dua juragan. Dari Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Seseorang lelaki itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan selepas takwanya kepada Allah SWT lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, ia taat, jika suaminya melihat kepadanya, ia menyenangkannya, jika bersumpah, nescaya ia dapat membuktikannya dan jika di tinggalkan pergi oleh suaminya, ia menjaga diri dan menjaga hartanya.” (Hadith riwayat Ibn Majah)

Sahabat Seperjuanganmu Menempuh Hidup

Sahabatku, janganlah engkau berkahwin hanya dipupuk sifat cinta sahaja.

Kerana ramai di luar sana gagal menilai hakikat sebuah perhubungan yang baik kerana mereka beranggapan hanya dengan cinta mereka akan bahagia.

Sebenarnya tidak.

Mereka lupa bahawa cinta itu hanyalah satu juzuk yang sangat kecil yang mana ada pada binatang lain juga. Kata Buya Hamka dalam karya Falsafah Hidup:

“Kalau hanya semata-mata cinta, daerahnya terlalu sempit. Tetapi persahabatan mempunyai daerah lapangan yang amat luas, dalam mengharungi lautan hidup yang tiada tentu di mana tepinya ini. Beroleh kemenangan lantaran bertambah seorang sahabat, lebih mahal harganya daripada kemenangan mendapat balasan cinta.”

Ingat, sesungguhnya perkataan “sahabat” itu mempunyai makna yang luas.

Di situ ada sifat percaya, berasa susah hati apabila pasangannya dalam kesusahan, bergembira apabila pasangannya dalam kegembiraan dan menjadi petunjuk apabila pasangannya kehilangan arah dalam meneruskan kehidupan.

Maka jadikanlah diri kamu sebagai sahabat utama dalam kehidupan pasangan kamu. Hendaklah engkau ingat, perkahwinan bukan semuanya manis dan indah tetapi penuh dengan ujian untuk memperlihatkan engkau sama ada dirimu adalah hamba yang berjaya atau sebaliknya.

Inilah yang difirmankan Allah SWT di dalam Al-Quran:

“Dia lah yang yang mentakdirkan adanya mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Mulk: 2)

Penyejuk Di Mata, Penenang Di Hati

Sahabatku, sesungguhnya harta yang paling berharga dimiliki oleh seorang suami adalah memiliki isteri yang apabila melihatnya, tenang tenteram hati kita.

Kerana dunia ini sentiasa menyebabkan hati kita gundah-gulana lantaran sifat dunia itu sendiri memang begitu.

Kerana itu isteri yang baik akan menyebabkan kita sentiasa tenang apabila bersamanya lantaran itu dia membantu kita bertakwa kepada Tuhan.

Kerana itu mohonlah kepada Allah SWT supaya engkau memperoleh kurniaan yang agung itu selepas solat dengan ucapan:

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Sesungguhnya sahabat nabi yang agung, Umar Bin Khatab pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, harta apakah yang seharusnya kita Miliki?” Rasulullah SAW menjawab,

“Hendaklah di antara kalian memiliki hati yang bersyukur, mulut yang sentiasa berzikir dan isteri solehah yang akan menolongmu dalam perkara akhirat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jika engkau perolehi itu, engkau telah memiliki dunia dan seisinya. Kerana manusia itu tidaklah sentiasa di atas, pasti dia akan di bawah.

Ketikamana engkau dalam kesusahan dan pada waktu itu di samping engkau ada teman yang sentiasa membuatkan engkau tersenyum melihatnya, itu sudah cukup menjadikan kita bahagia.

Kerana dalam hubungan itu terwujudnya sifat kasih sayang antara kamu berdua. Renunglah firman Allah SWT:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.(Surah Al-Rum: 21)

Kepada Kamu Berdua

Wahai sahabatku, apabila kamu berselisih hendaklah kamu bermusyawarah dengan cara yang baik agar apa yang diputuskan itu ada kerharmonian pendapat.

Ingat, sesungguhnya kita masing-masing mempunyai banyak kelemahan, berusahalah untuk redha dan lihat kelebihan masing-masing dan melihat kelemahan pasangan dengan pandangan yang positif.

Carilah rezeki yang halal kerana ia mewujudkan keberkatan dalam kehidupan.

Elakkan daripada berhutang supaya engkau tidak memiliki jiwa hamba kepada manusia lain dan supaya engkau menjadikan jiwamu yang tenang dalam menempuh kehidupan.

Selalu hadirkan diri dalam majlis ilmu walaupun sekali seminggu kerana ia merupakan jalan untuk menyingkap makrifat Tuhan dan supaya engkau tahu tujuan engkau diciptakan.

Wahai sahabatku, sentiasalah berusaha menapak kakimu ke masjid kerana antara nikmat yang indah dalam berkeluarga adalah kamu berdua melakukan kebaikan bersama-sama.

Semoga Himpunan Kamu Berdua Dalam Keberkatan

Sahabatku, sesungguhnya aku adalah insan yang banyak melakukan kesalahan dan dosa.

Moga-moga dengan sedikit tinta nasihat ini menjadikan kita sahabat yang sentiasa membantu dalam urusan dunia dan akhirat. Kerana aku menyayangi kamu kerana Allah.

Akhir kalam Semoga perkahwinan yang dibina dapat menatijahkan satu rumah tangga idaman iaitu “Baiti jannati”.

Dan akhir sekali aku doakan kepada korang semua dengan doa Rasulullah SAW kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dengan kalam:

“Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan ke atas kamu (dalam masa senang dan susah), serta semoga kamu berdua disatukan dalam kebaikan. (Hadith riwayat Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Tahniah Sahabatku!!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru. Merupakan pelajar tahun akhir Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syafiq Alfatih (Muhamad Syafiq bin Salim).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.