Rasulullah bersama para sahabat berbincang mengenai cara terbaik untuk membangunkan orang yang tertidur dan mengingatkan orang yang terlupa mengenai solat.
Jadi, ada beberapa pandangan yang diberi, antaranya ialah:
- Mengangkat bendera ketika masuk waktu solat supaya orang lain nampak, tetapi idea itu ditolak kerana tidak mampu mengejutkan orang tidur dan orang yang terlupa.
- Menyalakan api di dataran tinggi, tetapi ia juga ditolak.
- Menggunakan trompet seperti yang dilakukan Yahudi, tetapi Rasulullah tidak menyukainya kerana seolah-olah menyerupai amalan bukan Islam.
- Menggunakan loceng seperti yang dilakukan Nasrani, tetapi Rasulullah juga tidak bersetuju.
Setelah itu, ada idea untuk mengumandangkan seruan atau ajakan ketika waktu solat telah masuk.
Salah seorang yang diberi tugasan tersebut ialah Abdullah bin Zaid Al-Anshari. Dengan izin Allah, Abdullah bermimpi ada seseorang mengajarnya kalimah-kalimah di dalam azan.
Lalu, Abdullah terus bercerita kepada Rasulullah, dan Baginda mengatakan mimpi itu benar. Kemudian, Rasulullah meminta Abdullah supaya mengajar Bilal bin Rabah kalimah-kalimah azan kerana Bilal mempunyai suara yang paling tinggi.
Setelah azan dilaungkan, Umar Al-Khattab juga mengatakan kepada Rasulullah bahawa dia juga bermimpi yang sama.
Sejak itu, Bilal menjadi salah satu juru azan di Madinah, termasuk juga Abdullah bin Ummi Makhtum.
Bilal juga menambah beberapa kalimah ketika azan Subuh mengenai ‘solat itu lebih baik daripada tidur’, lalu Rasulullah bersetuju dengan perkara itu.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)