,

Saya Terpaksa Berundur Diri Untuk Mengelak Fitnah

Selagi yang bernama insan berakal fikiran waras, punya rasa cinta. Tidak bisa menafi tidak bisa menolak. Tidak bisa diramal tidak bisa ditafsir mata kasar.

Entiti wujud tidak kelihatan. Hanya mampu merasa, hanya mampu diselami dengan mata hati. Sungguh cinta itu rahsia. Namun seabstrak mana pun cinta, di sisi Tuhan tiada rahsia.

Sebuah epilog cinta pandang pertama yang amat dekat dengan jiwa saya. Kerana sayalah organ penghidu rasa paling intim tertanam di jasad.

Sekiranya dirobek dada dicabutnya saya, tamatlah riwayat si empunya jasad. Semestinya saya seketul hati yang terpalit dengan asam garam kehidupan.

Sakitnya dia, tiada siapa bisa merasa. Saya – hati sering menemaninya sendirian menanggung duka. Menanggung perit jerih patah saya – hati, patah semangat hilang punca.

Saya amat memahami segala apa yang dirahsiakannya. Siapakah nama si empunya jasad? Encik Rahsia namanya.

Demi melanjutkan kisah cinta ini, terpaksalah saya – hati menghubungi saudara saya – hati yang paling atas sekali, si organ otak yang telah beribu kali menolak membicarakan soal ini. Dengan hasrat yang jitu, saya – hati memberanikan diri memujuknya kembali ke masa silam.

“Kau merayu, merintih beribu kali sekali pun. Tidak akan aku peduli!”

Saya – hati tidak putus asa memujuk dan membujuk. “Alahai, otak. Kasihanilah aku. Kali ini saja.”

“Kerana aku kasihani kaulah, aku enggan. Pasti kau akan terluka dan terhiris nanti!” Otak tegar menolak.

Tanpa otak menduga, secara mengejut Encik Rahsia membenarkan penuh rela. “Tidak mengapa otak. Buat kali ini saja, aku izinkan.”

Kisahnya telah menjadi lipatan sejarah. Berlaku hampir dua dekad yang lalu. Saat itu, Encik Rahsia masih bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan.

Dalam diam, dia meminati seorang murid baharu, si gadis ayu seputih salju, bernama Jamilah (bukan nama sebenar). Jamilah adalah anak kepada seorang penjawat awam yang baru berpindah tugas di sebuah institusi kerajaan berhampiran.

Sejak kali pertama Jamilah memasuki kelas Delima, saya – hati berdebar-debar tidak tentu rasa, degupan jantung turut kencang. Dari mata Encik Rahsia turun ke saya – hati, terpesona dan terpaku.

Di matanya, Jamilah adalah gadis paling manis, paling anggun, paling cantik dalam dunia ini. Jamilah ibarat permata bersinar yang memukau.

Mengelamun jauh di awan-awangan, terhempas jatuh di lautan cinta.

Namun, bahasa tubuh menzahirkan sebaliknya, jual mahal seolah-olah tidak peduli, tidak tertarik langsung dengan Jamilah. Hanya curi-curi melihat si gadis ayu seputih salju itu di dalam kelasnya.

Mereka berdua boleh dikatakan jarang bertegur sapa. Kerana Encik Rahsia merupakan spesis pemalu mengalahkan gadis pingitan, cukup gementar untuk mendekat.

Semasa di sekolah, Jamilah sering diusik dengan seorang rakan sekelas lelaki yang lain, Farid (bukan nama sebenar). Mereka berdua digelar bagai merpati dua sejoli, bagai pinang dibelah dua dan berbagai macam lagi.

Meskipun di saat itu, saya – hati meletus bagai letusan gunung berapi membuak-buak, berpunca daripada kecemburuan Encik Rahsia sendiri. Dia terus tegar enggan mendekati Jamilah serta memikat hatinya.

Sehingga suatu saat, takdir Ilahi memisahkan Encik Rahsia dengan Jamilah. Kerana sebuah penyakit serius telah menimpanya.

Encik Rahsia sudah tidak bisa lagi bersekolah di atas keterbatasan fisiologinya. Saya – hati amat berasa dukacita akan dugaan membelenggunya.

Namun, Encik Rahsia memerintahkan si organ otak agar menyeru saya – hati terus cekal dan tabah serta abaikan segala kegusaran mencengkam jiwa.

Saya – hati yang setia menurut perintah, akur segala arahan Encik Rahsia agar pasrah dan redha akan dilema cinta serta kesukaran kesihatan menimpanya.

Setelah itu, saya – hati mengajak otak bergerak menuju ke saat Encik Rahsia dan kami berdua turut sudah dewasa.

Seawal kemunculan sebuah laman sosial bernama Facebook, entah mengapa tiba-tiba Encik Rahsia seakan terkenang nostalgia semasa zaman persekolahannya bersama Jamilah si gadis ayu seputih salju.

Getus saya – hati, “Inilah peluang keemasan buat Encik Rahsia mencari Jamilah! Kemudian saling bertegur sapa dengannya.”

Lantas, sinar suria kembali menyinari laman saya – hati serta mendamaikan lautan jiwa Encik Rahsia yang bergelora. Dia berusaha penuh semangat mengesan Jamilah di Facebook.

Saban hari terus berlalu, siang dan malam silih berganti, Encik Rahsia tidak putus asa mengesan Jamilah.

Namun, masih tidak menemui. Encik Rahsia sudah mulai buntu.

“Mungkin Jamilah menggunakan nama samaran??”

Encik Rahsia mengelamun bagai pungguk rindukan bulan, langsung tidak mengendahkan cetusan teori si otak itu. Saya – hati gusar dan risau kerana harapan menggunung tinggi seakan punah sekelip mata.

Encik Rahsia mengeluarkan arahan kepada otak dan saya – hati, agar menutup kes serta menamatkan gerakan pencarian.

Hari demi hari terus berlalu, tanpa terduga bagai bermimpi di siang hari, Jamilah berjaya ditemui secara tidak sengaja dalam Facebook rakan sekolahnya yang lain.

Saya – hati mula berbunga-bunga, senyuman manis terukir di wajah Encik Rahsia.

“Encik Rahsia ke ni?” Jamilah menyapa penuh mesra.

Encik Rahsia tersipu-sipu malu membalas. ”Iya, saya.”

Mereka berdua beramah mesra, kembali menjalin persahabatan. Sering berhubung bertanya khabar.

Bahagia mula bertandang penuh erat. Langit yang kelam kini bersinar dari sirna. Namun, sinar terpancar hanya seketika.

“Sekiranya saya telah bernikah, awak masih sudi berkawan dengan saya?”

Encik Rahsia tergamam dan terkesima menerima soalan itu. Ternyata Jamilah bakal bertunang dengan seseorang dan bakal bernikah kelak.

Meskipun saya – hati luluh menghambat resah, dengan akal fikiran yang waras Encik Rahsia membalas. “Saya minta maaf. Sekiranya awak telah menjadi milik lelaki lain, saya terpaksa berundur diri mengelak fitnah.”

Encik Rahsia cuba menenangkan dirinya dengan memujuk saya – hati, agar menerima segala ketentuan ini.

Kerana akur, bahawa jodoh pertemuan sudah tertulis. Betapa kita cuba menegah, tiada siapa bisa merubah.

Kecuali dengan kehendak Sang Pemilik Cinta menentukan sebaliknya.

Sesungguhnya cinta manusia hanyalah fana. Cinta pada Sang Pencipta itulah sebenar-benar cinta pertama.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/audiobook/elektro-pengaman-sejagat/).

Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliAbdullah, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%