,

Rasulullah Guna Senjata Baharu Ketika Mengepung Kaum Musyrikin Yang Lari Ke Thaif Dalam Perang Hunain

Ketika mengepung penduduk Thaif kerana adanya musyrikin di situ yang lari ketika perang Hunain, Rasulullah menggunakan senjata baharu yang tidak pernah digunakan sebelum ini.

Nak tahu? Jom kita baca.

1. Manjaniq (alat pelontar baru)

Dalam hadith riwayat Abu Daud, diriwayatkan daripada Makhul bahawa Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam memasang alat pelontar batu untuk penduduk Thaif.

Alat pelontar batu ini merupakan salah satu senjata berat pengepungan yang efektif terhadap sasaran. Batu-batu yang dilontarkan itu mampu meruntuhkan bangunan atau menara. Selain itu, bahan api yang dilontarkan juga mampu membakar rumah atau khemah.

Namun, alat ini memerlukan ramai tentera untuk mengendalikannya.

2. Dabbabah (alat perang zaman dulu sejenis tank)

Alat ini berbentuk seperti rumah kecil yang diperbuat daripada kayu. Tujuannya adalah untuk melindungi panah musuh ketika ingin meruntuhkan tembok benteng. Pasukan yang berada di dalam dabbabah ini akan terlindung daripada serangan panah musuh kerana ada kayu yang menutupi bahagian atas.

3. Kayu runcing (kayu berduri)

Alat ini adalah antara alat persenjataan yang kuat, dibuat daripada dua kayu yang diberi paku berbentuk salib dan terdiri daripada empat bahagian. Ketika ditanam di tanah, salah satu bahagiannya akan terlihat.

Tujuan alat ini adalah untuk menggelincirkan kaki kuda atau pasukan pejalan kaki sehingga mengakibatkan pergerakan pihak musuh akan menjadi lambat dan terganggu ketika perang.

Setelah perang Hunain, bagi mengepung kaum musyrikin yang lari ke Thaif, Rasulullah memerintahkan pasukan Islam untuk menebar kayu runcing di sekitar benteng Thaif.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)