Setelah peristiwa Fath (pembukaan) Makkah, ramai yang masuk Islam. Sejurus selepas itu, berlaku pula perang Hunain, jadi ada kaum Muslimin yang baru memeluk Islam juga turut serta.
Sebahagian kabilah yang baru masuk Islam itu ada sebatang pohon besar kehijauan yang bernama Dzatu Anwath yang dijadikan sebagai sembahan ketika masih jahiliah. Mereka pernah menggantungkan senjata, menyembelih haiwan qurban dan menginap di situ sehari pada setiap tahun.
Suatu ketika, semasa berjalan dengan Rasulullah, tiba-tiba mereka ternampak sebatang pohon besar. Lalu, mereka mengatakan kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, buatkanlah untuk kami Dzatu Anwath, sebagaimana mereka memiliki Dzatu Anwath.”
Rasulullah bersabda: “Allahuakbar, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu mengucapkan seperti yang diucapkan kaum Musa kepada Musa, seperti disebutkan di dalam Al-Quran:”
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.” (Al-A’raaf 7:138)
“Sungguh kamu akan mengamalkan ajaran-ajaran orang sebelum kamu.”
Betapa hikmahnya Rasulullah apabila tidak menghukum mereka kerana Baginda memahami bahawa mereka baru sahaja memeluk Islam, jadi masih banyak perkara khususnya berkaitan tauhid yang perlu dipelajari.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)