,

Raja raja Perempuan Pasai- Ratu Nur Ilah dan Ratu Nahrasiyah

Kerajaan Pasai (1267-1517) merupakan kerajaan Islam terawal di bumi Nusantara, yang pada masa ini terletak di Acheh.

Ia juga telah menyaksikan dua orang raja perempuan menjadi pemerintahnya.

Namun, catatan sejarah tentang kedua dua raja perempuan ini hanyalah sedikit, yang didapati adalah peninggalan dari pusara mereka, dan sedikit dari catatan asing.

Kisah tentang mereka berdua tidaklah dijumpai dalam Hikayat Raja Pasai.

Ratu Nur Ilah (Mangkat 1380M)

“708 tahun setelah Hijrah, 14 Zulhijjah, Ratu Iman Werda Rahmat Allah bagi Baginda dari suku Barubasa, mempunyai hak atas Kedah dan Pasai, menaruk di laut dan darat semesta, ya Allah, ya Tuhan Semesta, taruhlah baginda dalam syurga Tuhan.”

Batu nisan beliau agak ganjil apabila tertulis atasnya dalam dwibahasa, iaitu bahasa Arab juga Bahasa Jawa Kuno.

Yang lebih mengganjilkan adalah, tercatit juga bahawa beliau merupakan penguasa kerajaan Kedah dan juga Pasai. Kedah dan Pasai berada di dua sempadan bertentangan selat Melaka.

Tidak hairanlah ada beberapa persamaan budaya antara Acheh dan Kedah, yang paling menonjol adalah dalam kata sukat yang digunakan untuk hasil tanaman.

Setelah tewasnya Pasai pada Majapahit, yang ketika itu Majapahit dikuasai oleh Hayam Wuruk, dan pepatihnya adalah Gadjah Mada, Majapahit telah melantik Ratu Nur Ilah sebagai penguasa kerajaan Pasai. Dan termaktubnya bahasa jawa kuno atas nisan beliau adalah disebabkan ini.

Namun, Majapahit masih lagi memberi autonomi yang besar kepada kerajaan Pasai. Di kala itu, Pasai memberi kelonggaran pada kerajaan Majapahit untuk berdagang tanpa dikenakan cukai.

Kerajaan Melaka yang masih kecil ingin turut menyertai kemeriahan perdagangan yang berlaku antara Pasai dan Majapahit.

Raja Kerajaan Melaka meminta kepada Raja Pasai agar dapat berdagang di Pasai dan menjemput pedagang Pasai untuk turut berdagang di Melaka.

Raja Pasai ketika itu bersetuju dengan hasrat raja Melaka, dan memberi syarat agar Raja Melaka memeluk Islam. Diterimalah syarat Pasai itu, dan Raja Melaka dan seluruh pengikutnya menerima agama Islam.

Majulah Melaka selepas keislamannya dengan tarikan pedagang muslim dari Arab, Farsi dan India.

Ratu Nahrasiyah (1400-1428)

Makam beliau merupakan makam tercantik di seluruh Asia Tenggara, yang dihiasi riwayat beliau dan juga ayat-ayat Al-Quran.

‘Inilah kubur wanita yang bercahaya yang suci Ratu terhormat Al Marhumah yang diampunkan dosanya Nahrasiyah.”

Termaktub di makam beliau juga Ayat Kursi, Surah Al Baqarah 285-286, Surah Al-Imran ayat 18-19 dan Surah Yasin.

Beliau merupakan puteri kepada Sultan Zainal Abidin (Sultan Pasai kelima).

Kenaikan beliau ke takhta setelah syahidnya suami beliau dan tewasnya kejaan Pasai kepada Raja Nagur. Demi mendapatkan kembali kerajaan Samudera, Ratu Nahrasiyah telah berjanji untuk bernikah dengan sesiapa yang berjaya merampas kembali kerajaan Samudera dari Nagur.

Seorang Panglima Laut yang telah lanjut usia berjaya menawan kembali kerajaan Samudera dari Raja Nagur, dan setelah itu, Ratu Nahrasiyah dan Panglima laut tersebut memerintah kerajaan Samudera Pasai.

Catatan Cina menceritakan kisah lawatan Cheng Ho ke Samudera. Armada Cheng Ho diserang oleh beberapa pemberontak kerajaan Samudera.

Pemberontak-pemberontak ini terdiri daripada kemenakan Ratu sendiri dan beberapa ahli keluarga lain, kerana ingin merampas takhta.

Namun, Ratu Nahrasiyah dan serdadu-serdadu cina berjaya mematahkan pemberontakan tersebut.

Seterusnya adalah kisah ketika mana kerajaan Acheh dan kerajaan Pasai ingin bergabung. Maharaja Bakong, Mangkubumi Pasai mengikuti fahaman tasawuf pantheisme beraliran Syiah, sedangkan Ratu Nahrasiyah dan suami beliau mengikut fahaman Sunni.

Dengan sokongan para Ulama, fahaman Syiah itu telah ditewaskan, dan menjadikan fahaman Sunni lebih utama di Kerajaan Samudera Pasai.

Ternyata beliau adalah seorang ratu kuat pendirian apabila beliau berjaya menawan kembali kerajaan beliau, merobohkan sebuah pemberontakan, dan mementingkan fahaman agama yang dipercayai.

 

Sumber
– Nisriwani Yahaya, Syed Zulflida S.M. Noor, 101 Puteri Dunia Melayu
– Ismail Soyan, M. Hasan Basry, T. Ibrahim Alfian, Wanita Utama Nusantara
– Pautan blog: https://bondakandung.wordpress.com/

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Maryam Sakinah Jeffrey (nama pena: Maryam JS). Seorang doktor berkelulusan Ijazah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.