,

Sebab Doa Tidak Dimakbulkan

“Perniagaan Inas macam mana? Semuanya okey?”

Inas menghidangkan secawan kopi pekat kesukaan atuknya diikuti sepiring biskut kering. Hujan-hujan sejuk begini minum kopi cecah biskut sangatlah mendamaikan.

“Alhamdulillah, setakat ini baik sahaja. Allah hadirkan Inas rakan-rakan yang sangat membantu serta staf-staf yang hebat-hebat akhlaknya.”

“Syukur ke hadrat Ilahi. Setelah mendung petir melanda, Allah hadirkan sinar mentari untuk Inas teruskan hidup ini.”

Biskut kering itu dikunyahnya perlahan. Aroma kopi begitu menusuk hidungnya. Wangian kopi kampung ini tidak setanding kopi-kopi yang ada di pasaran.

“Tapi ingat sentiasa, jangan kita kufur dengan nikmat Allah berikan. Makan kena jaga. Apa yang masuk ke dalam perut kita ni menjadi darah daging kita, sumbernya kenalah sentiasa daripada yang halal dan baik. Awal penyakit juga bermula dari perut.”

Inas tersenyum kecil. Tidak lekang dari mulut atuknya nasihat-nasihat serta peringatan yang menjadi pedoman hidupnya. Apa sahaja yang dibicarakan, pasti ada makna tersirat yang mampu menjentik nalurinya.

“Atuk ada cerita yang menarik untuk dikongsikan? Inas rindu nak dengar perkongsian daripada atuk.”

“Makan kena jaga. Itu pesan atuk.”

Inas mengangguk beberapa kali. Makan kena jaga. Aku makan setakat ni memang terjaga. Alhamdulillah tak pernah diet teruk-teruk. Cukup semuanya.

Melihat cucunya seakan berangan dan hampir ke dunia sendiri, Pak Mail meneruskan bicara.

“Inas masih ingat siapa itu Ibrahim bin Adham?”

Inas terkebil-kebil seketika, cuba kembalikan dirinya ke alam realiti.

“Masa sekolah dulu, atuk selalu cerita tentang Ibrahim bin Adham. Seorang ahli ibadah yang sangat zuhud dan warak.”

Pak Mail bersandar sambil melepaskan nafasnya perlahan-lahan. Pandangannya dilontarkan ke luar jendela.

“Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat ziarah ke Masjidil Aqsa. Ibrahim membeli satu kilogram kurma daripada seorang pedagang tua berdekatan Masjidil Haram untuk bekalannya dalam perjalanan nanti. Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma terletak di alat timbang itu. Ibrahim menyangka kurma itu adalah bahagian daripada yang dia beli tadi, Ibrahim mengambil kurma itu dan memakannya. Setelah itu, barulah dia berangkat meneruskan perjalanannya.”

Inas membetulkan duduknya. Perhatiannya tetap pada atuk yang masih leka memandang ke luar. Hujan petang itu sangat menyamankan, tidak lebat seperti semalamnya.

“Empat bulan kemudian, Ibrahim tiba di destinasi. Seperti kebiasaannya, Ibrahim suka memilih satu tempat untuk beribadah di sebuah ruangan di bawah kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba-tiba, Ibrahim mendengar suara dua malaikat yang sedang bercakap tentang dirinya. Inas nak tahu apa yang diperkatakan oleh malaikat itu?”

“Apa dia, atuk?” Inas tidak sabar menunggu sambungan cerita.

“Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan warak yang doanya selalu dikabulkan oleh Allah SWT. Tetapi sekarang tidak lagi. Doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu, dia telah memakan sebutir kurma yang jatuh daripada meja seorang pedagang tua berdekatan Masjidil Haram.”

Inas terkejut bukan kepalang mendengar bicara atuknya itu. “Sungguh ke atuk? Maknanya yang dimakan itu bukan dikira sekali dalam hasil belian?”

Atuk menggeleng beberapa kali sambil tersenyum.

“Bukan Inas sahaja yang terkejut, Ibrahim sendiri terkejut dan rasa ditampar apabila dia mendengar suara tadi. Dia berkira-kira selama empat bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalannya yang lain tidak diterima oleh Allah gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya. Ibrahim istighfar banyak kali. Dia rasa sangat menyesal dan terus berangkat ke Mekah untuk menemui penjual kurma itu, untuk meminta dihalalkan kurma yang telah dimakannya. Tapi sayangnya, apabila Ibrahim sampai di kedai kurma, penjual tua itu sudah tiada. Yang ada hanyalah seorang anak muda yang merupakan anak kepada penjual kurma tersebut.”

“Penjual tu pergi mana atuk? Ada di rumah?”

Pak Mail sekali lagi menggelengkan kepalanya.

Penjual itu sudah meninggal dunia.”

Inas membulatkan matanya. Allah, kesiannya dia.

“Ibrahim bin Adham menceritakan keseluruhan cerita kepada anak muda tersebut. Dia minta dihalalkan kurma yang telah dimakannya tanpa izin penjual kurma itu, bagi pihak ayahnya sendiri. Mujurlah anak muda itu berhati mulia, dia halalkan kurma bagi bahagian dirinya, untuk bahagian 11 saudaranya yang lain dia tidak boleh menghalalkannya bagi pihak mereka.”

“Allah, ada ramai lagi ke? Kesiannya Ibrahim bin Adham tu atuk.”

Pak Mail berkalih. Pandangannya kini pada Inas, wajah yang sungguh naif.

“Ibrahim bin Adham meminta alamat kesemua waris tersebut. Dia jumpa seorang demi seorang untuk minta halalkan sebiji kurma. Kuasa Allah, mereka semua menghalalkan kurma tersebut. Lega rasa hati Ibrahim dan dia kembali semula ke kubah Sakhra. Sedang dia asyik beribadah, dia terdengar kembali suara malaikat yang hadir di sisinya.”

Inas semakin rapat duduknya ke sisi Pak Mail. Ingin benar dia ketahui apa pula amanat yang disampaikan pada Ibrahim bin Adham itu.

“Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara-gara memakan sebutir kurma milik orang lain. Tapi itu dulu, sekarang doanya sudah makbul kembali. Dia telah dapat penghalalan daripada waris-waris pemilik kurma tersebut. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali daripada kotoran sebutir kurma yang haram kerana masih milik orang lain. Sekarang dia sudah bebas!”

Inas melepaskan nafas lega. Sebak dia rasakan apabila usaha Ibrahim bin Adham untuk dihalalkan makanannya diterima oleh Allah.

“Jika ahli ibadah seperti Ibrahim bin Adham pun sangat teliti dengan pemakanannya, inikan kita, insan yang sangat biasa. Sebab itu, atuk selalu berpesan pada Inas, makan kena jaga. Jika sesuatu itu meragukan, tinggalkan. Apa yang masuk ke dalam perut kita akan menjadi darah daging kita. Kualiti ibadah kita juga sangat berkait rapat dengan apa yang masuk ke dalam badan kita ini. Setinggi mana pun kita berada nanti, jagalah sebaiknya pemakanan kita.”

Inas menyeka air matanya yang akhirnya mengalir juga. Cukup terkesan apa yang disampaikan oleh atuknya itu. Ingatkan makan kena jaga itu hanyalah diet semata, tetapi sebenarnya, mencari sesuatu sumber yang halal dan baik, agar kualiti ibadah kita sentiasa terjaga.

“Atuk, terima kasih atas cerita ini atuk. Insya-Allah, Inas akan jaga makan Inas.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.