,

Harta Dunia Atau Akhirat (Bahagian 2-akhir)

Farhan kembali termenung. Sama seperti sebelum ini, bila jawab sepatah dua, dia termenung, seolah-olah sedang berada dalam dunianya sendiri.

“Oh ya, ini dokumen EL yang kamu nak saya luluskan tempoh hari. Maafkan saya sebab lambat serahkan pada kamu dan saya pun lupa nak suruh kamu ambil sendiri atas meja.”

Alang-alang sudah ada sekali ni, Inas terus menyerahkan dokumen tersebut.

“Saya lihat kamu kerap ambil EL. Kalau betul kamu tak apa-apa, kamu tak ambil cuti kecemasan ni. Baik kamu cuti sahaja terus. Lagi pun, cuti kamu ni banyak lagi.”

Farhan menggenggam erat dokumen yang diserahkan padanya itu. Bibirnya diketap rapat. Tunduknya seketika.

Inas tetap lagak tenang walaupun dalam hatinya gelabah melihat perubahan Farhan begitu. Dari diam terus menggigil tangannya dan kepalanya tertunduk sahaja. Farhan ni okey ke tidak? Kena rasuk ke? Dah macam rupa aku sewaktu aku sakit dahulu je ni.

“Ibu saya tak sihat, Puan Inas. Saya ambil EL ni sebab nak bawa ibu saya ke hospital. Saya tak nak beritahu sesiapa sebabnya saya rasa tak perlu pun orang lain tahu kisah hidup saya. Apa yang penting bagi saya adalah, bila saya diberikan tugasan, saya siapkan tugasan tersebut dengan baik. Jadi, tak perlu juga saya nak ambil cuti, sebabnya, cuti bagi saya adalah bawa trip client kita. Waktu tu, sambil bawa client berjalan, saya pun berjalan sama. Sudah cukup bagi saya. Kalau ibu saya tak masuk hospital, maknanya saya pun okey. Boleh fokus kerja. Bila ibu kena masuk hospital, EL sahaja sudah cukup bagi saya.”

Inas mati kata. Dalam sebak dan tertunduk, Farhan membuka pekungnya sendiri.

“Maknanya, EL yang kerap Farhan ambil kebelakangan ini untuk uruskan ibu?”

Farhan mengangguk beberapa kali.

“Macam mana kondisi ibu Farhan sekarang?”

“Semuanya baik, insya-Allah.”

“Macam inilah Farhan, jika kamu rasa nak ambil cuti, silakan. Cuti kamu ni pun banyak lagi. Peruntukkan cuti yang berbaki ni untuk jaga ibu kamu. Saya tak marah, malah rakan-rakan yang lain pun tak marah. Kamu bukan buat salah. Kamu fikir masak-masak. Kalau nak cuti, hantar sahaja borangnya, nanti saya akan luluskan. Soal kerja jangan risau. Daud dan Zafran ada untuk backup kamu.”

Farhan melangkah lesu meninggalkan bilik Inas. Siapalah yang bocorkan rahsia keluarganya pada bosnya itu. Kalau boleh, dia tidak mahu sesiapa pun yang tahu masalahnya. Dia boleh jaga ibunya dan boleh bekerja pada waktu yang sama. Dia bukan seorang yang suka campur-adukkan masalah peribadi dengan kerja.

“Puan Inas marah kau ke, Farhan?” Daud menghampiri rakan setugasnya itu.

Farhan menggeleng kosong. Zafran yang sedang menaip laporan penutup turut sama berkalih memandang Farhan yang duduk di belakangnya.

“Farhan, kami tahu kamu ada masalah. Jangan simpan sendiri. Kami ada dengan kau. Kalau kau nak ambil cuti jaga ibu kau, ambillah. Kami tak kisah. Kita kan dah bincang perkara ni, support each other. Kalau kau tak boleh turun trip, aku turun. Kalau aku tak boleh, Zafran ada. Kalau kita tiga tak boleh, baru kita bodek Tuan Saif untuk turun,” Daud menepuk-nepuk bahu rakannya itu untuk memberi semangat padanya.

“Aku okey je. Aku boleh buat kerja ni semua. Aku boleh jaga ibu aku. Kamu semua jangan risau sangat. Kamu dua ke yang mengadu kat Puan Inas tentang ibu aku?”

“Wooo! Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Kami seal mulut kami tau.” Zafran bersuara.

Daud menongkat dagu. Dia memerhati sahaja wajah kelam Farhan yang berada di hadapannya itu.

“Kita rotate trip pun boleh, Farhan. Kau cuti je, tumpukan pada ibu kau. Sampai bila kau nak harapkan orang luar yang jagakan?” sambung Zafran lagi.

“Sudahlah. Kita dah bincang perkara ni dan keputusan aku muktamad. Aku nak siapkan dokumen ni. Nanti Puan Inas nak check. Trip dah tak lama dah.”

“Kau nak dengar satu cerita tak, Farhan? Mana tahu cerita ni dapat ubah persepsi dan keputusan kau tu,” Daud bersuara.

Farhan kerut seribu. Makin rimas pula dia rasa dengan kehadiran Daud dan Zafran ni.

“Kuliah Subuh semalam, ustaz surau aku ada kongsikan satu cerita. Ni aku nak sampaikan pula pada korang dua. Kisah tentang Imam Syafie yang bermusafir ke Mesir untuk berjumpa dengan gurunya, Imam Malik. Imam Syafie ni, dia pergi ke Mesir dengan membawa satu hajat untuk gurunya. Imam Syafie meminta Imam Malik untuk mendoakan kesejahteraan dirinya. Korang nak tahu apa yang Imam Malik tu beritahu apabila Imam Syafie sampaikan hajat dia?”

Farhan dan Zafran mendiamkan diri. Mendengar dalam terpaksa.

“Imam Malik kata, kamu telah tersalah alamat datang ke sini dan minta untuk didoakan oleh aku. Imam Syafie cuak juga. Dah kenapa pula guru dia cakap macam tu. Jadi, Imam Syafie pun bertanya kenapa Imam Malik cakap dia tersalah alamat, sedangkan Imam Malik adalah gurunya, seorang yang hebat, mana mungkin doanya tidak diangkat oleh Allah,” sambung Daud.

“Lepas tu apa jadi?” Zafran segera menyoal. Seronok pula dengar kisah Daud ni.

Daud memandang Zafran dan kemudian Farhan sambil tersenyum kecil.

“Imam Malik jawab pertanyaan anak muridnya itu. Imam Malik kata, di rumah kamu ada seorang yang doanya 100000 kali ganda makbulnya daripada aku. Terkejut Imam Syafie. Siapa pula orangnya tu? Imam Malik jawab, ibu kamu. Doa ibu itu tidak ada hijab antara dia dengan Allah SWT,” Daud menamatkan ceritanya.

Farhan tekedu dan hanya mendiamkan diri. Zafran ternganga mendengar perkongsian kisah Daud itu. Masing-masing mereka diam tidak terkata.

“Aku dengar ustaz tu cerita semalam pun aku macam korang juga. Aku diam sampai masuk pejabat. Satu apa aku tak boleh nak cakap. Aku dah tak ada ibu dan ayah. Tapi korang berdua masih ada, gunakan kesempatan ini untuk berbakti pada mereka. Tugasan kita ni harta dunia, tetapi mereka dua adalah harta akhirat kita. Aku harap, semoga perkongsian tadi ada manfaat untuk korang.”

Daud kembali ke tempatnya, menghadap beberapa lagi fail yang perlu disemak dan dibuat laporan untuk minggu tersebut. Dibiarkan sahaja Farhan dan Zafran yang masih termangu setelah mendengar perkongsian kisah Imam Syafie tadi.

Jauh di sudut hatinya, dia berharap Farhan berubah fikiran. Lupakan sebentar hal kerja dan luangkan lebih masa bersama ibunya yang sedang sakit tika ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%