, ,

Permulaan Islam Kaum Anshar Dari Madinah

Sebelum kedatangan Islam pada usia Rasulullah 40 tahun, masyarakat di sekitar Arab memang sudah biasa datang ke Makkah untuk menunaikan haji, cuma tidak mengikut syariat Islam yang betul kerana di situ juga masih ada banyak berhala di Kaabah.

Jadi, dalam salah satu musim haji, datangnya jemaah haji dari suku Khazraj yang berasal dari Madinah. Pada ketika itu, mereka berada dekat Aqabah di kawasan Mina.

Rasulullah bertanya, siapakah mereka, lalu mereka menjawab bahawa mereka dari Bani Khazraj. Lalu, Baginda bertanya lagi, adakah dari sekutu Yahudi, mereka menjawab betul.

Kemudian, Rasulullah mengajak mereka duduk seketika dan melakukan dakwah. Setelah itu, mereka mengambil keputusan untuk menerima Islam dan kembali ke negeri mereka semula.

Siapakah mereka? Ada beberapa orang iaitu:

  • Abu Umamah
  • As’ad bin Zurarah
  • Auf bin Al-Harits
  • Rafi’ bin Malik
  • Quthbah bin Amir
  • Uqbah bin Amir
  • Jabir bin Abdullah bin Riab

Di Madinah, mereka telah bercerita kepada kaum Anshar mengenai Rasulullah, sehinggakan tidak ada yang tersisa dari rumah-rumah kaum mereka kecuali di dalamnya bercerita tentang Islam.

Secara tidak langsung, inilah awal permulaan perintis kepada tersebarnya Islam di Madinah, malah masih lagi belum berasa puas bersama Rasulullah dan merasai keimanan yang mendalam, mereka terus berjanji kepada diri sendiri untuk berdakwah pula kepada kaum mereka sendiri.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)