Pertemuan pertama antara Rasulullah dengan beberapa orang kaum Anshar berlaku di Aqabah ketika musim haji.
Setahun kemudian, dua belas orang kaum Anshar dari Madinah datang menemui Rasulullah di Aqabah juga, yang mana itulah yang digelar sebagai Bai’at Aqabah pertama.
Dalam kalangan mereka, sepuluh orang dari suku Khazraj manakala dua orang dari suku Aus.
Mereka dibai’at dengan beberapa perkara, seperti:
- Tidak mempersekutukan Allah
- Tidak mencuri
- Tidak berzina
- Tidak membunuh anak-anak
- Tidak melakukan perbuatan dosa dengan tangan dan kaki
Rasulullah mengatakan: “Jika kamu memenuhi janji tersebut, maka kamu akan mendapatkan syurga dan jika kamu melakukan sesuatu tersebut, maka urusan kamu diserahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki, nescaya diampuni, dan jika Dia menghendaki pasti diseksa.”
Setelah itu, Rasulullah mengutus Mus’ab bin Umair untuk mengajar kepada orang-orang yang telah berbai’at itu tentang Islam dan membacakan Al-Quran.
Di Madinah, Mus’ab disebut sebagai Al-Muqri dan menjadi imam mereka dalam solat.
Rasulullah telah memilih Mus’ab kerana keperibadiannya yang pandai dan cerdik dalam menyampaikan ilmu. Malah, Mus’ab juga telah berjaya menyebarkan Islam ke penduduk Madinah dan memperoleh pertolongan daripada sebahagian pembesar mereka untuk membela Islam, seperti Sa’ad bin Mu’adz dan Usaid bin Al-Hudhair.
Hal ini adalah kerana keislaman mereka membuatkan ramai yang mengikut untuk masuk Islam dari kalangan kaum mereka.
Besar jasa Mus’ab bin Umair dalam membantu melancarkan lagi dakwah Islam di Madinah, sehingga golongan Anshar benar-benar bersedia untuk menerima kedatangan golongan Muhajirin dalam peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah kelak.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)