,

Oh My Melbourne (bahagian 2-akhir)

28 Ogos 2016, pada jam 9.00 pagi bergerak ke Middle Brighten Beach dengan berjalan kaki.

Sampai di sana, pemandangannya sangat cantik dan ramai yang photoshoot di deretan rumah buatan yang berwarna-warni dan juga pelbagai corak yang agak menarik perhatian para pengunjung.

Selepas itu, menaiki pula Tram percuma area Melbourne dan berhenti di pelbagai tempat menarik seperti Harbour Town, Dockland, Ettihad Stadium (lelaki lebih teruja bergambar) dan jalan kaki sepanjang hari dan solat maghrib di Islamic Centre yang komunitinya ramai Islam.

Macam biasa pulang ke penginapan sekitar jam 9.00 malam. Balik bukan balik saja, tapi sambil mengisi perut yang menyanyi lagu rock. Cuaca yang semakin sejuk, semakin tinggi tahap lapar kami semua.

Bertarik 29 Ogos 2016 merupakan saat bahagia kami semua. Impian nak ke Philips Island tercapai juga akhirnya.

Kalau tidak tentatif untuk hari ini adalah ke Zoo Melbourne yang kita tahu bila pergi melawat zoo hanya dapat melihat haiwan di dalam sangkar tetapi lainnya di Philips Island.

Live dapat pegang, belai, bergambar bersama Kangaroo yang sebelum ini hanya tengok di kaca televisyen sahaja.

Kangaroo sangatlah penyayang seperti kucing. Bila dibelai makin rapat dan baik cara makan di tangan kami. Oh kangaroo, we miss u!

Tetapi ada satu lagi haiwan yang kami agak takut dan seriau nak pegang, itulah dia Encik EMU berleher panjang. Ingatkan patuknya semasa ambil makanan di tangan itu, sakit.

Kata Encik Edi, sakit sikit, macam kena gigit semut. Rupanya betul, baik juga EMU. Sempat juga antara kami bergambar bersama encik berleher panjang.

Di Philips Island ini banyak lagi haiwan lain, seperti angsa cantik, landak, ayam piru, dingo (anjing macam serigala), burung hantu, ular, dan banyak lagi. Tetapi tumpuan di sini lebih kepada Kangaroo, Koala yang nyenyak tidur dan EMU.

Sempat juga sebenarnya hari kami di Philips Island bersarapankan dengan nasi lemak melayu dimasak oleh chef-chef ternama kami yang menginap di An-Naim Homestay.

Dr Najaa sangat suka dan terus memuji nasi lemak melayu yang dimasak oleh sebahagian pelajar perempuan.

Tetapi yang menghidangkan nasi lemak itu, adalah lelaki yang merasa serba salah yang tidak turut serta masak nasi lemak.

Kami teruskan perjalanan kami ke Nobbies Board Walk Island. Sepanjang perjalanan ke sana, tepi jalan penuh dengan Kangaroo melompat-lompat dan juga lembu tompok hitam putih yang tidak ada di Malaysia.

Pemandangan paling cantik dengan deruan ombak, langit dan air lautnya yang sentiasa berzikir kepada Allah.

Ada juga yang sempat melihat dan snap gambar penguin yang malu-malu kucing menyorok di bawah jambatan laluan orang ramai disebabkan bukan musim penguin menzahirkan dirinya di khalayak ramai.

Banyak mencipta kenangan di sini dengan mengambil gambar pelbagai angle yang digunakan untuk mendapatkan sebaik mungkin keindahan dan cantiknya pemandangan ini.

Bertolak pulang dan solat jamak di Community Islam (pillars). Selepas selesai, di tepi jalan terdapat bunga sakura, dan berhenti sekejap bagi laluan yang ingin photoshoot sakura.

Akhirnya, terus balik menuju ke penginapan masing-masing.

Hari terakhir di Melbourne , bertarikh 30 Ogos 2016.

Hari ini jam 9.30 pagi bertolak pergi ke Monash University berdekatan dengan penginapan kami yang juga merupakan tempat kerja Encik Edi.

Hari ini juga merupakan hari lahir sahabat kami Siti Nur Anis bt Zainuddin. Memang dapat live idea Dr Najaa minta semua nyanyikan lagu hari lahir 3 bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sambil dirakam video pemilik Go Pro yang agak tenat keadaannya.

Encik Edi bawa kami semua pusing-pusing sebahagian Monash University disebabkan masa beliau agak terhad kerana bekerja.

Walaupun hujan renyai-renyai, kami teruskan perjalanan ke Dandenong Mountain, Wildlife Bird, melihat dan bagi burung makan.

Sampai sana teruja, sebab bila bercakap mesti ada asap keluar dari mulut, sampai ada yang nak rakam saat asap itu keluar daripada mulut.

Kata Dr Najaa, bila hujan bercampur sejuk, di sini memang akan keluar asap di mulut. Teruja kot semuanya.

Burung kat sini semua besar-besar, seram jugak nak bagi makan. Ada juga yang berani pegang dan siap bergambar dengan keadaan burung di atas kepala.

Selepas itu, kami teruskan perjalanan ke Dandenong Market yang katanya lebih murah berbanding QVM. Tetapi di sini lebih kepada barang keperluan harian berbanding QVM lebih banyak cenderahati dan banyak juga pilihan serta perbandingan harga.

Sempat juga berkenalan dengan orang nogori yang menetap di sana. Akhirnya semua buat keputusan nak ke Queen Victoria Market apabila dengar berita hari isnin tamat beroperasi pada jam 2.00 petang.

Alhamdulillah semua sempat membeli walaupun dalam keadaan kelam kabut.

Destinasi terakhir kami ke Shrine of Rememberance di tengah-tengah bandar Melbourne. Tempat ini adalah tugu bagi memperingati jasa-jasa pahlawan dahulu kala.

Memang cantik pemandangan di sini untuk bergambar atau photoshoot.

Bila semakin naik tangga dan tempat paling atas, akan nampak seluruh bandar Melbourne yang kaya dengan bangunan pelbagai bentuk dan menjadi tarikan para pelancong.

Dalam perjalanan perjalanan balik ke penginapan untuk buat persiapan pulang ke Malaysia, sempat juga pemandu yang juga bekerja di sana, menunjuk bangunan dan tempat-tempat sepanjang perjalanan kami.

Hari ini, memang hari mendung, hujan renyai-renyai, rasa sayu, mungkin kerana hari terakhir bagi kami sebelum berangkat ke Malaysia.

Sambil kemas untuk bertolak ke airport malam ni, ada yang sempat ke Coles macam pasaraya Giant dan Tesco di sini.

Tapi menariknya ada kaunter layan diri, maksudnya bayar sendiri kalau beli barang yang agak sedikit.

Akhirnya berangkatlah kami ke airport Melbourne pada jam 9.00 malam. Sempena esok hari Merdeka bagi Malaysia, kami semua sempat merakam kenangan dan bergambar di hadapan kedai Australia Way.

Masing-masing sibuk uruskan segala-galanya untuk berangkat balik ke Malaysia, dan dipendekkan cerita ada peristiwa juga di airport Melbourne, tentang passport dan sebagainya.

Akhirnya sampailah kami di Malaysia pada jam 6.00 pagi bertarikh 31 Ogos 2016.

Tamatlah cerita kami semua Team Giso Melbourne 2016 yang tak boleh nak move on lagi sampai sekarang. Benarlah, jauh perjalanan luas pemandangan.

Bermusafirlah kamu, dengan musafirlah kita dapat kenal sahabat-sahabat kita.

Ciptalah impian setinggi bintang di langit, kerana ada hikmah yang Allah tunjukkan di sebalik impian kita semua.

Terima kasih semua atas usaha semua merealisasikan impian masing-masing ke Melbourne bumi Kangaroo.

Buat Dr Najaa, terima kasih jadi pensyarah dan sahabat yang baik buat kami sepanjang liku-liku nak ke sana. Moga Allah memberkati kita semua.

WE ALL MISS U MELBOURNE.

 

> baca Oh My Melbourne! (bahagian 1) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Sarah binti Shamsuddin. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Seorang mahasiswi (praktikal) di USIM. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.