Aku bukan anak orang kaya, tetapi aku sangat bersyukur kepada Allah.
Kehidupan sederhana ini mengajar aku banyak perkara dan memberi aku banyak manfaat saat aku bergelar mahasiswa.
Aku nak kongsikan dua soalan yang kawan-kawan sering tanya kepada aku semasa aku bergelar mahasiswa.
Pertama, “kenapa kau cepat mesra dan mudah berkawan dengan orang lain..?”
Kedua, “Bagaimana kau latih kemahiran bercakap di khalayak ramai dengan yakin dan berani..?”
Untuk makluman kawan-kawan yang mengenali aku atau yang akan mengenali aku, apa yang aku capai saat ini bukan dibentuk dalam sehari dua namun memakan masa bertahun.
Yang paling utama, semuanya rezeki dan kasih daripada Allah dan perbanyakkan bersyukur, bersangka baik dan memohon pertolongan daripadaNya.
Sebenarnya semasa aku di tingkatan satu dan dua, aku telah mula bekerja membantu ayah aku setiap pagi dari jam 6.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari menjual Mee Laksa Sarawak dipasar selama 2 tahun, 7 hari seminggu.
Bayangkan sahaja, 2 tahun masa aku luangkan untuk berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan.
Kena marah sebab makanan sampai lewat itu biasa, kena suruh duduk belajar dengan pelanggan bahasa Inggeris semasa aku tengah berusaha bantu ayah pun aku pernah jumpa.
Sampaikan aku terpaksa sembunyi ke bahagian belakang kedai, pura-pura basuh pinggan setiap kali pelanggan itu datang ke gerai hinggalah dia buat tak layan aku, sebab masa itu aku memilih untuk kesian kepada ayah yang mencarikan rezeki untuk keluarga dan aku kena bantu dia.
Pernah satu masa, aku turun membantu ayah berniaga pada waktu pagi dan pada waktu malam.
Mungkin berkat membantu ayah, Allah rezekikan aku untuk mempelajari teknik bagaimana untuk memahami dan menggunakan gaya bahasa, mimik muka dan pergerakkan badan yang sesuai apabila berjumpa dengan pelanggan.
Di rumah, aku cukup beruntung sebab ibu dan ayahku guru mengaji. Setiap malam akan ada anak-anak kampung datang ke rumah untuk belajar mengaji.
Jadi sebagai anak, aku diberi kesempatan oleh ayah dan ibuku untuk membantu mengajar kanak-kanak tersebut mengaji dan ada masanya mengajar praktikal solat.
Kalau sesiapa yang bukan jenis penyabar, aku sarankan boleh cuba mengajar kanak-kanak, kerana lain disebut guru, lain didengarnya barangkali.
Itulah pengalaman berguna yang aku rasai namun manfaatnya sehingga hari ini, bahkan di surau aku turut diberi kesempatan untuk melaungkan azan dan sesekali dilatih mengimami solat fardu Maghrib oleh penduduk kampung.
Kata ayahku, itu untuk latihan kita menyesuaikan diri hidup di dalam masyarakat kampung.
Bermula daripada itu aku turut mula mencuba memberanikan diri melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti di peringkat sekolah mahupun kampung. Aku menyertai pertandingan sajak, penulisan, pidato, debat, nasyid dan olahraga.
Boleh dikatakan banyak juga anugerah aku perolehi masa itu. Namun pengalaman yang aku tidak pernah lupa saat aku memalukan diri sendiri apabila memilih untuk bertanding secara solo kategori nasyid.
Akhirnya apabila muzik latar dimainkan, aku hanya berdiri tidak bersuara dan diketawa terbahak-bahak oleh semua kawan-kawan.
Diuji lagi dengan kesalahan pengerusi majlis mengumumkan aku mendapat kedudukan tempat ke-3 sedangkan aku sekadar mendapat saguhati.
Namun di situ aku dapat belajar konsep penerimaan diri di atas setiap kesilapan yang aku lakukan dan kemudian sedikit sebanyak membantu aku untuk terus mencuba pengalaman-pengalaman yang baru.
Daripada pengalaman demi pengalaman yang sengaja dan tidak sengaja aku lalui dahulu, maka dari itulah aku belajar banyak perkara terutamanya bagaimana aku boleh mudah mesra dan berkawan dengan orang, dan fasih serta petah bercakap dihadapan khalayak ramai dengan yakin.
Sebab aku didedahkan dengan banyak pengalaman dan emosi yang pelbagai di mana akhirnya memaksa aku sendiri untuk menerima hakikat dan menjadikannya sebagai satu kelebihan yang perlu aku manfaatkan serta kongsikan.
Kepada rakan-rakan, itulah jawapan yang dapat aku kongsikan di sebalik kemahiran yang aku miliki sekarang.
Aku yakin setiap daripada kita punya cerita yang berbeza, cuma yang sama adalah kena melalui pelbagai pengalaman sebelum menguasainya.
Alhamdulillah sehingga kini aku masih belajar menguasai dan memahami setiap tindakan yang aku lakukan dengan harapan ianya selari dengan keredhaan Allah.
Ingat teman, tiada kejayaan datang secara tiba-tiba tanpa disusuli dengan usaha.
Setiap usaha itu pasti akan membuahkan pengalaman yang berbeza namun pasti akan berguna untuk hari-hari kita yang mendatang.
Jadi, sekiranya kita inginkan sesuatu maka usah ragu, mulakan azam, bulatkan tekad, gerakkan langkah ke arahnya dan jangan sesekali lupa bertawakal padaNya.
Kuasa tawakal kepada Allah akan membantu kita mengatasi rasa kecewa dan sentiasa memupuk semangat ingin berusaha.
Insyallah, Allah akan bantu hamba-hambaNya yang berusaha dan bertawakal kepadaNya.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Mohamad Zikri Bin Haizan. Merupakan seorang penjawat awam. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.