, ,

Nikmat Berhijrah Di Jalan Allah

Dalam Al-Quran, ada disebutkan beberapa nikmat berkaitan orang yang berhijrah, secara khusus kepada kaum Muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah, namun secara umum kepada kita semua yang berusaha untuk berhijrah ke arah kebaikan hanya kerana Allah.

Jom kita lihat, beberapa nikmat yang dijanjikan Allah, baik di dunia mahupun di akhirat.

  1. Sebagai ampunan atau kafarat bagi kesalahan / dosa mereka.

“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) sesetengah kamu (adalah keturunan) daripada sesetengahnya yang lain;

maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) –

sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.”

(Surah A-li’Imraan 3:195)

  • Allah memberikan rezeki yang luas kepada mereka.

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya,

kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah An-Nisaa’ 4:100)

  • Dijanjikan syurga dan kekal di dalamnya.

“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.

Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.”

(Surah At-Taubah 9:20)

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)