,

Mungkinkah Hati Aku Telah Mati

Dengan langkah longlai, aku berjalan terumbang-ambing memikirkan sesuatu di benak fikiranku.

Dalam kepiluan dan hati penuh gundah-gulana, aku cuba mengetuk pintu hati untuk berbicara, ‘Menangislah wahai mata. Kenapa engkau tidak berair?’

Dengan perasaan malu, aku terus mendongak ke langit. Aku cuba mengetuk pintu Tuhan Yang Maha Pengasih. Si pendosa ini cuba merintih dan mengadu kepada Tuhan.

“Ya Tuhanku…”

“Ya Tuhanku…”

Namun mataku masih kering. Tiada perasaan sedih menelusuri mindaku. Tiada tanda penyesalan bagi si pendosa ini. Aku kecewa dan tertunduk pilu.

Aku teringat bait-bait lirik indah yang pernah didendangkan oleh penyanyi Aishah, 

Tuhanku
Dalam termanggu
Ku sebut nama-Mu
Biar susah sungguh
Mengingati Kau
Penuh seluruh…

Lantas aku teringat akan pesanan Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri iaitu mufti wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dalam salah satu ceramah beliau,

“…para ulama silam, hanya mendengar nama Allah sahaja pun mampu menangis.”

Kemudian, aku cuba tadabbur firman Allah S.W.T yang berkaitan dengan tangisan mata. Alhamdulillah, aku menjumpai sesuatu yang indah yang meletakkan martabat tertinggi bagi tangisan mata keranaNya.

“Mereka itulah sebahagian daripada Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka daripada keturunan Nabi Adam, dan daripada keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan daripada keturunan Nabi Ibrahim, dan (daripada keturunan) Israil- dan mereka itu adalah daripada orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.” (Surah Maryam 19:58)

Orang-orang soleh sememangnya memiliki martabat yang paling tinggi. Mereka mampu menangis apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran.

Sebahagian hati mereka tidak mati. Allah S.W.T memuji golongan ilmuan yang menangisi keindahan ayat-ayat suci al-Quran sepertimana dijelaskan di dalam ayat di bawah:

“…Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah al-Isra`17:107-109)

“Abang, sungguh indah hadis di bawah ini ya,” sapa isteriku sambil mengesat air mata kudusnya. Isteriku membacakan hadis-hadis di bawah ini,

“Lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam berkawal di jalan Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Pesanan isteriku ini amat menyentuh jiwaku. Hadis-hadis yang dikongsi oleh isteriku ini menjadi inspirasi untuk aku mempertingkatkan perasaan senduku pada Yang Maha Esa.

Di kala hampir senja, aku meredah hatiku yang usang. Aku teringat bait lirik yang indah daripada sifu bertajuk lagu Hidayah.

Dan hidayah selama ini
Hanyalah kau yang ku dambakan
Dan semoga sejahteralah
Engkau padaku
Oh! Hidayah
Dan tanpamu apalah aku
Apalah aku tanpa hidayah
Senja memanggil pulang sang pengembara
Menangis ia
Melihat keperihan zaman pencarian

Ya… tanpa hidayah apalah aku. Aku sepatutnya terus berdoa untuk mendapatkan hidayah. Seperti doa yang indah diajarkan di dalam al-Quran surah Ali-Imran 3:8 ini,

“(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” (A-li’Imraan 3:8) 

Aku terus melangkah dengan hati yang kosong. Aku bersandar di ruangan buku bacaan di masjid. Tiba-tiba, aku terserempak dengan sebuah buku yang menarik perhatianku.

Buku Syarah Al-Hikam: Terjemahan Dan Syarahan oleh S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad al- Bakri.

Penulis asal dikatakan seorang wali Allah, arif-billah dan ahli kasyaf al-Imam Abul Fadhal atau nama sebenarnya Tajuddin bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Iskandary.

Ianya merupakan kitab tasawuf yang melambangkan kesucian hati dan bersih daripada sifat-sifat yang mazmumah.

Aku membelek helaian satu persatu. Aku menjumpai jawapan terhadap sebahagian hatiku yang sudah mati. Ianya berada di dalam Hikmah ke-48 yang bertajuk “Sebahagian Tanda Matinya Hati”.

Sheikh telah berkata dalam kitab ini, “Sebahagian tanda matinya hati ialah jika tidak merasa sedih (susah) kerana tertinggalnya suatu amal kebaikan (kewajiban) dan juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu pelanggaran dosa.”

Aku meyakini kata-kata sheikh, memang aku tidak pernah merasa sedih jika terlupa zikir, terlupa berdoa, terlupa membaca Al-Quran dan terlupa bangun malam mengejutkan isteriku solat malam!

Mafhum hikmah sepertimana dijelaskan oleh S.S Mufti adalah, “Antara tanda matinya hati ialah tidak berasa sedih apabila melakukan maksiat. Begitu juga tidak menyesali maksiat yang dilakukannya.”

Teringat akan akan hadis indah di bawah ini,

Ibnu Mas”ud berkata: “Orang mukmin melihat dosa dirinya seumpama dia berada di bawah bukit yang akan menghempapnya, manakala orang munafik melihat dosanya seumpama lalat yang hinggap di atas hidungnya, maka dia menepisnya dengan tangan lalu terbanglah lalat tersebut.” (Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Kabir)

Lantas aku membentang tikar sejadah untuk mengerjakan solat sunat taubat. Mudah-mudahan aku dapat menginsafi diri yang penuh dengan sifat pendosa. Mudah-mudahan hati yang mati ini akan dapat bercahaya semula umpama kata Sheikh al-Buti,

“Apabila hati dipenuhi perasaan cinta kepada Allah SWT, membesarkan-Nya dan takut kepada-Nya. Itulah tanda hati yang hidup dan sebaliknya pula hati yang mati.” 

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Bekerja sebagai jurutera awam.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

8 points
Upvote Downvote

Total votes: 10

Upvotes: 9

Upvotes percentage: 90.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 10.000000%