, ,

Kisah Cinta Di Sebalik Peristiwa Isra’ Mikraj

Hadirnya bulan Rejab yang mulia, menandakan dekatnya kehadiran Ramadan Kareem yang dinanti-nantikan sekalian hamba Allah yang soleh.

Pemergian Ramadan ditangisi, kedatangan Ramadan dinanti, ibarat menanti kehadiran kekasih yang dirindui.

Golongan ini mengasihi Allah dan Rasulnya, suka akan pemberian Allah yang berlipat kali ganda ganjaran kebaikan. Fitrah manusia sukakan tawaran dan hadiah, sebagaimana dalam hal dunia, kita ternanti-nanti akan promosi hujung tahun serta harga ‘durian runtuh’.

Allah yang memahami fitrah manusia, mempromosikan ganjaran yang berlipat kali ganda daripadaNya. Itulah warna-warni kehidupan.

Beruntunglah mereka yang merebutnya, rugilah mereka yang mengabaikannya.

Israk Mikraj merupakan peristiwa penting yang berlaku pada bulan Rejab atau 27 Rejab secara tepatnya. Israk bererti perjalanan Nabi s.a.w. dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin.

Peristiwa ini disebut dalam Al-Quran secara jelas:

Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya, agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia, Maha Mendengar, Maha Melihat.” (Surah Al-Isra’ : 1)

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Baginda s.a.w. dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad s.a.w.) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi ‘Sidratul Muntaha’. Yang di sisinya terletak syurgra ‘Jannatul-Makwa’. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ‘Sidratul-Muntaha’ itu diliputi makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib yang tidak terhingga.

Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan Tuhan-Nya.” (Surah An-Najm : 13-18)

Para ulama hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan Baginda ﷺ sedar. Ia berlaku pada jasad dan roh Nabi Muhammad ﷺ bukannya roh sahaja.

Dalam ayat ini disebut kalimah ‘Subhana’, dalam bahasa Arab ia adalah Masdar iaitu suatu Ism atau kata nama yang membawa makna Tajaddud wal Istimrar.

Ulama Tafsir menyebut bahawa ‘Maha Suci Allah’ ini adalah tanzih penyucian mutlak bagi Allah, dengan makna jangan sekali-kali kita samakan rehlah Israk dan Mikraj ini dengan mana-mana kiasan makhluk.

Allah Maha Berkuasa menghentikan aturan masa. Sepertimana Allah s.w.t. menghentikan undang-undang adat dunia, api tidak dapat membakar Nabi Ibrahim a.s., begitu juga aturan masa.

Allah berkuasa menghentikannya pada bila-bila masa yang dikehendakiNya, kerana keduanya adalah makhluk.

Cinta itu pasti berkehendakkan kebaikan untuk yang dicintai. Ianya adalah suatu kompleks yang terangkum dalamnya kasih sayang, penderitaan, belas kasihan, pengorbanan dan lain-lain.

Ibu bapa cintakan anaknya, lalu anaknya dimarahi jika tiada adab kerana inginkan anaknya berbudi dan berjaya di dunia dan akhirat. Seorang suami cintakan isterinya, lalu isterinya dimarahi apabila tidak tutup aurat kerana inginkan kebaikan akhirat untuknya.

Beberapa peristiwa menyedihkan yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w.. Tahun itu disebut sebagai ‘Tahun Kesedihan’, dengan pemergian paman Baginda iaitu Abu Talib yang selama ini membela dakwahnya dalam kalangan pembesar Quraisy.

Kemudian, diikuti pula dengan pemergian isteri Baginda s.a.w. yang tercinta Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang sentiasa membantu dan menyokong perjuangan Baginda, serta dakwah Baginda di Thoif ditolak oleh penduduknya hingga pulang dalam keadaan mengalir darah di sepatu Baginda s.a.w..

Itulah ujian demi ujian yang dihadapi oleh kekasih kita Muhammad s.a.w. dalam menyampaikan risalah dakwah yang suci ini.

Dalam keadaan itu, Allah s.w.t. Maha Pengasih dan Penyayang menjemput kekasihNya untuk datang menghadapNya, bukti cinta Allah kepada Rasulullah s.a.w..

Lihatlah kisah-kisah kecintaan yang wujud dalam peristiwa Israk Mikraj.

Pertama, kepercayaan seorang kekasih kepada yang dicintainya melangkaui logik akal manusia. Saidina Abu Bakar telah membuktikan kepercayaannya kepada Nabi s.a.w. apabila ditanya oleh kaum Quraisy berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj.

Jawabnya, “Jika khabar itu datang daripada Muhammad, nescaya jika perjalanan jauh dari itu juga aku akan percaya.”

Seterusnya, cinta Allah s.w.t. kepada manusia. Tuhan yang bersifat dengan Istighna’ (Terkaya dari segala sesuatu) dan Iftiqar (Berhajat sekalian makhluk kepadaNya) sentiasa memberi kepada makhluknya tanpa had dan tanpa diminta.

Ketika Nabi s.a.w. berjumpa dengan Allah s.w.t., difardhukan ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w. 50 waktu solat. Tatkala turun, Nabi s.a.w. berjumpa pula dengan Nabi Musa a.s. lalu dinasihati oleh Nabi Musa a.s. agar mohon dikurangkan waktu solat itu kerana pasti umat Muhammad tidak mampu melaksanakannya.

Kasihnya Allah Taala kepada manusia, menerima permintaan Nabi s.a.w. agar bilangan solat diturunkan daripada 50 waktu ke 5 waktu solat sahaja. Dikurangkan rakaat, dikekalkan fadilat iaitu 5 solat yang dilaksanakan bersamaan dengan ganjaran 50 solat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a:

Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!” Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata:

“Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai pulalah dia oleh kalian semua, maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.” (HR. Bukhari)

Moga-moga kita tergolong dalam kalangan orang-orang tersebut. Mereka itu mengasihi Allah dan Allah mengasihi mereka, maka jadilah seluruh penduduk langit dan bumi kasih kepada hamba Allah itu. Alangkah beruntungnya.

Sahabat-sahabat yang dikasihi.

Begitu luasnya cinta Allah kepada hambanya, tidak tergambar dek akal kita yang cetek. Seluas-luas nikmat diberikan kepada hambaNya tanpa diminta, tanpa mengira sesiapa.

Justeru, marilah kita sama-sama merebut peluang, mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia dengan meningkatkan amal kebajikan dan koreksi keikhlasan dalam beramal.

Dalam satu hadis telah bersabda Nabi s.a.w., Rejab adalah bulannya Allah, Sya’ban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku.”

Akhir kalam, saya mengajak kita semua menghayati firman Allah Taala:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahf : 109)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zubair bin Amir Nur Rashid. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Merupakan pelajar Tahun 4, Universiti Mu’tah, Jordan dalam takhassus Syariah, Feqh wa Usul.

Berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1)? Klik di sini untuk menyertai PPii1.