Terkadang rapuhnya iman tatkala tidak teguh keyakinan akan kewujudan Tuhan Yang Menciptakan segala kejadian di alam semesta.
Lantas, renung dan perhatikanlah segala kejadian yang mustahil tercipta dan lahir jika tanpa kewujudan Pencipta.
Tidak semestinya perlu mengkaji jauh dengan melihat perkembangan planet Bumi mahupun alam cakerawala.
Sedangkan, dengan melihat kejadian diri sendiri daripada alam rahim hingga lahir ke alam dunia, mampu menerbitkan keyakinan adanya Sang Pencipta iaitu Tuhan Semesta Alam.
Benarlah firman Allah SWT,
سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّۗ
“Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka Quran itu benar.” (Surah Fussilat: 53)
Bermula daripada benih lelaki yang berupa nutfah (air mani) ataupun mengikut istilah sains sebagai ‘sperma’ demi terciptanya kita makhluk bergelar manusia.
Tuhan Pencipta kita Allah SWT menyatakan,
فَلْيَنظُرِ الْإِنسَانُ مِمَّ خُلِقَ
“(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.”
خُلِقَ مِن مَّاءٍ دَافِقٍ
“Ia diciptakan dari nutfah (air mani) yang memancut (ke dalam rahim).”
يَخْرُجُ مِن بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ
Yang keluar dari “sulbi” dan “taraaib”.
(Surah At-Tariq: 5-7)
Berdasarkan tafsiran As-Syaikh Said Hawa, perkataan sulbi daripada ayat ketujuh surah At-Tariq itu membawa maksud, ‘kawasan seksual lelaki’, manakala perkataan taraaib merupakan ‘kawasan peranakan wanita’.
Selanjutnya nutfah bercantum dengan benih wanita ataupun ovum.
Fasa-fasa tersebut telah dinyatakan Allah SWT demi membuktikan kekuasaan-Nya Yang Maha Agung lagi Perkasa.
Dari situ tercetusnya proses yang membentuk segumpal darah ke proses seketul daging dan sehingga ke proses terbentuknya janin bayi.
ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
“Kemudian Kami ciptakan nutfah (air mani) itu menjadi ‘alaqah (segumpal darah). lalu Kami ciptakan ‘alaqah itu menjadi mudghah (seketul daging); kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Surah Al-Mukminun: 14)
Malahan, tempoh setiap fasa itu turut dijelaskan Nabi SAW,
“Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu dikumpulkan kejadiannya di dalam perut ibunya (selama) 40 hari (sebagai) nutfah, kemudian ia menjadi ‘alaqah seperti sedemikian itu (40 hari), kemudian ia menjadi mudghah seperti sedemikian (40 hari), kemudian diturunkan malaikat.” (Riwayat Imam Bukhari & Muslim)
Sejurus berakhir beberapa fasa tersebut, bermulalah proses persenyawaan dengan roh mula ditiupkan dan Allah SWT mengurniakan pancaindera ke atas janin bayi.
Berdasarkan firman-Nya,
ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۖ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَۚ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ
“Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (Surah As-Sajdah: 9)
Keseluruhan proses yang termaktub di dalam Al-Quran dan Al-Hadith itu adalah selari dengan bukti dan penemuan sains moden.
Lantaran mengkaji kejadian dan kewujudan diri kita, tidakkah ini meningkatkan keimanan akan kewujudan Allah SWT, dan rasa takjub dengan kuasa-Nya Yang Maha Dahsyat itu?
Itu baru sekadar mengkaji secara asas, belum memasuki peringkat merenung betapa kompleksnya Asid Deoksiribonukleik (DNA) kita yang berjumlah 100 trilion sel. Manakala otak kita pula terdapat 100 bilion sel.
Mana mungkin semua ini tercipta dengan sendirinya, jika bukan dengan kejuruteraan Tuhan Yang Maha Canggih?
Seorang ahli falsafah dari United Kingdom yang ateis, iaitu Profesor Antony Flew, akhirnya percaya dengan kewujudan Tuhan sejurus mengkaji tentang DNA manusia.
Atas dasar itulah Allah SWT ada menegaskan,
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Telah Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian.” (At-Tin: 4)
Hakikat Al-Quran Itu Wahyu
Ternyata dengan merenung kejadian diri dari kaca mata sains yang dikaitkan dengan Al-Quran, ianya pemangkin iman bahawa Al-Quran itu benar.
Lantaran itu, adalah tidak mustahil orang bukan Muslim berpotensi beroleh hidayah jika mengkaji Al-Quran secara saintifik.
Sebagaimana Profesor Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar perubatan dari Perancis, memeluk Islam kerana meyakini kebenaran Al-Quran, sejurus menemui serangkap ayat daripada surah Yunus, yang seakan mendahului penyelidikan ke atas mumia Firaun,
فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةًۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ
“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Surah Yunus: 92)
Ianya jelas selari dengan penemuan ke atas mumia Firaun, di mana ia mengandungi kandungan garam yang tinggi sepertimana mereka yang lemas di dalam lautan.
Begitulah hikmah, mengapa Nabi SAW pada awalnya adalah seorang yang ummi ataupun yang tidak celik huruf?
Secara tidak langsung menafikan, Al-Quran itu adalah syair karangan Baginda SAW, sedangkan ianya mukjizat dan pedoman teragung daripada Allah SWT.
Dalam masa yang sama, turut meneguhkan keyakinan, bahawa Nabi SAW adalah Utusan Tuhan yang beroleh wahyu daripada Dia Yang Maha Pencipta.
Kerana kitab suci Al-Quran diturunkan pada 1400 tahun yang lampau, di kala tiada sebarang kemudahan penyelidikan yang serba canggih.
Apatah lagi Nabi SAW bukanlah seorang saintis yang pernah melakukan pelbagai kajian dan penyelidikan sains.
Maka, Islam bukanlah anutan untuk mereka yang enggan merenung kebesaran Allah SWT. Tetapi, ia adalah cara hidup bagi golongan yang cerdik pandai.
Di atas faktor itulah Allah SWT menyatakan,
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah ‘Ali-‘Imran: 190)
Sekian,
Wallahua’lam.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/
Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliPenulis, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.