,

Pengkhianatan Yahudi Bani Quraizah Dalam Perang Ahzab

Yahudi bani Quraizah berada di selatan Madinah. Sekiranya mereka mengkhianati perjanjian dengan kaum Muslimin, maka mereka akan memberi laluan kepada yahudi bani Nadhir, Quraisy dan Ghathafan untuk menyerang umat Islam di Madinah.

Seperti yang sudah dijangka, pimpinan yahudi bani Nadhir berjaya memujuk Ka’ab bin Asad iaitu pemimpin yahudi bani Quraizah untuk membantu mereka. Malah, Rasulullah sendiri sudah menjangkakan pengkhianatan itu kerana kaum yahudi sememangnya kaum yang tidak pernah menepati janji.

Lalu, Rasulullah mengutuskan Zubair bin Awwam untuk menyiasat tentang yahudi bani Quraizah. Katanya, “Wahai Rasulullah, aku lihat mereka tengah memperbaiki benteng dan jalan (agar pakatan musuh boleh menuju kaum Muslimin dengan mudah), dan mereka telah mengumpulkan haiwan ternak.”

Sekali lagi, Rasulullah mengutuskan pula Sa’ad bin Mu’adz, Sa’ad bin Ubadah, Abdullah bin Rawahah dan Khawat bin Jubair untuk menyiasat tentang yahudi bani Quraizah.

Setelah mendapat hasilnya, mereka menyampaikan isyarat, “Adhal dan Qarah”. Baginda mengerti apa yang mereka maksudkan, iaitu yahudi bani Quraizah sudah memang berkhianat seperti khianatnya Adhal dan Qarah iaitu dua kabilah dari Hudzail yang sebelum ini telah mengkhianati sahabat Nabi dalam peristiwa Dzatur Raji’.

Rasulullah mengutuskan Salamah bin Aslam bersama 200 pejuang, Zaid bin Harithah bersama 300 pejuang untuk menjaga Madinah. Mereka juga mengumandangkan takbir secara suara lantang untuk menggentarkan yahudi bani Quraizah yang sudah berpaling tadah. Sehinggakan, kaum Muslimin berjaya mendapat harta rampasan perang yahudi bani Quraizah dan dibawa kepada Baginda.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)