,

Keyakinan Para Sahabat kepada Lisan Nabi SAW

Semenjak kanak-kanak lagi, sebelum Muhammad diangkat menjadi Nabi, orang Arab telah berikan kepadanya gelaran Al-Amin iaitu suatu gelaran mulia bermaksud Yang Dipercayai.

Setiap orang yang mengenali Muhammad, mereka sangat merasa kagum dengan akhlak yang dimiliki olehnya.

Di samping tutur katanya yang sopan serta jujur dan tidak terpengaruh dengan kerenah manusia dalam masyarakatnya.

Sedangkan pada masa itu, pemuda-pemuda di kota Arab sangat gemar berjudi dan minum arak. 

Setiap apa yang dikatakan olehnya diyakini tanpa ragu-ragu kerana suatu perkara yang amat ketara pada peribadinya iaitu tidak pernah bercakap bohong melainkan yang benar belaka dan bila bercakap tidak pada perkara yang sia-sia.  

Maka setelah diangkat menjadi nabi, gemparlah kota Mekah. Mereka yang beriman kepadanya bertambah yakinlah atas segala yang diucapkannya.

Manakala mereka yang tidak beriman, hanya berani mengatakan bahawa Muhammad adalah pendusta walaupun selama ini mereka mengakui atas kebenaran segala yang diucapkannya. 

Para sahabat Nabi sedikitpun tidak ragu-ragu terhadap apa yang disampaikannya sebagaimana mereka yakin bahawa esok pagi akan terbit matahari seperti hari ini.  

Ini berlaku ke atas seorang sahabat yang bernama Hatib bin Abu Balta’ah, utusan Nabi untuk mengirimkan surat penyampaian dakwah kepada Raja Mesir yang bernama Muqawqis.

Di mana usahanya itu mendapat kejayaan dan sangat besar ertinya dalam menyebarluaskan Islam. 

Akan tetapi dalam peristiwa pembukaan kota Mekah, beliau telah melakukan kesilapan kerana lebih mengutamakan nasib ahli keluarganya yang masih menetap di Mekah.

Sedangkan dia tidak mempunyai teman yang dapat menjaga keselamatan keluarganya sekiranya orang-orang Quraisy menang dan menangkap sekelian keluarga Nabi dan para sahabatnya sebagaimana yang biasa terjadi di dalam peperangan.  

Maka tanpa berunding dengan sesiapa terlebih dahulu, Hatib telah menulis surat kepada pembesar-pembesar Quraisy, memberitahukan bahawa Nabi SAW telah bersiap-siap hendak menyerang mereka.

Di dalam suratnya itu, dia memberi peringatan kepada orang Quraisy supaya menyerah diri secara sukarela tanpa perlu dilancarkan perang dan dia juga telah cuba menakutkan mereka dengan menyatakan tentang kehebatan Rasulullah yang sekiranya baginda datang walau seorang diri, nescaya mereka tetap akan kalah.  

Apabila dilihat pada kandungan suratnya, memang bertujuan baik. Akan tetapi sebenarnya merupakan kesalahan yang besar kerana secara tidak langsung, dia telah menghebahkan pada musuh tentang rahsia strategi nabi untuk menguasai kota Mekah. 

Tindakan tersebut bererti Hatib telah membuka rahsia ketenteraan yang tidak sepatutnya diketahui oleh musuh sedangkan niatnya hanyalah untuk menjamin nasib keluarganya daripada disiksa oleh orang Quraisy.

Hatib melakukan ini kerana mengutamakan keselamatan ahli keluarganya lebih daripada mengambil kira kepentingan umat Islam keseluruhannya. 

Bagi menyampaikan surat yang ditulisnya itu, maka diserahkannya kepada seorang perempuan dengan upah yang besar iaitu sepuluh dinar emas, ini kerana dia juga sewaktu diutus untuk menyampaikan surat dakwah baginda Nabi, telah diberi hadiah oleh Raja Mesir sebanyak seratus dinar emas iaitu lebih kurang seratus paun ringgit emas.

Wang inilah yang Hatib berikan sebagai upah kepada perempuan tersebut yang mana riwayat perempuan ini tidak diceritakan dalam Islam. Perempuan itu dengan segera berangkat ke Mekah secara sendirian dengan mengenderai unta yang khusus untuk kaum wanita manakala surat itu diselitkan di celah sanggulnya. 

Baru sahaja perempuan itu keluar melalui sempadan Madinah dari tempat yang tidak dikawal, maka datanglah khabar daripada Allah kepada Nabi Muhammad SAW tentang masalah kiriman surat Hatib kepada pembesar pembesar Quraisy yang menyatakan bakal kedatangan Nabi ke Mekah walaupun tidak diketahui masanya yang tepat.  

Apabila Rasulullah telah mendapat wahyu, maka segera Baginda memerintahkan Ali bin Abu Talib bersama seorang sahabat datang menemui Baginda. Baginda bersabda kepada keduanya:

Pergilah kamu berdua pada suatu tempat. Di sana kamu akan bertemu dengan seorang perempuan. Mintalah surat daripadanya.

Maka Ali dan sahabat tadi segera berangkat hinggalah sampai ke tempat yang disebutkan oleh Rasulullah dan ternyata benar sebagaimana yang dikatakan, mereka bertemu dengan seorang wanita di dalam sebuah kenderaan unta yang khusus untuk kaum wanita.

Serta-merta Ali menahannya dan meminta surat daripadanya.

Kata wanita itu:

Aku tidak membawa sebarang suratpun.

Tetapi Ali tidak mempercayai ucapan perempuan itu kerana mustahil Rasulullah SAW berdusta. Tanpa membuang masa, Ali mendesak perempuan itu supaya menyerahkan surat yang dimaksudkan dengan katanya:

Sesungguhnya Rasulullah SAW selamanya benar. Lebih baik kamu serahkan surat itu atau aku akan memaksamu untuk menyerahkannya.

Mendengar kata-kata Ali yang demikian itu, sedarlah wanita itu akan kebenaran Rasulullah dan keimanan para sahabatnya terhadap baginda.

Lalu perempuan itu meminta supaya Ali menjauh sedikit. Kemudian dia keluarkan surat itu dari dalam sanggulnya dan menyerahkannya pada Ali.  

Setelah itu Ali dan sahabatnya tadi kembali ke Madinah tanpa mengambil sebarang tindakan terhadap wanita tersebut manakala wanita itu tidak pasti sama ada kembali ke Madinah atau telah meneruskan perjalanannya ke Mekah.  

Akhirnya rancangan Rasulullah hendak mara ke Mekah selamat dari pengetahuan orang Quraisy.

Hanya apabila Baginda hampir masuk ke sana barulah berita ini sampai pada pengetahuan mereka menyebabkan tiada persiapan yang sempat dilakukan bagi menghadapi serangan Rasulullah dan para sahabat.  

Akhirnya kota Mekah dapat dikuasai oleh orang orang Islam yang mana hari tersebut masyhur dengan nama Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah). 

 

Rujukan: Himpunan Kisah-kisah Teladan 3 terbitan Syarikat Nurulhas.