,

Keprihatinan Raja Muda Perlis

kredit gambar: http://kemanaarahkita.blogspot.com/2010/11/ladang-tebu-chuping-perlis.html

Negeri Perlis adalah negeri paling hujung di utara semenanjung Malaysia. Berkeluasan 795 km/persegi dan mempunyai kepadatan penduduk seramai 250, 000 orang.

Negeri Perlis begitu sinonim dengan slogan permai lagi mempersona. Buminya yang damai dikelilingi oleh pemandangan sawah padi yang menenangkan. Nama Perlis juga sinonim dan terkenal dengan tanaman pokok “harumanis”.

Selain itu juga, rakyat negeri Perlis amat bertuah dikurniakan seorang putera raja yang sedang memegang mandat sebagai Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis sejak 1 Ogos 2000 hingga kini.

Baginda Raja Muda Perlis telah diputerakan pada 30 Disember 1967 di Hospital Besar, Alor Setar Kedah. Baginda telah berkahwin dengan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan dikurniakan 3 orang anak.

Baginda begitu sinonim dengan kerja-kerja amal terutamanya dalam menegakkan syiar agama Islam di negeri terkecil ini.

Sejak menerajui Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku Yang Di Pertua bermula tahun 2002, pelbagai ilham baginda curahkan dalam usaha melaksanakan transformasi MAIPs.

Pelbagai agenda transformasi dan inisiatif baru telah dilaksanakan dalam menegakkan syiar agama.

Antara usaha transformasi yang dilakukan ialah menghulurkan bantuan dalam hal keperluan dan sokongan pendidikan kepada golongan saudara baru muslim atau disebut sebagai mualaf, bagi memberikan mereka nafas permulaan hidup baru sebagai seorang muslim.

Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf sudah sinonim dengan negeri Perlis. Bukan setakat itu sahaja, turut terkena tempias sikap keprihatinan Baginda ini ialah beberapa saudara baru muslim dari luar Perlis, turut dijemput untuk menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) secara percuma dibiayai oleh MAIPs.

Baginda dikenali sebagai seorang yang begitu komited dan menitikberatkan dalam soal bidang pendidikan. Baginda senantiasa mengingatkan rakyat negeri Perlis supaya bermentaliti kelas pertama dalam tindakan.

Keprihatinan Baginda dalam bidang pendidikan terbukti dengan program-program yang telah melibatkan pelbagai institusi pendidikan sama ada di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, di peringkat sekolah rendah dan menengah, juga termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Tidak ketinggalan dalam soal ini ialah golongan mualaf. Baginda menerusi MAIPs telah memperkenalkan tawaran biasiswa kepada mualaf bagi melanjutkan pendidikan. Inisiatif yang julung kalinya diadakan ini juga telah menarik minat Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha.

Dalam satu laporan akhbar bertarikh 13 Julai 2017, JAKIM menerusi Ketua Pengarahnya dalam satu majlis bersama mualaf di Perlis menyatakan hasrat beliau untuk melebarkan inisiatif yang menarik ini.

Beliau sendiri amat kagum dan bangga dengan inisiatif yang sangat bermanfaat buat para mualaf. Pada masa yang sama, beliau juga menyeru agar negeri-negeri lain mencontohi negeri Perlis dengan memperkenalkan inisiatif hebat ini.

Secara tidak langsung, inisiatif ini melambangkan sikap prihatinnya Baginda terhadap bidang pendidikan tanpa meminggirkan status sesiapun.

Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf tidak terhenti di situ sahaja. Baginda terkenal dengan sikap menitikberatkan soal perpaduan dan rasa kasih sayang kepada golongan mualaf.

Hal ini terbukti dalam titah ucapan Baginda pada tarikh 13 Februari 2017, Baginda bertitah supaya saudara muslim yang berketerunan cina agar tidak merasa asing berada dalam masyarakat Islam.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina bagi saudara muslim cina di negeri Perlis.

Baginda juga menyeru umat Islam supaya belajar mengenali kepelbagaian budaya dan juga perlu tahu bagaimana untuk mengharmonikan adat dan budaya dengan ajaran Islam yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

Baginda sering mengingatkan para pendakwah supaya menunjukkan contoh teladan yang baik dan murni selari dengan ajaran petunjuk wahyu dari Allah Azza Wa Jalla.

Selain itu, Baginda juga  menyarankan agar orang Islam mengajak saudara baru muslim untuk turut bersama menyambut hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha bagi memupuk nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang sesama umat Islam.

Pada masa yang sama, Baginda seringkali meluahkan rasa bimbang dengan sikap segelintir umat islam yang langsung tidak mencerminkan imej islam yang sebenar. Baginda sangat bimbang dengan imej islam yang seringkali digambarkan dengan imej yang negatif.

Hal ini secara tidak langsung, berpunca daripada kelemahan sikap umat Islam itu sendiri yang suka bermusuhan dan tidak boleh menerima sudut pandangan yang berbeza. Fenomena ini sekiranya dibiarkan, ianya akan memberi kesan kepada saudara baru muslim yang berkemungkinan kembali cenderung untuk kembali kepada agama asal mereka.

Atas sebab ini, Baginda sentiasa prihatin akan permasalahan ini dengan menyokong pelbagai program keagamaan dilaksanakan khusus kepada golongan mualaf sebagai salah satu inisiatif atau langkah membimbing mereka mengenal didikan dan ajaran Islam yang sebenar.

Baginda juga menerusi MAIPs, telah melantik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu One Centre Malaysia sebagai sebuah badan khas yang bertindak menggerakkan kerja-kerja dakwah dan pada masa yang sama juga memberikan bimbingan dan panduan khusus kepada golongan mualaf.

One Centre Malaysia juga berperanan untuk memperkenalkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Bukan Islam dan berfungsi sebagai jambatan perpaduan antara agama dan kaum tanpa mengetepikan prinsip Islam.

Maka kita boleh lihat bagaimana beberapa tokoh agama sama ada di dalam atau di luar negara, dijemput untuk memberikan ceramah, berkongsi rasa sesama mualaf sebagai suatu suntikan vitamin motivasi buat para saudara baru juga pada umat Islam keseluruhannya.

Keprihatinan Baginda terhadap golongan mualaf telah menjadi simbolik yang hebat kepada negeri Perlis yang terpencil di utara semenanjung.

Betapa kita boleh melihat dan merasainya, sebuah negeri yang kecil dipimpin oleh seorang putera raja muda yang berjiwa besar dan sentiasa berfikiran positif dalam mengembangkan lagi syiar agama Allah.

Apa yang dituliskan dalam artikel ringkas ini ialah serba sedikit usaha Baginda memperjuangkan nasib golongan mualaf khususnya di negeri Perlis.

Tidak kira lagi betapa banyak lagi di sana, usaha dan gerak kerja Baginda bersama MAIPs menjejaki dan menyantuni para asnaf di sekitar negeri Perlis dengan cara dan gayanya yang tersendiri.

Keprihatinan Baginda dalam banyak soal kehidupan ini telah membawa rahmat kepada sekalian penduduk rakyat jelata di negeri Perlis khususnya.

Kita doakan agar Allah Azza Wa Jalla terus memberi petunjuk di atas jalan redhaNya serta dikurniakan kekuatan kepada baginda untuk terus memimpin negeri ini menegakkan syiar agama Allah yang Maha Esa. Dirgahayu Tuanku!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.