Kisah Nabi Musa di dalam Al-Quran sememangnya menarik untuk dibincangkan, apatah lagi kalau diambil sebagai pengajaran kerana ia melibatkan ramai pihak, termasuklah isterinya sendiri.
“Apa? Kisah isteri Nabi Musa pun ada?”
Haa, betul tu. Saya tak nak hurai panjang, jadi jom saya kongsi pada korang kisah bagaimana Nabi Musa bertemu dengan isterinya, yang saya rujuk daripada kitab Qishasul Anbiyaa.
Kisahnya bermula apabila Nabi Musa sudah dewasa, berlaku suatu konflik antara dua orang lelaki yang berkelahi, seorang daripada golongannya iaitu bani Israil, seorang lagi daripada kaum Firaun iaitu orang Qibthiy.
Lalu, Nabi Musa menolong orang daripada golongannya. Berlaku pergelutan dan apabila Nabi Musa menumbuk orang Qibthiy tersebut, musuhnya mati. Nabi Musa tidak berniat untuk membunuhnya kerana Baginda hanya sekadar ingin memberikan pelajaran.
Dipendekkan cerita, Allah mengampunkan perbuatan Nabi Musa setelah Baginda berdoa dan mengharapkan keampunan-Nya. Namun, seperti yang dijangka, pihak musuhnya tidak berpuas hati, sehinggakan pegawai-pegawai Firaun bersepakat untuk menangkap dan membunuh Baginda.
Sebab itulah, Nabi Musa keluar meninggalkan Mesir.
Lalu, Nabi Musa menuju ke Madyan. Haa, kat sinilah Baginda bertemu dengan bakal isterinya!
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلۡقَآءَ مَدۡيَنَ قَالَ عَسَىٰ رَبِّيٓ أَن يَهۡدِيَنِي سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ وَلَمَّا وَرَدَ مَآءَ مَدۡيَنَ وَجَدَ عَلَيۡهِ أُمَّةٗ مِّنَ ٱلنَّاسِ يَسۡقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ ٱمۡرَأَتَيۡنِ تَذُودَانِۖ قَالَ مَا خَطۡبُكُمَاۖ قَالَتَا لَا نَسۡقِي حَتَّىٰ يُصۡدِرَ ٱلرِّعَآءُۖ وَأَبُونَا شَيۡخٞ كَبِيرٞ فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَآ أَنزَلۡتَ إِلَيَّ مِنۡ خَيۡرٖ فَقِيرٞ
Dan setelah dia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah dia dengan berkata: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.”
Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka ada dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”
Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh, lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”.
(Surah Al-Qasas 28:22-24)
Dua orang perempuan itu merupakan anak Nabi Syuaib, salah seorangnya berkahwin dengan Nabi Musa.
Nota kaki : Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid. Layari https://t.me/aizuddinhamiid untuk perkongsian bermanfaat.