,

Kegagalan Merancang, Merancang Kegagalan

Kejayaan adalah merupakan impian bagi setiap manusia.

Hal ini kerana kejayaan adalah kemuncak pencapaian dalam hidup mereka dalam suatu perkara.

Kejayaan ini boleh datang dalam pelbagai situasi. Boleh jadi kejayaan itu datang daripada melalui pekerjaan yang diceburi, pengajian yang ditempuhi mahupun kejayaan di akhirat nanti.

Walaupun begitu, setiap kejayaan yang diimpikan bukanlah boleh dicapai dengan mudah sahaja, bahkan bagi setiap orang yang mengidamkan kejayaan pasti akan merasai “nikmat” kesukaran dan cabaran yang mendatang sebelum mereka berjaya mencapai apa yang mereka inginkan dalam hidup mereka.

Untuk mencapai kejayaan yang diimpikan, mentaliti seorang pemenang mesti diterapkan.

Oleh itu, seseorang yang inginkan kejayaan mestilah mempunyai matlamat yang jelas, perancangan yang rapi dan teliti serta gerak kerja yang bersungguh-sungguh dan konsisten.

Seseorang pemenang mesti mempunyai matlamat yang jelas dalam setiap perkara yang dicitakan.

Hal ini kerana matlamat adalah penentu kepada hala tuju kita dalam melakukan suatu gerak kerja.

Tanpa matlamat, seseorang itu seumpama sekeping layang-layang yang telah terputus talinya dan terbang tanpa arah tujuan yang akhirnya akan jatuh di tempat yang tidak diketahui.

Begitulah pentingnya matlamat kerana tanpa matlamat yang jelas seseorang itu boleh hilang punca dalam “perjalanannya” menuju kepada matlamat.

Dengan matlamat yang jelas juga secara tidak langsung boleh memberikan motivasi dalam yang kuat dalam diri seseorang untuk meneruskan langkah dan usaha dalam mencapai cita-cita mereka.

Hal ini kerana mereka mengetahui dan memahami dengan jelas tujuan mereka melakukan sesuatu pekerjaan itu yang akhirnya pasti akan kembali kepada matlamat akhir juga.

Matlamat yang jelas sahaja tidak memadai untuk seseorang itu mencapai apa yang dinginkan.

Mereka juga perlu untuk melakukan perancangan dengan teliti dan sebaiknya.

Mereka perlu mengetahui ‘big why’ dan ‘big view’ terhadap apa yang ingin dicapai agar setiap perancangan dapat dilakukan dengan cermat dan teliti dengan menuliskannya di dalam sebuah buku khas.

Hal ini kerana otak manusia tidak mampu untuk mengingati terlalu banyak perkara dalam satu-satu masa.

Oleh itu, bagi mengelakkan segala input dan idea penting berkaitan perancangan kita, perlulah ditulis agar ia tidak hilang atau terlupa pada saat kita amat memerlukannya.

Perkara ini penting kerana ia akan menjadi rujukan dan panduan agar mereka tidak tersasar ketika dalam perjalanannya menuju kepada matlamat.

Perkara yang paling penting dalam usaha untuk mencapai kejayaan adalah dengan melakukan apa yang telah dirancangkan sebelum ini.

Hal ini kerana, semua perkara yang telah dirancang akan menjadi sia-sia sahaja jika tiada usaha untuk memulakan langkah untuk bergerak ke arah matlamat dan cita-cita yang diimpikan.

Matlamat yang digariskan juga tidak akan dapat direalisasikan jika tiada langkah atau usaha yang dilakukan.

Oleh itu, ‘first step’ adalah sangat penting kerana segalanya adalah bermula dengan langkah pertama dalam hidup seseorang.

Lakukan sahaja apa yang telah dirancang dengan mengikut kepada panduan dan perancangan yang telah digariskan sebelum ini secara konsisten dan bersungguh-sungguh agar kemanisan kejayaan dapat dinikmati sebaiknya.

Kesimpulannya, kejayaan adalah suatu pilihan untuk semua manusia.

Semua manusia berhak untuk mendapat kejayaan dengan syarat mereka perlulah berusaha ke arah kejayaan tersebut tanpa menjatuhkan orang lain.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Ziyad @ Othman bin Mohd Nidzar.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)

What do you think?

44 points
Upvote Downvote

Total votes: 46

Upvotes: 45

Upvotes percentage: 97.826087%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 2.173913%