Masa Rasulullah dapat wahyu di Gua Hira’, Baginda pulang ke rumah dalam keadaan gementar dan minta Khadijah binti Khuwailid, isterinya untuk selimutkannya.
Setelah bercerita tentang kejadian yang berlaku, apa yang dikatakan Khadijah?
Katanya, “Jangan takut (bergembiralah) demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan engkau selamanya. Sesungguhnya engkau suka menyambung persaudaraan (dan berkata benar), menanggung beban dan berusaha membantu orang yang tidak punya, memuliakan tetamu, dan menolong penegak kebenaran.”
Secara tak langsung, ia menunjukkan bahawa Khadijah seorang yang kuat hatinya, tak takut atau terperanjat bila dengar berita tu. Beliau hadapi dengan tenang.
Khadijah seorang yang berpengetahuan luas, mampu berfikir secara rasional, cuba menghubungkan antara berita yang beliau dengar dengan fakta sebenar yang menimpa suaminya, melalui pertemuannya dengan Waraqah bin Naufal, sepupunya yang alim untuk bercerita tentang apa yang berlaku.
Sebagai isteri, beliau merupakan contoh teladan yang baik bagi para isteri pendakwah.
Bayangkan, beliau sanggup mengorbankan masa dan memberikan sokongan kepada suaminya untuk berdakwah kerana beliau sedar suaminya itu bukan hak miliknya seorang tetapi milik Allah, milik masyarakat, ada tugas dakwah yang perlu diselesaikan.
Tanggungjawab berat yang dipikul Rasulullah tidak cukup hanya sekadar ada isteri yang mulia, bertaqwa, cantik dan terhormat, tetapi Baginda juga perlukan isteri yang faham kewajipan dakwah, isteri yang betul-betul faham beban yang dipikul suami, setia mendampingi di saat susah atau senang.
Memiliki isteri solehah menjadi salah satu faktor berjayanya tugas dakwah di suami.
Benarlah seperti yang dinyatakan dalam hadith riwayat Muslim, Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Dunia adalah kesenangan belaka, dan sebaik-baik kesenangan dunia adalah wanita solehah.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)