,

Ikrimah Bin Abu Jahal Terbuka Hati Untuk Memeluk Islam

Siapa yang tak kenal Abu Jahal? Dialah antara pemimpin Quraisy yang paling kuat melawan Rasulullah. Begitu juga anaknya, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal yang turut melawan Islam.

Ketika peristiwa Fath (pembukaan) Makkah, Ikrimah melarikan diri ke Yaman kerana dia khuatir dibunuh. Isteri kepada Ikrimah iaitu Ummu Hakim yang pada ketika itu sudah masuk Islam berjumpa Rasulullah dan meminta jaminan keselamatan Ikrimah.

Ummu Hakim bertolak mencari suaminya sambil ditemani oleh seorang hamba dari Romawi. Namun, dalam perjalanan hamba itu ingin melakukan perkara tidak senonoh kepada Ummu Hakim. Dia bernasib baik setelah berteriak meminta tolong kepada penduduk di sekitar perjalanan itu sehingga hamba itu diikat kuat.

Apabila Ummu Hakim bertemu suaminya Ikrimah, dia berterus-terang bahawa Rasulullah telah memberi jaminan keamanan kepadanya. Pada awalnya, Ikrimah tidak percaya dan meminta bukti.

Maka, sebagai bukti keamanan, Rasulullah memberikan serban yang dipakainya ketika Fath (pembukaan) Makkah. Ikrimah pun bersetuju untuk mengikut isterinya pulang ke Makkah.

Dalam perjalanan pulang, Ummu Hakim bercerita mengenai apa yang dilakukan oleh hamba tersebut. Ikrimah berasa marah lalu membunuh hamba itu dalam keadaan Ikrimah masih lagi belum Islam pada ketika itu.

Rasulullah juga ada berpesan kepada para sahabat: “Ikrimah bin Abu Jahal akan mendatangi kamu dalam keadaan beriman dan berhijrah, kerana itu kamu jangan mencela ayahnya, sebab mencela orang yang sudah mati itu menyakiti orang yang masih hidup dan (celaannya) tidak akan sampai kepada orang yang sudah mati.”

Disebabkan keperibadian Rasulullah yang tiada tandingannya, akhirnya Ikrimah mengucap dua kalimah syahadah.

Ikrimah bersumpah di hadapan Baginda untuk mengeluarkan infak dua kali ganda daripada dana yang pernah dia berikan ketika jahiliah, malah akan berjuang dua kali ganda di jalan Allah dibandingkan dengan perjuangannya ketika jahiliah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%