,

Balasan Buat Yang Tidak Ikhlas

Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada para rasul-Nya dengan beberapa mukjizat yang berbeza.

Sebagaimana yang telah diketahui, Nabi Sulaiman AS diberikan oleh Allah kerajaan yang besar sehingga sekalian makhluk tunduk terhadap pemerintahannya.

Bukan sahaja manusia malah jin dan juga segala binatang tunduk pada kerajaannya.

Oleh kerana kerajaannya amat luas, Allah SWT berikan kefahaman kepadanya akan segala bahasa binatang. 

Apabila Allah melantiknya sebagai Rasul, maka seluruh umatnya membaiatnya (mengaku sumpah setia terhadap kerasulannya dan juga kerajaannya).

Pada suatu hari, terdengarlah oleh sekumpulan kijang tentang Nabi Sulaiman sebagai rasul Allah.

Maka dengan sukacita dan ikhlas, pergilah sekumpulan binatang kijang ini ke istana Nabi Sulaiman bagi mengucapkan sumpah setianya terhadap kerasulan dan kerajaannya.

Dengan perasaan girang pula Nabi Sulaiman menyambut kedatangan rombongan kijang tersebut.

Setelah mereka berbual mesra, akhirnya kumpulan haiwan itu meminta diri untuk kembali ke tempat kediaman mereka.

Nabi Sulaimanpun mengizinkan mereka untuk kembali sambil menyatakan rasa besar hati baginda ke atas kesudian menziarahi baginda. 

Dengan sebab keikhlasan kumpulan kijang tersebut, Allah  SWT lalu membalasnya dengan memberikan wangi wangian yang dikenal hingga saat ini dengan wangian kasturi yang terletak pada ekornya.

Namun kumpulan kijang tersebut tidak menyedari bahawa pada ekornya tersimpan minyak kasturi yang sangat harum baunya. 

Manakala sampai di pertengahan jalan menuju tempat kediaman mereka, ada dalam kalangan mereka tersentuh ekor sahabatnya.

Dengan sebab sentuhan itu merebaklah bau yang sangat harum sehingga mereka sendiri menjadi hairan memikirkan dari mana datangnya bau harum tersebut.

Setelah diperiksa, ternyata bau harum itu datang dari pada ekor sahabatnya yang kena sentuh sedangkan yang disentuh tidak menyedari keharuman itu.  

Akhirnya, mereka mengetahui bahawa mereka semua menyimpan bau kasturi pada ekor masing masing. Mereka lalu meneruskan perjalanan pulang dengan rasa sangat gembira. 

Sebelum mereka sampai di tempat kediaman mereka, tiba-tiba di pertengahan jalan bertemu dengan sekumpulan kera.

Dengan segera kera-kera itu menghampiri kumpulan kijang kerana mereka terhidu bau yang sangat harum dari arah mereka.  

Dengan rasa iri, kera bertanya kepada kijang,

Wahai sahabat, ke mana kamu semua pergi? Sehari suntuk kami tidak bertemu dengan kamu.

Sebelum pertanyaan kera dijawab, kumpulan kijang mendahului dengan pertanyaan:

Wahai sahabat, apakah kamu tidak mengetahui bahawa Raja Sulaiman sekarang ini telah diangkat menjadi Rasul?

Kata kijang selanjutnya:

Di samping baginda sebagai seorang raja yang amat luas kekuasaannya, baginda telah diangkat juga sebagai rasul Allah. Maka sangatlah patut kita sebagai rakyatnya pergi menziarahi serta membaiatnya.

Jawab kera dengan sombong:

Buat apa bersusah payah pergi ke sana sedangkan tiada sebarang keuntungan yang boleh kami dapati daripadanya.

Lalu kijang berkata:

Wahai kera, adakah kamu tidak mencium bau harum dari tubuh kami?

Jawab kera:

Ya benar, kami mencium bau yang sangat harum keluar daripada kamu. Sebab itulah kami menemui kamu kerana kami ingin tahu dari mana kamu mendapat bau harum tersebut.

Jawab kijang:

Sesungguhnya pada mulanya kami juga tidak mengetahui tetapi itu semua terjadi atas kehendak Allah. Apabila sahaja kami kembali dari menziarahi Nabi Sulaiman, tiba-tiba sahaja tanpa kami sedari pada setiap tubuh kami menyimpan bau harum kasturi.

Kami sangat yakin bahawa ini adalah rahmat daripada Allah atas sebab kami menziarahi Nabi Allah Sulaiman dengan ikhlas hati.

Setelah kumpulan kera mendengar keterangan kijang, segera mereka meminta diri kerana mahu pergi menziarahi Nabi Sulaiman.

Tetapi niat mereka menziarahi baginda bukan berdasarkan keikhlasan tetapi semata-mata mengharapkan supaya mendapat bau harum kasturi dengan sebab keberkatan Nabi Sulaiman.

Berbeza dengan kumpulan kijang, mereka pergi dengan keikhlasan dan mengharap keredaan Allah semata. 

Apabila kumpulan kera sampai di istana Nabi Allah Sulaiman, maka mereka berpura-pura berbaiat dengan baginda.

Nabi Sulaiman menyambut kedatangan mereka dengan baik sebagaimana Nabi Sulaiman menyambut tetamunya yang terdahulu. Setelah mereka beramah mesra, maka kerapun meminta diri. 

Manakala mereka sampai di pertengahan jalan, mereka membuat sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan kijang.

Maka mereka sentuhlah ekor salah seekor dari sahabat-sahabat mereka tetapi malangnya, apa yang diharapkan jauh daripada kenyataan kerana sahabat yang disentuh itu bukan mengeluarkan bau harum.

Tetapi sebaliknya mengeluarkan bau yang teramat busuk sehingga kawan-kawannya tidak tahan mencium baunya.

Pada masa itu tersentuh pula ekor kawan yang lain, juga tercium bau yang sama.  

Ternyata semua kera tersebut menyimpan bau yang teramat busuk akibat dari ketidakikhlasan mereka dalam berbaiat kepada Nabi Sulaiman.  

Rujukan: Himpunan Kisah-kisah Teladan 3 terbitan Syarikat Nurulhas.