,

Hijrah di Usia Tua – Suhail bin ‘Amru

Membaca kisah awal detik permulaan agama Islam di kota Mekah menemukan kita bermacam-macam watak yang sangat memusuhi Islam dan nabinya, Muhammad SAW.

Bukannya mereka tidak mengakui kebenaran wahyu yang dibawa oleh Baginda namun hanya kerana satu, bimbang akan kehilangan darjat dan pangkat.

Mereka berasa tercabar tatkala agama yang diserukan oleh Nabi Muhammad SAW menghapuskan sistem perhambaan dan meletakkan manusia di kedudukan sama rata.

Tiada beza antara keturunan dengan keturunan yang lain, tiada beza antara tuan dan hamba. Semuanya sama di sisi Allah yang Maha Esa.

Maka, salah seorang sosok yang begitu kuat menentang seruan Islam di peringkat awal ini ialah Suhail bin ‘Amru.

Seorang tokoh bangsawan Quraisy yang disegani.

Mampu membuatkan orang ramai terpukau mendengar lontaran katanya.

Itulah yang dilakukan bagi menghalang penduduk Mekah mengikuti ajaran yang dibawa Nabi Muhammad.

Kekerasan Seorang Ayah

Suhail bin ‘Amru memiliki dua orang anak lelaki. Mereka ialah Abu Jandal dan Abdullah.

Kedua-dua orang anaknya ini telah memeluk Islam secara sembunyi tanpa pengetahuan ayahnya.

Secara senyap-senyap, mereka bertemu Rasululah SAW dan para sahabat yang lain mempelajari Islam.

Namun, akhirnya rahsia terbongkar dan Suhail terus bertindak mengurung kedua-dua orang anak lelakinya itu kerana bimbang akan turut menyertai para sahabat yang sudah berhijrah.

Digari kaki dan tangan mereka agar tidak melarikan diri.

Semua tekanan yang diberikan itu adalah hasil kesepakatan para pemimpin Quraisy untuk masing-masing menghalang ahli keluarga sendiri daripada memeluk Islam.

Walaubagaimanapun, salah seorang anak lelakinya, Abu Jandal berjaya meloloskan diri dengan membuat helah kepada ayahnya dan terus menuju ke kota Madinah.

Tatkala Peperangan Badar meletus, Suhail memaksa anaknya yang seorang lagi itu, Abdullah untuk turut serta di barisan kaum Musyrikin.

Ketika perang, Abdullah pula mengambil kesempatan untuk melarikan diri kepada pasukan Muslim.

Akhirnya, peperangan tamat. Kemenangan di pihak kaum Muslimin.

Walaupun dengan kelengkapan yang serba kekurangan, berbekalkan iman yang tinggi, Allah SWT memenangkan umat Islam dalam peperangan yang pertama ini.

Bukan itu sahaja, ramai pemimpin Quraisy terbunuh mahupun yang tertawan. Antaranya ialah Suhail bin ‘Amru.

Beliau kemudiannya dibebaskan setelah membayar sejumlah wang pampasan.

Masih Belum Terlambat

Akhirnya, setelah seorang demi seorang rakan yang turut sama memberikan penentangan dan memusuhi Islam meninggal dunia, Suhail bin ‘Amru bagaikan bersendirian.

Beliau beruntung masih lagi diberikan peluang untuk terus bernafas.

Setelah mengakui bahawa Islam sudah semakin kuat, beliau mengalah dan akhirnya menyerahkan dirinya kepada agama Allah yang mulia.

Beliau memeluk Islam pada hari peristiwa Pembukaan Kota Mekah. Tempoh yang agak lewat.

Namun, tiada yang terlambat untuk kembali kepada fitrah. Antara pemimpin Quraisy yang turut memeluk Islam ialah Abu Sufian bin Harb dan isterinya Hindun binti ‘Utbah.

Imam al-Dzahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ menceritakan perihal Suhail bin ‘Amru ini dengan berkata: “Beliau menangguhkan untuk memeluk Islam sehinggalah pada hari Pembukaan Kota Mekah.

Kemudian Islam telah menjadikannya seorang yang baik. Telah ditawan dalam Peperangan Badar dan dibebaskan. Menetap di kota Mekah sehinggalah kewafatan Rasulullah SAW.”

Suhail bin ‘Amru bukan sahaja menjadi seorang yang kuat beribadat, malah seorang yang gemar menyertai ekspedisi jihad.

Al-Zubair bin Bakkar: “Suhail seorang yang banyak mendirikan solat sunat, puasa dan sedekah. Beliau telah keluar bersama kumpulannya ke Syam untuk berjihad.”

Akhirnya segala kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini sewaktu belum memeluk Islam daat ditebus kembali dengan memeluk agama suci ini dan melaksanakan tuntutan-tuntutannya.

Ketika itu, Suhail sudah pun tua. Namun, semangat jihadnya masih lagi membara. Tiada istilah terlambat dalam kamus hidup beliau.

Jangan Malu

Siapa yang tidak malu? Sewaktu agama Islam mula-mula disampaikan oleh Rasulullah, beliaulah yang menjadi penentang terkuat.

Para pemuda Quraisy ketika itu seorang demi seorang memeluk Islam. Sedangkan golongan yang berusia, bermati-matian memusuhinya.

Namun, takdir Allah menentukan sebaliknya. Akhirnya dirinya menjadi antara orang yang lewat keislamannya.

Menjadi seorang sahabat yang ‘junior’ berbanding sahabat-sahabat nabi yang lebih muda daripada dirinya. Malu diletakkan ke tepi.

Yang penting dengan waktu yang masih tersisa, beliau akhirnya menggunakan sepenuhnya untuk Islam.

Bagaikan mengqada’kan waktu-waktu yang telah terbuang kerana menentang Islam dan nabinya.

Begitulah dengan kita. Jangan pernah rasa terlambat untuk berhijrah kepada yang lebih baik.

Jangan sampai perasaan tersebut menjadikan kita rugi selama-lamanya.

Selagi hayat dikandung badan, gunakan masa yang ada untuk menebus kembali waktu yang telah kita sia-siakan dahulu.

Insha Allah, jikalau kita benar-benar ikhlas, semua itu akan dapat menampung kesalahan lalu.

Rujukan:

Siyar A’lam al-Nubala’ : Imam al-Dzahabi.