Sebagai seorang Muslim, sedar atau tidak sebenarnya ibadah-ibadah yang kita laksanakan sangat berkait dengan masa.
Ada yang berbentuk harian, bulanan mahupun tahunan. Maka, apabila sesuatu itu terkait dengan masa, maka sudah tentulah di situ perlunya disiplin.
Ya, disiplin terkait dengan peraturan.
Ibadah ada peraturan dan tatacaranya.
Ibadah juga memiliki hukuman yang tertentu bagi yang gagal melaksanakannya.
Jikalau kita menyedari hal ini, sudah tentu kita dapat membentuk karakter berdisiplin.
Kita lihat satu contoh, solat fardu.
Ia merupakan ibadah yang paling utama dan paling penting bagi seorang Muslim.
Tambahan pula, solat fardu merupakan ibadah yang bersifat harian.
Perlu didirikan sebanyak lima kali sehari semalam.
Namun, ia tidak boleh didirikan sesuka hati memandangkan ia hanya boleh didirikan pada waktu-waktu yang ditetapkan sahaja.
Bukankah Allah SWT telah berfirman:
Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah al-Nisa’ 4:103)
Itulah peraturannya. Sekiranya ditinggalkan secara tidak sengaja, perlu diqada’ manakala jika ditinggal secara sengaja, akan menerima balasan dosa dan azab.
Bahkan lebih teruk, seseorang Muslim itu boleh jatuh kafir sekiranya bertindak menafikan kewajipan solat fardu yang wajib itu.
Imam al-Zahabi dalam kitab al-Kabair menyebutkan:
Solat diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar,
Apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.
Dipupuk Sejak Kecil
Cara untuk memupuk diri berdisiplin, perlunya ada peraturan dan hukuman.
Sebab itulah Islam menyuruh ibu bapa untuk mendidik anak-anak untuk mendirikan solat sejak akil baligh lagi.
Bukan itu sahaja, jikalau mereka meninggalkan solat, hukuman juga turut diberikan agar ibadah ini tidak dipandang remeh.
Nabi SAW berpesan:
Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka. (Riwayat Abu Daud)
Ya, hadis di atas sangat bertepatan dengan konsep peraturan dan hukuman yang dibincangkan.
Ibu bapa perlu mengambil langkah pertama dengan menetapkan peraturan terlebih dahulu kepada anak-anak.
Mereka perlu tahu bahawa mereka perlu mendirikan solat pada usia tujuh tahun.
Kemudian, barulah diikuti dengan hukuman.
Apabila sudah berusia 10 tahun, jikalau mereka meninggalkan solat, hukuman perlu diberikan iaitu dengan dipukul.
Walaubagaimanapun, hukuman tersebut bukanlah bertujuan untuk menyakitkan si anak bahkan hanya satu proses pendidikan dan peringatan.
Janganlah pula dibantainya si anak itu sehingga menyebabkan kesakitan yang melampau. Itu tidak diajar oleh Islam.
Menjaga Waktu Solat
Apabila seseorang itu sudah konsisten tidak meninggalkan solat fardu, maka secara tidak langsung disiplin telahpun berjaya dipupuk dalam diri.
Maka, barulah dia dapat beralih ke peringkat yang seterusnya iaitu menjaga waktu solat.
Menjaga waktu solat merujuk kepada mendirikan solat di awal waktu.
Hal ini sebagaimana yang disabdakan Nabi SAW apabila ditanya oleh Ibn Mas‘ud berkenaan amalan yang paling disukai oleh Allah. Baginda menjawab:
Mendirikan solat pada awal waktunya. (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, dari segi ibadah memang kita tidak boleh mempersoal mengapa ditetapkan waktu sedemikian rupa.
Begitu jugalah dengan rutin harian kita. Kita tidak pula tanyakan mengapa perlu tiba di pejabat sebelum jam 9 pagi?
Ya, tanpa kita sedari kita sebenarnya sedang melatih diri kita untuk menjadi berdisiplin.
Walaupun solat masih tetap boleh didirikan pada bila-bila masa sepanjang tempoh waktunya.
Namun, sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW, mendirikan solat adalah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT. Bukankah ia istimewa?
Sebagaimana kita masih akan tetap mendapat gaji walaupun hadir lewat ke pejabat, namun bukankah tabiat sebegitu akan menyebabkan majikan mula tidak menyukai kita?
Begitulah analoginya jika dibandingkan dengan solat.