,

Bersuhbah Untuk Berubah

Apabila bercerita tentang taubat, ia menandakan seseorang Muslim itu telah memasang niat dan membulatkan tekadnya untuk berubah menjadi lebih baik.

Barangkali sebelum ini, dirinya telah terjebak dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Maka diharapkan agar dirinya dapat meninggalkan segala tingkah laku buruknya sebelum ini.

Walau bagaimanapun, taubat tidak terhenti setakat di situ sahaja.

Hal ini kerana taubat melibatkan dua bentuk interaksi yang penting iaitu interaksi antara dirinya dengan Tuhannya dan interaksi dirinya dengan manusia yang lain.

Apabila kedua-dua ini dapat diselesaikan, maka insya-Allah mudahlah perjalanan taubatnya.

Sukarnya Meninggalkan “Kepompong” Lama

Namun, adalah menjadi satu masalah sekiranya seseorang itu ingin bertaubat, namun terpaksa menghadapi pelbagai halangan yang boleh membantutkan usahanya itu.

Puncanya adalah faktor persekitaran yang mengelilinginya.

Kalau dia sudah “mengisytiharkan” dirinya sudah bertaubat di hadapan Tuhannya, dia juga perlu “mengisytiharkan” bahawa dirinya sudah bertaubat kepada sesiapa yang berada di sekelilingnya.

Namun, di sinilah taubat seseorang itu bakal diuji.

Dek kerana bimbang ditinggalkan rakan dan taulan, taubat itu tewas.

Akhirnya, sedikit demi sedikit niat dan tekadnya sebelum ini diabaikan dan kembali semula kepada kehidupan asalnya.

Begitu besarnya pengaruh persekitaran itu.

Justeru, betapa pentingnya untuk kita fahami bahawa taubat bukan hanya setakat kita berusaha untuk kembali dekat kepada Allah SWT bahkan kita perlu juga berusaha untuk keluar daripada “kepompong” dosa dan maksiat.

Ya, yang dimaksudkan dengan “kepompong” itulah rakan dan taulan. Apa perlu dirisaukan?

Jika benar-benar kira ingin bertaubat, tinggalkan sahaja mereka.

Carilah “kepompong” yang baharu agar dapat mencoretkan kehidupan di lembaran yang baharu.

Rasulullah SAW juga telah berpesan kepada kita dengan sabdanya:

Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya. Maka, perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya. (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Dawud)

Mendapatkan Sokongan

Selepas ditinggalkan oleh rakan dan taulan lama, sudah pasti kita keseorangan.

Kita tidak boleh berterusan begitu. Kita memerlukan “kepompong” yang baharu.

“Kepompong” yang lebih baik daripada yang sebelum ini.

Maka, cuba-cubalah berdamping dengan orang yang baik-baik.

Mudah-mudahan, apabila terdetik sahaja di hati untuk mengulangi kembali kesilapan lalu, kita terus dapat kembali ke pangkal jalan.

Jika tidak, kita berkemungkinan akan terjerumus kembali ke lembah hitam itu semula.

Dalam konteks tasawuf ia dinamakan sebagai al-suhbah.

Sentiasa ingat pesan Nabi SAW:

Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi.

Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya.

Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu  mendapatkan bau yang busuk. (Riwayat al-Bukhari)