,

Di Manakah Salah Pakaian Muslimahku?

Sekilas kita melihat wanita bertudung labuh, sudah tentu dalam fikiran kita bahawa dia wanita yang sopan, yang menjaga akhlaknya, yang lebih arif dalam perihal hukum hakam agama apatah lagi setiap tingkah lakunya diperhatikan.

Sedikit kesalahan sudah membawa kepada fitnah terbesar bahawa dia mencemarkan imej muslimah.

Dia tidak layak membawa imej muslimah. Satu kesalahan dari golongan si tudung labuh, semua pemakai tudung labuh terkena tempiasnya.

Lebih mudah menghakimi dia tidak boleh begini dan begitu tapi “dibolehkan” pada si pemakai tudung bidang 45.

Bukankah menutup aurat itu wajib bagi wanita muslimah? Dan tidak salahnya juga jika kau memakai tudung bidang 45 jika auratmu telah ditutup dengan sempurna.

Jadi di manakah kesalahan si pemakai tudung labuh?

“Lebih baik tak pakai purdah kalau makan kat sini nak buka.”

Jika kau pegang bahawa purdah itu wajib, maka payahlah. Purdah atau niqab itu tidak wajib. Ditegaskan sekali lagi bahawa ia tidak wajib.

Ada wanita yang memilih memakai pakaian yang labuh kerana dia berasa lebih selamat. Ada juga yang jadikan pakaian labuh sebagai titik tolak untuk mengubah diri ke arah lebih baik. Apa jua niat yang dimulai ketika itu, kunci utamanya hati kita ingin berubah kearah yang lebih baik.

Tambahan lagi jika kita diperlekehkan apabila tidak tahu sesetengah hukum agama dengan tanggapan, “Aikk…takkan tak tahu”.

Maaf jika aku ingin menyoal kembali. Bukankah kau juga orang Islam saudaraku?

Bukankah kau juga perlu ambil tahu? Bukankah kau juga wajib patuh akan suruhan Dia?

Ia bukan soal aku mengenakan pakaian muslimah dan kau pakaian biasa. Tapi, kita sama-sama orang Islam yang bernaung di bawah rahmatNya.

Maaf andai kadangkala suara aku kuat apabila ketawa. Ada ketika aku perlu berurusan dengan muslimin dalam kerjaya atau pembelajaran, maaf jika tidak disenangi oleh pandangan matamu yang suka menghakimi.

Maaf kalau aku kurang arif dalam bab agama kerana aku juga seorang wanita Islam sepertimu.

Pesan akhirku pada wanita muslimah, tidak kisah sama ada kau bertudung labuh atau tidak… yang pastinya kau seorang wanita muslimah.

Jika ilmu agamamu kurang, belajarlah. Ilmu Allah ini amat luas dan banyak kau belum pelajari.

Kedua, jangan menghakimi orang lain dengan mudah. Ingat. Bukan semua orang Islam dilahirkan dalam keluarga Islam yang mengamalkan cara hidup Islam.

Maka di situ tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk menarik saudara yang lainnya.

Contohnya, hadiahkan handsock atau stokin. Pendekatan lembut dengan cara memberi hadiah atau tunjukkan akhlak yang baik kepada orang lain akan lebih menunjukkan betapa indahnya Islam.

Tidak guna berdebat jika mereka sudah ada pegangan dan jawapan sendiri. Mereka tidak akan terima sepatah pun nasihat atau penjelasan yang kau cuba ketengahkan. Show them the beauty of Islam.

Hijrah itu bermaksud kau berubah lebih baik dari sebelumnya, bukan lebih baik daripada orang lain.

Semoga hati kita lebih bersangka baik daripada menyalahkan orang lain.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nuryusra bt Mohd Zulhilmi.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.