, ,

Kisah Nabi Musa AS dan Doanya.

قَالَ رَبِّ ٱشۡرَحۡ لِي صَدۡرِي  ٢٥

25.  Berkata Musa: "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku

Doa ini dibaca Nabi Musa AS semasa beliau di Bukit Thursina ketika beliau berbicara dengan Allah.

Allah memerintahkan Nabi Musa AS untuk mencampakkan tongkatnya, lalu tongkat tersebut berubah menjadi seekor ular yang besar.

Nabi Musa AS terkejut dan melarikan diri namun Allah SWT mengajar cara menangani ular tersebut dengan cara memegangnya lalu ia akan berubah semula menjadi tongkat.

Allah memerintahkan Nabi Musa AS berhadapan dengan Firaun kerana Firaun telah melampaui batas.

Lalu, Nabi Musa AS pun berdoa seperti yang disebut di dalam Surah Taha.

Nabi Musa terhutang budi kepada Firaun kerana telah membesarkannya dan kerana peristiwa pergaduhan dengan satu pembesar, Firaun mahu membunuhnya.

Allah memerintahkan Nabi Musa berhadapan dengan Firaun.

Nabi Musa merasa dia tidak mampu untuk melakukan itu kerana Firaun sungguh kuat.

Tetapi dengan kekuasaan dan mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa, beliau mampu mengalahkan Firaun.

Ibrah dari peristiwa ini dalam hidup kita adalah kadang-kadang kita merasa kita menghadapi masalah dan kita tidak mampu untuk menyelesaikannya.

Sebenarnya benda itu bukan berpunca dari masalah luaran seperti tiada duit dan sebagainya. 

Tetapi masalah sebenar datang dari dalam diri kita, pemikiran kita, dada kita sempit, kita gementar.

Semua perasaan negatif itu hanyalah  perkara yang bermain di minda kita.

Jadi, mohonlah pada Allah untuk dilapangkan dada dan dipermudahkan urusan kita.

Disebut di dalam kisah lain, Nabi Musa bersama Nabi Harun pergi berjumpa dengan Firaun.

Perkara ini disebut di dalam Surah Al-A’raf. Mengapa Firaun lebih memilih untuk berlawan dengan Nabi Musa bukannya Nabi Harun?

Percakapan Nabi Musa mempunyai sedikit gagap.

Oleh sebab itu Firaun mahu berlawan dengan Nabi Musa sedangkan Nabi Harun tampak sempurna walhal Nabi Musa tersangatlah cerdik.

Sewaktu Firaun merasa dia bakal kalah dengan Nabi Musa, dia memerintahkan ahli sihirnya yang ramai untuk berlawan dengan Nabi Musa.

Nabi Musa mempunyai mukjizat tongkat yang boleh bertukar menjadi ular.

Sebagai ganjaran sekiranya mereka memenangi perlawanan dengan Nabi Musa, mereka akan dilantik menjadi orang kanan Firaun.

Sebelum mereka berlawan dengan Nabi Musa, mereka bertanya meminta izin siapa yang mahu membaling peralatan mereka dahulu.

Nabi Musa mengizinkan ahli sihir membaling dahulu. Ahli sihir pun melemparkan tali mereka menjadi ular.

Lalu, Allah memperingatkan Nabi Musa bahawa ular-ular tersebut hanyalah silap mata bukannya ular sebenar.

Nabi Musa mengetuk tongkatnya menjadi ular yang sangat besar dan memakan ular-ular ahli sihir.

Ahli sihir yang menyaksikan peristiwa tersebut terus tunduk dan bersujud kepada Nabi Musa, lalu berkata mereka beriman kepada Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.

Ibrah dari kisah Nabi Musa ini adalah adab itu penting sebelum memulakan sesuatu.

Asbab adab ahli sihir kepada Nabi Musa menyebabkan Allah membuka hati mereka untuk beriman kepada Allah.

Sedangkan Abu Jahal tidak mengikuti  Nabi Muhammad walhal dia telah menyaksikan mukjizat yang paling besar, iaitu bulan terbelah dua di Bukit Uhud.

Ketahuilah ketika itu, Abu Jahal tidak beradab dengan Nabi Muhammad, kerana itu hatinya tidak terbuka untuk menerima Islam.

Walaupun ketika itu, hampir satu dunia menyaksikan mukjizat tersebut kerana ia di langit, sedangkan sihir hanya orang yang berada di tempat kejadian sahaja melihat perkara tersebut. 

Namun Abu Jahal hanyalah berkata dia mempercayai Nabi Muhammad sebagai seorang ahli sihir yang hebat.

Adab adalah kunci kepada iman, amal dan ihsan.

Jadi, pentingnya kita beradab dalam melakukan sesuatu supaya mempunyai berkat di dalam apa pun yang kita lakukan.

Rujukan:

ML Studios, Doa Nabi Musa Berhadapan Firaun

Ar-Rahman TV, Ustaz Don Daniyal : Kisah Firaun Melawan Nabi Musa