Pada tahun 1444 M, Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka digubal, setelah Sultan Iskandar Shah iaitu Raja Melaka bersetuju untuk mengaplikasikan Islam dan undang-undang negeri di samping undang-undang adat. Ia merangkumi bidang kekeluargaan, muamalah, keterangan jenayah, prosedur, keagamaan dan hubungan antarabangsa.
Setelah itu, undang-undang tersebut dikatakan mempengaruhi undang-undang di negeri lain setelah Melaka meluaskan pemerintahan. Maka, terhasillah Kanun Kota Setar, Kanun Johor, Undang-undang 99 Perak, Kanun Pahang dan lain-lain.
Bukan itu saja, malah negeri Melayu pada ketika itu menggunakan perkataan Dar yang menjadi lambang penerimaan konsep negara umat Islam pada ketika itu. Contohnya, Selangor Dar al-Ihsan dan Kelantan Dar al-Naim.
Jom kita lihat beberapa contoh undang-undang di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
1. Batu Bersurat Terengganu
- Dijumpai di Terengganu pada 702 H bersamaan 1303 Masihi.
- Bukti tertua tentang teori kedatangan Islam di Tanah Melayu.
- Mempunyai 10 peruntukan undang-undang, antaranya tentang hukuman salah bagi orang berzina, hukuman orang yang mungkir membayar denda dan lain-lain.
2. Hukum Kanun Melaka
- Ditulis sekitar 1445 Masihi ketika ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.
- Undang-undang bertulis kedua setelah batu bersurat Terengganu
- Meliputi undang-undang jenayah Islam, muamalat, keluarga Islam, dan lain-lain.
3. Hukum Kanun Pahang
- Digunakan di Pahang pada 1592 hingga 1614 Masihi ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhaiyuddin Shah. Ia adalah lanjutan daripada Hukum Kanun Melaka yang ditulis
- Undang-undang bertulis ketiga setelah batu bersurat Terengganu dan Hukum Kanun Melaka.
- Ada dinyatakan tentang qisas, denda, zina, arak, mencuri, murtad, tidak solat, perdagangan, jual beli dan lain-lain.
4. Kitab Sirat al-Mustaqim
- Ditulis sekitar 1044 H bersamaan 1634 Masihi oleh Sheikh Nurudin al-Raniri di Pahang, kemudian beliau ke Aceh dan tinggal di sana.
- Menjadi rujukan penting kepada umat Islam yang tinggal di gugusan kepulauan Melayu.
Malangnya, setelah penjajah British ke Tanah Melayu, mereka telah memberhentikan proses undang-undang Islam dan membawa undang-undang barat ke Tanah Melayu.