,

Biar Putus Kawan, Tetapi Jangan Putus Hubungan Adik-Beradik

Bismillahirrahmanirrahim.

Ibu saya selalu berpesan, “Biar kita putus kawan, tetapi jangan kita putus saudara, putus hubungan adik-beradik. Kawan boleh dicari, tetapi adik-beradik tak ada yang boleh diganti. Hubungan keluarga ni lain. Sekali dah putus, susah nak sambungkan semula.”

Kawan mungkin datang dan pergi bersilih ganti, tetapi adik-beradik adalah kawan yang tidak akan pergi.

Jauh mana pun dia cuba lari, ikatan itu sebenarnya tersimpul mati. Tidak akan terlerai. Disebabkan itu, hubungan adik-beradik adalah hubungan yang terlalu istimewa.

Pepatah Melayu ada berkata, istimewanya hubungan adik-beradik seperti air dicincang tidak akan putus. Pernah sahaja bertengkar, bermasam muka, tidak bertegur sapa atau hilang khabar berita.

Namun, adik-beradik tetap adik-beradik. Saudara selamanya bersaudara. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.

Adik-beradik yang pernah tinggal di dalam rahim ibu yang sama, berkongsi uri yang sama dan membesar di bawah satu bumbung yang sama.

Merekalah sahabat kita yang pertama selepas ibu dan ayah, sebelum kita kenal kawan-kawan lain. Merekalah teman kita bermain, teman bergelak ketawa, teman bertukar cerita bahkan teman berkongsi duka.

Apabila seorang ditimpa sakit, masalah, atau kesusahan, adik-beradiklah orang terawal yang boleh diharapkan.

Mereka merupakan orang yang sangat mengerti dan mampu memahami sepenuh jiwa terhadap apa yang kita alami.

Orang sekeliling boleh mengata apa sahaja yang mereka suka, tetapi adik-beradik akan selalu menyokong kita. Benar bukan?

Justeru, sekiranya kalian mempunyai hubungan adik-beradik yang sangat akrab dan saling mengasihi antara satu sama lain, peganglah mereka erat-erat.

Cintai mereka sebagaimana kalian mencintai diri sendiri. Kemudian bersyukurlah kerana kalian masih punya tempat bergantung pada setiap waktu kalian memerlukan mereka di sisi.

Hal ini kerana, tidak semua orang punya hubungan yang baik dalam keluarga.

Walaupun keluarga itu merupakan anugerah terindah yang patut kita zahirkan kesyukuran dengan menghargai hubungan yang ada, namun sayang sekali, tidak semua orang mampu hargai.

Adik-beradik sering berkelahi dan berjauh hati. Malah ada yang sanggup tikam dari belakang sehingga menghancurkan hubungan silaturahim hanya kerana kepentingan diri.

Bagi saya, kasih sayang itu terbitnya dari hati yang suci. Manakala hasad dengki adalah musuh yang selalu menipu hati.

Ego yang pada mulanya kecil semakin dibesar-besarkan. Sedang api yang kecil boleh menjadi lawan, apatah lagi pendaman rasa yang disimpan sekian lama.

Sehingga sampai satu ketika, hati itu bernanah dan membusuk, lantas mencetuskan hal-hal besar yang kacau-bilau.

Hubungan adik-beradik yang dahulunya rapat dan mesra, kini menjadi dingin dan membeku. Jurang yang kian menjarak tidak mampu diselamatkan lagi.

Janganlah sampai terjadi sebegitu duhai teman. Jangan sesekali bermain dengan api. Usah terlalu memendam hingga jadi dendam.

Sekiranya ada yang tidak berpuas hati, bersemukalah dengan lapang dada. Bawa berbincang secara baik. Jangan sesekali sombong dan mementingkan diri.

Ingat, mengalah tak selalunya kalah.

Islam mengajar kita agar berakhlak mulia. Bukan sahaja dengan orang luar, malah dengan keluarga sendiri. Bahkan Rasulullah S.A.W. menitikberatkan kepentingan membantu keluarga mendahului orang lain. Besar pahalanya yang Allah S.W.T janjikan.

Menjaga hubungan antara adik-beradik adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Boleh jadi, kita bakal hilang rahmat Allah kerana perpecahan antara adik-beradik.

Oleh demikian, bajailah pertalian adik-beradik kalian dengan iman dan takwa. Semoga hubungan sentiasa mekar dan diberkati Allah.

Wallahua’lam.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Ily Imanina binti Abdul Karim.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.