, ,

Beruntungnya Menjadi Umat Nabi Muhammad S.A.W..

Nabi Musa A.S. merupakan seorang nabi yang diutus Allah kepada umatnya, Bani Israel. Tugasnya adalah untuk menyebarkan risalah tauhid untuk menyembah Allah yang Esa. Nabi Musa sangat sayang kepada umatnya sama seperti Nabi Muhammad S.A.W.. Sayangnya beliau kepada umatnya dapat dibuktikan dengan percakapan beliau di dalam Surah Al-A’raf: 163,

وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ  ١٦٣

163.  Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak di dekat laut ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu, di waktu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, dan di hari-hari yang bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami mencoba mereka disebabkan mereka berlaku fasik.[1]

Berdasarkan ayat tersebut, Imam Ibn Kathir meriwayatkan bahawa Bani Israel merupakan umat yang paling menentang Nabinya. Sebelum mereka diazab menjadi kera oleh Allah, mereka diperintahkan oleh Nabi Musa untuk melaksanakan ibadah pada hari Khamis, lalu permintaan ini ditunda kerana permintaan umatnya sehingga waktu ibadah ini ditunda ke hari Jumaat. Namun begitu, mereka meminta untuk menunda ke hari Sabtu. Nabi Musa pun mendatangi mereka pada hari Sabtu. Allah mahu menguji mereka dengan mengurniakan mereka ikan yang sangat banyak pada hari Sabtu sehingga mereka sangat seronok lalu meminta Nabi Musa menunda ibadah pada hari keesokannya. Namun begitu, semasa mereka mencari ikan di laut, Allah mengazab mereka dengan menukar mereka menjadi kera. Cerita ini dikisahkan di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 65:

وَلَقَدۡ عَلِمۡتُمُ ٱلَّذِينَ ٱعۡتَدَوۡاْ مِنكُمۡ فِي ٱلسَّبۡتِ فَقُلۡنَا لَهُمۡ كُونُواْ قِرَدَةً خَٰسِ‍ِٔينَ  ٦٥

65.  Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar diantaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".[2]

Mengingat cerita kecil kasih sayang Nabi Musa terhadap umatnya ternyata mengingatkan juga kisah kasih sayang Rasulullullah terhadap kita sebagai umatnya. Ketika Nabi Muhammad S.A.W. dalam perjalanan mikrajnya, baginda berjumpa dengan Nabi Musa A.S. pada langit keenam. Sesampainya baginda kepada Nabi Musa, mereka berdua saling bercerita tentang kebaikan umat mereka. Namun, Nabi Musa mengalah dengan kelebihan-kelebihan yang Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad.

Nabi Musa berkata:

“ …..  orang–orang mengira akulah golongan anak Adam yang  termulia di disisi Allah daripada orang ini, Muhammad S.A.W. tetapi sesungguhnya dialah yang termulia di sisi Allah daripada aku sendiri. Setelah ditinggalkan Rasullullullah S.A.W di langit keenam untuk baginda kembali naik ke langit ketujuh, tiba-tiba Nabi Musa menangis lalu baginda bertanya:

“Apakah yang menyebabkan kamu menangis?”

Nabi Musa menjawab, “aku menangis kerana ada seorang yang diutus sesudahku yang mana golongan umatnya lebih banyak yang masuk syurga daripada umatku sendiri. Lagipula, bangsa Bani Israel mengira bahawa akulah dari golongan anak cucu Adam yang paling mulia. Ia pun masih hidup di dunia dan datang sesudahku dan aku sendiri telah berada di akhirat, iaitu alam arwah. Andai kata ia hanya sendirian sahaja masuk ke dalam syurga, aku tidak merisaukannya, tetapi ia beserta umatnya yang banyak sekali.”[3]

Subhanallah sungguh bahagianya kita dijadikan sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W., seperti mana yang dikatakan oleh Nabi Musa, umat Nabi Muhammad akan lebih banyak masuk syurga daripada umat para nabi yang lain. Semoga dengan kisah yang singkat ini, kasih sayang dan kerinduan kita selalu tertumpah kepada Nabi Muhammad S.A.W.[4] 

[1] Al-Qur’anul Karim: Al-Baqarah:65

[2] Al-Qur’anul Karim: Al-A’raf:163

[3] Qissatul Mikraj-Syeikh Najmuddin Al-Ghaity.

[4] Islam Foundation, Di Kala Air Mata Nabi Musa Mengalir Di Depan Rasullullah S.A.W.