, ,

Bagaimana Kafir Quraisy Mempersenda Peristiwa Isra’ Mikraj

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku setahun sebelum peristiwa hijrah ke Madinah.

Setelah pulang daripada peristiwa agung itu, Rasulullah menceritakan kepada kaumnya dalam suatu majlis yang dihadiri oleh Al-Muth’im bin Adi, Amr bin Hisyam, Walid bin Al-Mughirah.

Ketika Rasulullah bercerita tentang para nabi ditemuinya, Amr bin Hisyam dalam nada ejekan meminta Rasulullah bercerita tentang nabi-nabi itu. Baginda bercerita:

  • Nabi Isa berperawakan sedang, dadanya lebar, berkulit putih, ikal, rambutnya agak putih kemerah-merahan dan mirip Urwah Ath-Tsaqafi.
  • Nabi Musa bertubuh besar, giginya tersusun rapi tinggi, dan mirip dengan para lelaki kaum Syanu’ah.
  • Nabi Ibrahim, manusia yang paling mirip dengan Rasulullah dari segi rupa dan budi pekerti.

Kemudian, mereka meminta Rasulullah untuk bercerita tentang Baitul Maqdis dan Baginda cerita secara terperinci.

Tidak berpuas hati, mereka bertanya pula tentang rombongan unta mereka, maka Rasulullah menceritakan bahawa Baginda melintasi rombongan unta bani polan di Rauha dan menceritakan tentang kehilangan unta mereka.

Bukan itu sahaja, Baginda juga menceritakan, “Kemudian aku tiba di rombongan dagang bani polan di Tan’im. Di barisan terdepan ada seekor unta putih berbelang hitam, dan sebentar lagi dia akan datang kepada kamu melalui Ath-Thaniyyah (jalan di lereng bukit).”

Walid bin Al-Mughirah lalu menuduh Rasulullah sebagai tukang sihir, lalu menyebarkan cerita itu. Secara tidak langsung, ia menjadi suatu fitnah besar kepada umat Islam sehingga ada yang murtad.

Sempat juga kafir Quraisy ingin menghasut Abu Bakar, responnya, “Ya, sungguh aku mempercayainya, bahkan yang lebih dari itu, aku mempercayainya dengan berita langit di pagi dan petang hari.”

Sejak itulah Abu Bakar diberi gelaran As-Shiddiq.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)