,

Beruntungnya Kita Kerana Nenek Moyang Terima Dakwah Islam Suatu Ketika Dahulu

Pernah tak korang terfikir,

Seandainya pendakwah atau pedagang Islam tidak sampai ke Tanah Melayu beberapa ratus tahun dahulu,

Apakah agama yang dianuti kita sekarang ini?

Islam adalah agama yang mengajak kepada kebaikan dunia dan akhirat dan mentauhidkan Allah.

Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan golongan seterusnya menyambung legasi dakwah Nabi dalam menyebarkan Islam.

Sehinggalah serata dunia dapat merasai nikmat Islam malah dicatatkan dalam sejarah bahawa hampir dua pertiga dunia pernah berada di bawah pemerintahan Islam.

Bahkan, para pendakwah yang datang ke Tanah Melayu sebagai pedagang, mula menyebarkan Islam kepada nenek moyang kita.

Yang mana suatu ketika dahulu masyarakat di Tanah Melayu berpegang dengan agama Hindu.

Akhlak baik yang ditunjukkan para pedagang Islam di samping berdakwah dengan penuh hikmah, menjadi asbab mudah untuk masyarakat di Tanah Melayu menerima Islam.

Mereka benar-benar mendalami apa yang dinyatakan Allah di dalam al-Quran, iaitu:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِين

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik,

Dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;

Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya,

Dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah an-Nahl 16:125)

Allah memberikan sebesar-besar nikmat kepada nenek moyang kita, iaitu nikmat Iman dan Islam.

Menggantikan kesyirikan kepada Allah.

Alhamdulillah, nikmat tersebut dikekalkan di Tanah Melayu sehinggalah sekarang, boleh dikatakan hampir 100% kaum Melayu dilahirkan dalam keluarga Islam, diajar daripada kecil mengenai Islam.

Maka, nikmat apa lagi yang kita ingin dustakan?

Bukankah kita sepatutnya berasa sangat beruntung kerana dipilih Allah untuk mudah mendapat nikmat Islam dan iman?