,

Belajar Daripada Kisah Nabi Musa AS Dan Ghulam

Nabi Musa AS lahir ketika kekuasaan Firaun berada di puncaknya. Firaun mengaku dirinya sebagai Tuhan.

Sesukar-sukar perjalanan dakwah kita, tidaklah sampai menghadapi seorang raja atau kerajaan yang mengaku diri sebagai Tuhan.

Kita harus memahami, bahawa peluang dakwah itu tetap ada dalam kondisi sedahsyat apapun.

Jangan menutup ruang dakwah dengan pelbagai alasan tentang persekitaran. Allah telah menggambarkan bahawa dakwah itu berlaku dalam sedahsyat-dahsyat kerajaan Firaun.

Begitu juga dalam kisah Ghulam, Allah menghantar seorang budak sahaja untuk berhadapan dengan raja yang mengaku diri sebagai Tuhan.

Tidak ada faktor yang dapat dijadikan alasan untuk dakwah itu tidak berjalan. Faktor usia, faktor masa, faktor persekitaran, semuanya tidak harus menolak kita ke belakang.

Kita harus siap menyampaikan dakwah sekalipun persekitaran yang ada itu kelihatan sangat rosak dan tidak nampak bibit-bibit kebaikan.

Allah tetap melahirkan nabi Musa AS sekalipun ternyata Firaun benar-benar engkar. Allah pasti tahu bahawa Firaun akan mati dalam keadaan kafir.

Namun, tetap juga diutuskan Musa AS untuk pergi bertemu dengan Firaun. Ini memberi pengajaran bahawa sekalipun yang kita serukan itu tidak beriman dengan seruan kita, jangan pernah berputus asa kerana usaha kita pasti dilihat oleh Allah.

Kita lihat dalam kisah ghulam, ketika dia dicuba untuk dibunuh namun gagal, dia kembali lagi ke istana untuk menyampaikan seruan tauhid, dicuba dibunuh lagi kali kedua namun tetap gagal.

Bahkan dia kembali lagi ke istana untuk menyampaikan dakwah. Akhirnya dia rela dirinya dibunuh demi menyelamatkan aqidah Umat waktu itu.

Apakah kita sanggup menggadaikan nyawa kita untuk dakwah ini?

Kita jangan cepat berputus asa dalam membawa perubahan kerana yang lebih penting itu adalah usaha kita membawa perubahan tersebut.

Nabi Nuh bahkan menghabis 950 tahun untuk menyebarkan dakwah tanpa berputus asa sekalipun segala bentuk usahanya tidak menghasilkan bilangan yang ramai sebagai pengikut baginda AS.

Nabi Musa AS dihanyutkan sampai kepada istana Firaun, ke tengah-tengah punca kekafiran.

Namun, Allah tetap mengembalikan baginda untuk disusukan oleh ibunya. Walaupun baginda diutuskan untuk berdakwah di tengah-tengah kerosakan, tetap sumber tarbiyahnya dikembalikan kepada ibunya.

Maka kita harus sentiasa menyusu kepada tarbiyah, baik dalam medan apapun kita berada.

Di manapun, dalam keadaan apapun, sentiasalah mendapatkan sumber tarbiyah yang asli yang akan memberikan kita pengisian untuk terus bergerak, ibarat minyak bagi kenderaan, nafas bagi paru-paru.

Ghulam merupakan anak yang sangat bijak yang terpilih untuk belajar sihir dan menggantikan ahli sihir istana.

Namun, dalam ulang-aliknya ghulam belajar sihir, tetap juga ia istiqomah dalam pertemuan dengan rahib sebagai sumber tarbiyah dalam membentuk dirinya.

Kita jangan pernah terputus daripada tarbiyah dalam keadaan apapun.

Walaupun jauh, walaupun sukar, kita harus tetap tegar dalam tarbiyah kerana hanya ia yang akan membuatkan kita dapat bertahan dalam kerosakan yang sentiasa menarik-narik kita.

Jika kita terputus, kita akan terjerumus dalam kerosakan tersebut. Baik ditipu dengan kerosakan, atau menjadi agen mempromosikannya.

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zul Yunus. Beliau merupakan seorang pengacara dan trainer bertauliah. Bergiat aktif dalam menghasilkan video inspirasi melalui YouTube, Facebook dan Instagram beliau di samping penulisan yang membangunkan jiwa manusia yang seimbang. Ikuti perkembangan beliau melalui blog zulyunus.blogspot.com

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%