,

Bahaya Lidah – Punca Muflis Di Bulan Ramadan

Alhamdulillah kita semua diberi kesempatan untuk memburu keberkahan bulan Ramadhan.

Semoga diilhamkan cahaya iman, diilhamkan gudang ilmu pengetahuan, dilimpahi tabir rahmatNya, dan diilhamkan lidah kita melafazkan kesyukuran.

Semoga kita tidak tergelincir di atas jalan-jalan menuju ke pintu neraka atas sebab keterlanjuran lidah kita.

Ketahuilah meskipun anggota lidah sangat lemah, namun ianya anggota yang paling derhaka kepada tuannya.

Bahaya lidah menyebabkan barangkali diam itu lebih bermakna. Lidah umpama binatang buas yang bakal membaham tuannya.

Pelihara Lidah Daripada Bercakap Yang Cela

Ramadhan sepatutnya menjadi satu latihan untuk mempelihara lidah kita daripada bercakap yang cela. Golongan berilmu amat mementingkan perbincangan ilmiah dan kata-kata penuh hikmah.

Sedangkan golongan awam, sangat lalai membicarakan perkara yang cela. Malah lebih bahaya apabila lidah bercakap kosong mengenai hal-hal batil dan hal-hal maksiat.

Nabi SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagiKu dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad ditangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Awas, Peliharalah Lidah Daripada Berbantah-Bantah

Peliharalah lidah daripada berbantah-bantah. Sesungguhnya berbantah hanya akan merimaskan perasaan, membuat wajah suram dan duka lara.

Sikap suka berbantah ini juga menunjukkan penanda aras iman kita. Pertengkaran membawa kepada permusuhan. Pertengkaran menyesatkan hati dan memutuskan silaturrahim. Lidah yang bertengkar dan berbantah juga mewujudkan suasana merendahkan orang lain.

Malah di satu tahap akan menghinakan orang lain. Dan lidah yang terjerumus kepada permusuhan akan terbit kata-kata yang menyakitkan. Ini semua penyakit hati akibat kegagalan mempelihara lidah.

Lantas penyakit hati ini menjejaskan hubungan kita dengan Allah SWT dan amat rugi sekali sekiranya ianya berlaku di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Nabi Muhammad SAW menegaskan lidah yang suka memaki hamun orang Muslim tergolong dalam perbuatan fasik.

Nabi SAW pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur.”

Bahaya Lidah – Kehilangan Pahala

Lidah menjadi punca terbesar kita kehilangan pahala. Di bulan Ramadhan, tidak dinafikan ramai yang memburu keberkahan Ramadhan. Masjid dipenuhi pada setiap malam dengan semangat. Kumpulan tadarus diadakan setiap hari di masjid.

Namun dalam memburu keberkahan Ramadhan, kita gagal dalam melaksanakan pembersihan jiwa seperti memelihara lidah kita daripada sifat dusta, maki hamun, bahasa kesat dan bahasa yang buruk.

Lidah yang tercela akan menyebabkan kita tergelincir dalam kalangan golongan fasik dan muflis di akhirat.

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda Baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada hari kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.” (Hadith riwayat Muslim)

Ada juga sebahagian daripada kita yang begitu manis lidahnya apabila berbicara dengan orang lain tetapi tidak dengan isteri sendiri.

Kata-kata kesat dan kasar terhambur kepada isteri sendiri, sedangkan isterinya berjaga di pagi hari untuk menyediakan sahur untuk suaminya.

Ini berpunca daripada kegagalan menghayati hikmah Ramadhan. Ramadhan sepatutnya dijadikan pusat latihan untuk memupuk jiwa yang lebih tinggi nilai spiritualnya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Ikuti blog beliau http://mridhuansulaiman.blogspot.my/

Adik penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.