,

Ayah Kepada Abu Bakar Terbuka Hati Untuk Memeluk Islam

Asma’ binti Abu Bakar pernah bercerita peristiwa ketika Fath (pembukaan) Makkah, yang mana ketika Rasulullah memasuki Makkah dan Masjidil Haram, Abu Bakar datang ketemu Baginda sambil membawa ayahnya.

Ketika melihat perkara tersebut, Baginda menyatakan: “Mengapa engkau tidak membiarkan orang tua ini di rumahnya sahaja, biar aku sahaja yang mendatanginya?”

Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, dia lebih layak untuk mendatangimu daripada engkau yang mendatanginya.”

Begitulah sikap Baginda yang perlu dicontohi iaitu menghormati dan menghargai orang tua, walaupun Baginda seorang pemimpin yang tinggi. Bahkan, dalam hadith juga ada dinyatakan:

  1.  “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati orang tua dan tidak menyayangi anak-anak.” (Hadith riwayat Tirmizi)
  2. “Sungguh di antara sikap mengagungkan Allah adalah memuliakan muslim yang beruban (orang tua).” (Hadith riwayat Abu Daud)

Lalu, Abu Bakar mendudukkan ayahnya di hadapan Rasulullah. Baginda mengusap dada ayah kepada Abu Bakar kemudian berkata: “Masuklah ke dalam agama Islam.”

Dengan izin Allah, ayah kepada Abu Bakar masuk Islam. Kemudian, ketika Rasulullah melihat banyak uban di atas kepala ayah Abu Bakar, Baginda menyatakan: “Ubahlah rambut itu.” Baginda juga memberi ucapan selamat kepada Abu Bakar kerana ayahnya masuk Islam.

Rasulullah menganjurkan untuk memuliakan ahli keluarga yang tertimpa musibah, menganjurkan untuk berbagi dan memberi, memuliakan yang terlebih dahulu masuk Islam sebagai bentuk penghormatan atas pengabdian untuk Islam.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)