,


Juwairiyyah Binti al-Harith: Kerananya, Seluruh Kaum Bani al-Mustaliq Bebas

Menjadi seorang anak pemimpin kaum merupakan satu kemuliaan.

Masakan tidak, sudah pasti diri akan diangkat dan pandang tinggi.

Namun, menjadi anak kepada orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya di sisi yang lain merupakan satu kehinaan.

Itulah yang dialami oleh Juwairiyyah binti al-Harith, anak perempuan kepada pemimpin Bani al-Mustaliq, al-Harith bin Abi Dirar.

Sungguhpun beliau tidak menunjukkan sebarang penentangan kepada Rasulullah SAW, namun akibat daripada tindakan ayahnya, seluruh kaumnya terpaksa berhadapan dengan peperangan.

Buku-buku sejarah tidak menceritakan secara terperinci berkenaan konflik ini.

Namun, hanya disebutkan bahawa puak Bani al-Mustaliq merancang untuk menyerang Rasulullah SAW dan para sahabat di Madinah.

Hasil Risikan

Peperangan Bani al-Mustaliq berlaku pada tahun ke-6H. Semuanya bermula selepas dua bulan Rasulullah SAW dan para sahabat pulang dari Peperangan Dzi Qard.

Baginda mendapat berita bahawa kaum Bani al-Mustaliq sedang merancang untuk menyerang Madinah.

Sebelum membuat apa-apa keputusan, Rasulullah SAW pun mengutuskan seorang sahabat bernama Buraidah bin al-Hasib al-Aslami untuk merisik perkara tersebut.

Rupa-rupanya, pihak Bani al-Mustaliq juga turut menghantar perisik mereka ke Madinah.

Namun, dia berjaya ditangkap lalu dibunuh. Akhirnya berita tersebut berjaya disahkan dan memang benar, puak Bani al-Mustaliq sudah bersedia untuk memerangi Rasulullah dan para sahabat.

Lalu setelah bermesyuarat bersama para sahabat, Rasulullah SAW memimpin pasukan tentera meninggalkan kota Madinah.

Zaid bin Harithah dilantik Baginda sebagai penjaga kota Madinah. Mereka semua menuju ke satu tempat yang dikenali sebagai Mata Air al-Muraisi’.

Disebabkan itu jugala peperangan ini turut dikenali sebagai Peperangan al-Muraisi’.

Sayidina Abu Bakar al-Siddiq telah diamanahkan untuk mengetuai pasukan Muhajirin manakala Sa’ad bin ‘Ubadah pula memimpin pasukan Ansar.

Tidak lama selepas itu, peperangan pun tercetus dengan hujanan anak panah daripada kedua-dua pihak.

Akhirnya, tentera Islam berjaya mengepung dan kemudiannya menawan keseluruhan puak Bani al-Mustaliq. Akhirnya peperangan pun berakhir.

Menjadi Tawanan

Direkodkan bahawa peperangan ini hanya mengorbankan seorang sahaja tentera Islam. Itupun secara tidak sengaja.

Manakala, seramai 10 orang daripada puak Bani al-Mustaliq terbunuh manakala keseluruhan puak ini menjadi tawanan. Mereka berjumlah 200 orang semuanya.

Antara yang menjadi tawanan ialah Juwariyyah dan ayahnya, al-Harith.

Manakala suaminya, Mustafa bin Safwan pula terbunuh.

Sayidatina Aisyah juga turut menceritakan peristiwa ini. Ia dirakamkan oleh Ibn al-Athir di dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah.

Beliau menceritakan,

Tatkala Rasulullah SAW membahagi-bahagikan para tawanan Bani al-Mustaliq ini, Juwariyyah bin al-Harith telah ditatapkan untuk menjadi hamba kepada Thabi bin Qays. Namun, beliau tidak menerima keputusan ini lalu meminta untuk bertemu Rasulullah SAW bagi menebus dirinya.

Jelas sekali menunjukkan bahawa wanita ini memiliki keyakinan diri dan keberanian yang tinggi.

Juwairiyyah kemudiannya dibenarkan untuk bertemu Rasulullah. Dalam pertemuan itu, beliau memulakan bicaranya,

Wahai Rasulullah, saya Juwairiyyah binti al-Harith, pemimpin kaumnya. Saya telah ditimpa bala. Saya juga telah menulis surat tuntutan untuk menebus diri saya.

Lalu, Rasulullah SAW menjawab,

Ataupun saya berikan perkara yang lebih baik daripada surat tuntutan kamu itu? Iaitu saya mengahwini kamu.

Mendengar jawapan tersebut, tiada kata-kata lain yang mampu diungkapkan oleh Juwairiyyah selain daripada menerimanya.

Sepertinya tawaran Baginda itu merupakan satu kemuliaan berganda buat dirinya.

Lebih mulia daripada hanya sekadar menjadi anak seorang pemimpin kaum.

Beliau ditawarkan untuk menjadi isteri kepada seorang Nabi!

Seluruh Tawanan Dibebaskan!

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Juwairiyyah merupakan satu rahmat kepada seluruh puak Bani al-Mustaliq yang ditawan.

Berita perkahwinan tersebut kemudiannya disebarkan kepada orang ramai.

Selepas itu, Rasulullah SAW memerintahkan supaya dimerdekakan kesemua tawanan Bani al-Mustaliq. Juwairiyyah dikahwini setelah Zinab bin Jahsy.

Betapa berkatnya perkahwinan Juwairiyyah ini. Pembebasan dirinya dan seluruh tawanan Bani al-Mustaliq bagaikan mahar yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya.

Bukan itu sahaja, mereka semua juga turut memeluk Islam. Diriwayatkan juga bahawa nama asal Juwairiyyah ialah Barrah.

Selepas perkahwinanannya dengan Rasulullah, Baginda menamakannya dengan Juwairiyyah.

Sebagai Ummul Mukminin, Juwairiyyah turut meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW.

Antara sahabat yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Ibn Abbas, Jabir, Ibn Umar, Ubaid bin al-Sibaq dan lain-lain.

Antara hadis yang terkenal diriwayatkan oleh beliau ialah sebuah hadis berkenaan zikir yang diajarkan oleh Baginda kepadanya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim berbunyi,

Nabi SAW suatu ketika melalui tempat Juwairiyyah. Ketika itu beliau sedang berada di dalam tempat solatnya. Kemudian, Baginda melalui tempat tersebut sekali lagi. Ketika itu waktu tengah hari.

Lalu Baginda bertanya kepadanya:

Adakah kamu masih mendirikan solat?

Jawab beliau:

Ya.

Lalu Rasulullah SAW menyambung:

Tidakkah kamu mahu saya ajarkan suatu kalimah iaitu:

سُبْحَانَ الله عَدَدَ خَلْقِهِ, سُبْحَانَ الله عَدَدَ خَلْقِهِ, سُبْحَانَ الله عَدَدَ خَلْقِهِ

سُبْحَانَ الله زِنَةَ عَرْشِهِ, سُبْحَانَ الله زِنَةَ عَرْشِهِ, سُبْحَانَ الله زِنَةَ عَرْشِهِ

 سُبْحَانَ الله رِضَا نَفْسِهِ, سُبْحَانَ الله رِضَا نَفْسِهِ, سُبْحَانَ الله رِضَا نَفْسِهِ

 سُبْحَانَ الله مِدَادَ كَلِمَاتِهِ, سُبْحَانَ الله مِدَادَ كَلِمَاتِهِ, سُبْحَانَ الله مِدَادَ كَلِمَاتِهِ

 

Rujukan: Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%