, ,

Allah Menggantikan Suami Yang Lebih Baik Untuk Ummu Salamah

Ummu Salamah dan suaminya (Abu Salamah) pernah berhijrah ke Habasyah. Kemudian, mereka kembali semula ke Makkah dan berhijrah ke Madinah setelah kaum muslimin berhijrah ke sana.

Abu Salamah turut ikut berperang, namun dia meninggal dunia. Ummu Salamah berkata: “Siapakah orang yang lebih baik daripada Abu Salamah?”

Setelah habis iddah Ummu Salamah, Abu Bakar datang meminangnya, akan tetapi Ummu Salamah menolaknya. Umar juga datang meminang, akan tetapi Ummu Salamah turut menolaknya.

Namun, ketika Rasulullah menghantar utusan untuk meminangnya, Ummu Salamah menjawab: “Selamat datang, katakan kepada Rasulullah, saya seorang pencemburu dan saya mempunyai anak-anak yang masih kecil. Dan tidak seorang pun wali saya yang masih hidup.”

Lalu, Rasulullah menghantar semula utusan untuk memberi respon, iaitu:

  1. Adapun tentang ucapan, “Saya mempunyai anak-anak yang masih kecil”, maka sesungguhnya Allah-lah yang akan mencukupi anak-anakmu.
  2. Adapun tentang ucapan, “Saya seorang pencemburu”, maka Rasulullah akan berdoa semoga Allah menghilangkan sifat cemburu dari dalam hatimu.
  3. Adapaun mengenai para walimu, maka semua mereka bersetuju menerima Rasulullah.

Dalam riwayat lain ada juga disebutkan bahawa Ummu Salamah berkata bahawa dia seorang perempuan yang telah lanjut usia. Lalu, jawapan yang diberi Baginda adalah: “Adapun masalah usia, maka aku lebih tua daripadamu.”

Akhirnya, Ummu Salamah menerima pinangan Rasulullah, dan doanya termakbul apabila mendapat lelaki yang lebih baik daripada Abu Salamah sebagai suami, iaitu Rasulullah sendiri.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)