,

Aku Juga Ingin Syahid Di JalanMu

Semangat untuk membebaskan negara daripada ditindas oleh puak-puak Zionis laknatullah dan mempertahankan agama Islam sebagai agama suci umat Islam.

Mereka inilah yang digelar Briged Izzuddin al-Qassam atau lebih dikenali sebagai al-Qassam iaitu barisan pejuang bersenjata Palestin yang telah diasaskan penubuhannya oleh Sheikh Ahmad Yassin (Pengasas Hamas).

Pasukan bersenjata HAMAS yang begitu digeruni oleh tentera Israel laknatullah ini telah diberikan nama sebagai Briged al-Qassam.

Helaian buku itu dibelek dengan teliti oleh insan yang ingin syahid demi tanah airnya tercinta, Rizqiey yang berdarah kacukan Britain-Palestin. Dia amat terkesan akan olahan daripada penulisan buku tersebut.

“Baguslah buku ni ya sodiqi, kat mana enta belinya? Setelah sekian lama ana mencarinya akhirnya baru ketemu, syukran Tariq.”

******

Misi Kemanusiaan Ke Gaza,  bersama-sama kita membela nasib saudara seislam kita di sana.

Sehelai kertas tiba-tiba menyapa lembut di pipi insan berkulit putih kemerah-merahan itu.

“Misi Kemanusiaan ke Gaza? Aiwah, macam seronok ni Tariq.” Spontan Rizqiey berkata sambil menepuk sahabat sekerjanya yang leka bermain telefon.

Ketika itu mereka berdua dalam perjalanan untuk mencari sedikit ketenangan selepas seharian sibuk dengan urusan masing-masing. Mereka berfikir melihat kebesaran Allah akan menjadikan diri ini terasa begitu kerdil. Maha Penguasa Alam yang menciptakan makhluk serta seisinya.

“Oit, agak-agak la nak tepuk ana ni, ana tengah bertelegram kot, enta bukan tak tahu Tariq Masri seorang admin channel, kalau tersalah post kata-kata, kena kecam tau,” latah Tariq apabila bahunya ditepuk Rizqiey.

“Haa, enta admin tapi ana creator, kalau enta tersalah post, ana bertanggungjawab tau. Apa kata enta cuba letak telefon tu dulu, ana nak bagitahu sesuatu ni. Kalau nak persahabatan berkekalan, kena dengar apa yang sahabat tu cakap.” Panjang lebar jawapan yang diberikan oleh Rizqiey Furqan kepada sahabatnya itu.

Setelah meneliti kertas tersebut serta isi kandungannya, Tariq mengangguk tanda setuju dengan Rizqiey. Tangan mereka bersalaman. Dalam hati mereka tercatit satu perkataan keramat iaitu ‘SYAHID’.

Perbezaan antara Rizqiey dan Tariq ialah tingkah laku, di mana Tariq seorang yang bermaterialistik malah mementingkan keduniaan juga harta benda tetapi sentiasa menyokong sahabatnya, Rizqiey.

Rizqiey pula, walaupun dilahirkan dalam kalangan orang-orang Barat tetapi hatinya teramat suci, tingkah lakunya lembut serta sopan kerana mendapat didikan daripada salah seorang ulama Turki yang diperkenalkan oleh bapa saudaranya sewaktu menetap di sana.

******

TAHNIAH, ANDA TELAH BERJAYA DILANTIK SEBAGAI PETUGAS MEDIK BAGI MISI KEMANUSIAAN KE GAZA. SILA LAPORKAN DIRI ANDA DALAM MASA 24 JAM SELEPAS MESEJ INI DITERIMA. ABAIKAN MESEJ INI SEKIRANYA ANDA TELAH BERBUAT DEMIKIAN.

“Alhamdulillah, penerbangan kita berjalan lancar ya, Tariq. Enta kena ingat pesan ana, Gaza merupakan sebahagian daripada Palestin. Palestin juga bumi para anbiya’. Di sana juga terdapat Masjid Al-Aqsa, di mana ia merupakan kiblat pertama umat Islam. Enta mesti ingat peristiwa Isra’ Mikraj, perjalanan baginda Rasul dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Ana nak ingatkan, hati mesti bersih, ikhlas beramal kerana Allah, jangan enta meletakkan faedah keduniaan semata-mata.”

Penerangan daripada Rizqiey memang membarakan lagi semangat Tariq dan dia bertekad akan berubah menjadi lebih baik lagi. “Syukran jazilan sahabat syurga, insyaAllah ana akan ingat.”

Biar darah jadi baja
biar tulangku menjadi tonggaknya
Islam tetap di puncak
biar imanku terus melonjak
  
Aku tegar 
aku rela
sekalipun aku dihenyak 

Burung-burung hijau terbang
Oh ku tenang melayang
syurga firdausi menunggu ku datang 
bidadari pun tersenyum
merindu cumbu harum 
di saat cinta mekarku bercantum
  
Pergiku tak kembali
kerana memburu nikmat syurgawi
itulah yang hakiki itu yang abadi
dan ku tidak mati
bahkan hidup dengan rezki dari Ilahi
  
Kejayaan (kejayaan)
kebahagiaan (kebahagiaan)
bintang syuhada yang dirindukan
  
Datang datanglah wahai syahid 
dambaan mujahid
aku relakan sakit yang sedikit
  
Dari tahanan sementara
biar aku nestapa
demi bahagia untuk selamanya

Raqib Majid yang berkolaborasi dengan UNIC merupakan penyanyi nasyid kegemaran Rizqiey sewaktu dia di alam pengajian lagi. Nasyid itu memberi satu inspirasi kepada dirinya untuk syahid di jalanNya.

Nasyid  itu diulang-ulang melalui corong earphone ketika waktu terluang untuk melepaskan sedikit lelah merawat pesakit-pesakit akibat kekejaman tentera Zionis laknatullah itu.

“Ya Rabb, tiadalah cukup amalku jika dibandingkan dengan para waliMu, juga tiadalah cukup taubatku kepadaMu disebabkan kesibukanku, juga siapalah hambaMu ini mengecapi JannahMu, namun aku juga ingin syahid di jalanMu. Hati kecilnya sayu berkata-kata sepi.”

******

Di suatu pagi hening, Rizqiey memeriksa stok makanannya, kelihatan semakin kurang.

Apa yang aneh di bumi Gaza ini adalah penduduknya tetap menjalankan perniagaan seperti biasa, anak-anak kecil juga bersekolah biarpun mereka semua diancam serangan bom juga peluru berpandu.

Subhanallah, tabahnya penduduk ini. “Hmm, tengok macam dah ok, takkanlah nak harapkan sekuriti belikan makanan. Aku tak boleh pentingkan diri.” Bebel insan yang kelaparan itu.

Entah mengapa hatinya terasa riang hari ini, mungkin hari Jumaat, hari berkat.

Lagi 10 minit untuk sampai ke kedai yang ditujunya, tiba-tiba dia terlihat seorang lelaki beruniform lengkap, tidak lain tidak bukan ialah tentera Zionis laknatullah yang sedang berkawal terhadap dua orang kanak-kanak lelaki.

Dari mata kasarnya, kanak-kanak itu sedang memegang batu-batu kecil untuk dilontar kepada tentera tersebut.

Dengan mengumpul sedikit keberanian, dia menjerit, “Hey you, you do wrong, you do useless thing. I’m not sure why they can sit here with you damn soldier“.

Tentera itu terkejut lantas mengacukan senjatanya ke arah Rizqiey. Tanpa berfikir panjang, tangannya mencapai batu-batu yang berada di situ.

Dia redha dengan apa yang akan berlaku. Kanak-kanak itu harus hidup dengan aman dan selamat. Lalu, dia membaling batu ke arah tentera tersebut sambil melaungkan kalimah Allahuakbar. Dalam masa yang sama, beberapa das tembakan dilepaskan.

Dia yang tidak merasai kesakitan itu, lalu jatuh tersungkur menyembah bumi barokah itu. Rupa- rupanya, beberapa peluru telah tepat mengenai dada, kaki dan tangan insan bertuah itu.

Dengan menutup mata perlahan-lahan, tergambar sahabat-sahabat serta keluarganya yang syahid di medan pertempuran. Senyuman terukir di bibir insan berjiwa murni itu sambil mengalunkan lembut kalimah La ilaha illallah.

Dalam kesamaran, dia terlihat kanak-kanak itu dipapah oleh orang- orang di situ. Kelihatan juga sahabat syurganya, Tariq.

Tariq meluru ke arahnya lantas meribanya. “Tariq, ana ingin syahid. Alhamdulillah anugerah terindah selama ana bergelar Muslim”. Lemah bicara Rizqiey.

Tariq tergamam, air mata jantannya akhirnya gugur jua. Tangannya perlahan-lahan menutup mata sahabat syurganya itu. Innalillahi wa inna ilahi raji’un.

“Damailah sahabatku Rizqiey dalam mahabbah cintaNya di alam sana, Tuhan mendengar doa-doa enta, bersatulah enta dengan para solihin dan mujahidin. Tunggulah Tariq di sana.”

“Janganlah kamu mengira bahawa orang – orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki”. (Surah Ali-Imran Ayat 169)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Nazirah Norman. Berasal dari Kubang Kerian, Kelantan. Bekerja sebagai Pembantu Tadbir N19.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.