,

Aku Dan Muhasabah Diri

Setiap kali aku daftar masuk akaun Facebook mahupun Instagram pasti aku akan melihat gambar-gambar yang dimuat naik oleh rakan-rakan seperjuangan.

Masyallah, aku melihat kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan mereka. Masing-masing ada yang sudah berumah-tangga, bahagia bersama-sama suami dan anak-anak, bekerjaya dan semestinya kerjaya yang amat membanggakan.

Ada antara mereka bekerja sebagai doktor, tentera, jurutera, akauntan, pensyarah, guru dan macam-macam lagilah. Pasti apa yang telah diimpikan dari kecil sudah mereka kecapi.

‘Ya Allah, hebatnya rakan-rakanku.’ Begitulah monolog yang sering diluahkan apabila bersendirian.

Korang tahu tak apa yang paling aku tak suka? Berfikiran negatif. Ya, siapa yang tidak pernah berfikiran negatif? Memang aku tabik laa kan.

Fikiran negatif ni mudah sangat singgah di benak fikiran. Kenapa aku tak dapat kecapi cita-cita aku? Macam mana mereka semua boleh berjaya sedangkan aku masih begini? Masih tidak memiliki kerjaya tetap apatah lagi berumahtangga.

Ya Allah… Allahuakbar… Apa yang aku fikirkan ni? Tak bersyukurkah aku dengan segala nikmat yang Allah telah kurniakan untuk aku?

Kalau nak taip kat sini memang terlalu banyak nikmat Allah S.W.T kurniakan untuk aku sebenarnya. Tak terhitung tahu tak?

Tapi, biasalah fitrah manusia ni suka membanding-bandingkan dan sentiasa mengeluh dengan sesuatu yang tidak sepatutnya. Istighfar banyak-banyak…

Baiklah, untuk kembalikan kesedaran dalam diri, aku mula bermuhasabah diri. Apa sebenarnya ‘muhasabah diri’ ni?

Muhasabah diri ialah memperbetulkan diri sendiri. Sentiasa renungkan apa kesalahan ataupun kekurangan dalam diri yang kita boleh perbetulkan untuk menjadi seorang yang lebih baik. Tak rugi pun kalau kita sentiasa bermuhasabah diri ni sebenarnya.

Melalui muhasabah diri, kita akan menjana sifat positif dalam diri kita. Contohnya, di saat seorang hamba Allah mengalami kekecewaan ataupun kegagalan dalam hidup, kita digalakkan untuk bermuhasabah diri.

Dengan cara ini, kita akan sentiasa berfikiran positif dan kita mudah melangkah untuk perjalanan yang seterusnya.

Dalam erti kata yang mudah yang mana netizen sekarang selalu ungkapkan iaitu “move on”. Apa yang paling penting adalah keyakinan terhadap qada’ dan qadar Allah.

Sentiasalah berbaik sangka dengan ketentuan yang Allah dah aturkan untuk kita. Usaha, usaha, dan terus usaha disamping doa dan tawakal sepenuhnya kepada sang Pencipta.

Bukan asyik mengeluh, resah-gelisah tak tentu hala. Bukan pula asyik bandingkan siapa yang lebih hebat siapa yang lebih berjaya.

Itu semua hanya kejayaan dunia yang mana kita akan mudah dihanyutkan saat taqwa dan iman merudum jatuh buat seketika. Betul tak? Haa… jawablah sendiri tak perlu kongsi.

Lihat saja seekor burung, walaupun berbadan kecil namun ia mampu terbang tinggi di angkasa bahkan kental meredah titisan hujan dan angin kencang. Panas terik pun tidak dihiraukan demi mencari rezeki harian.

Itulah salah satu kehebatan ciptaan Tuhan yang sering aku fikirkan sebab aku ni jenis yang suka sangat renung keindahan alam. Tenang… tiada gangguan.

Berbalik pada topik kita, aku sedar aku perlu sentiasa bermuhasabah diri. Aku ada kelebihan dan kekurangan yang orang lain tiada dan begitulah sebaliknya. Apa yang paling penting, aku perlu perbanyakkan doa pada Yang Esa dan meletakkan sepenuh pengharapan kepada-Nya bukan pada siapa-siapa.

Apa yang aku impikan sebenarnya? Aku cuma mahu kehidupan yang sederhana di dunia tetapi yang bermakna di akhirat sana.

Ya, itulah impian aku. Siapa yang tak mahu masuk syurga kan? Jadi, aku akan semai betul-betul dalam diri ini untuk teruskan bermuhasabah diri walau dalam apa jua situasi.

Dan aku juga sangat percaya untuk setiap kesukaran yang kita hadapi dalam hidup ini pasti ada jalan keluar.

Cuba baca dan hayati maksud ayat Al- quran dari surah Al- Syarh ayat 5-6 pasti kita akan lebih mengerti sebab Allah dah awal-awal bagi peringatan/petunjuk bahawa sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

Baiklah, cukup setakat ini untuk coretan pertama daripada aku insan kerdil yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menjadi seorang yang lebih baik.

Idea untuk menulis ni bukan senang nak hadir. Jadi, jika Allah kurniakan aku ilham untuk menulis aku akan cuba lagi dan lagi.

Semoga bermanfaat untuk aku dan kamu yang sudi membaca bingkisan ringkas ini.

As-salam…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syamimi binti Shafie. Menetap di Klang. Seorang yang simple, suka kanak-kanak, suka lihat dan hayati keindahan alam. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syamimi Shafie.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

9 points
Upvote Downvote

Total votes: 9

Upvotes: 9

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%