, ,

Warkah Kepada Adiknya Ini Mampu Membuatkan Hati Anda Tersentuh

Mungkin ketika engkau membaca warkah ini, engkau berada di dalam perjalanan selepas daripada sebuah perpisahan atau telah menjejakkan kaki di bumi Mesir, tempat untuk memulakan perjuangan.

Kehendak yang mana telah wujud ketika mana engkau di tingkatan lima lagi untuk menuntut ilmu di sana.

Walaupun pada ketika itu kita semua menganggapnya tidak ubah seperti angan-angan biasa dan kadangkala menjadi satu bahan lawak jenaka, tetapi hari ini dan ketika ini engkau akan menapak kaki di sana. Duduk di sana!

Along membuat catatan tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan dan juga sebagai wasiat kepada engkau ketika di sana. Seperti mana Imam Ghazali memberi wasiat kepada anak muridnya dalam kitab Ya Ayyuhal Walad dan itulah cita-cita along dan keluarga.

Pengorban Mak Dan Ayah

Wahai adikku, sesungguhnya kita bukan dilahirkan daripada keluarga yang senang bahkan banyak kemahuan yang kita cita-citakan dulu masih belum tertunai.

Tetapi ia bukan penentu untuk kita tidak mencapai apa yang kita mahukan kerana kemahuan itu tidak semestinya tercapai dengan wang dan juga dengan kekayaan. Sebaliknya kemahuan itu tercapai dengan kehendak Tuhan.

Syukri, orang yang paling patut engkau berterima kasih adalah mak. Insan yang telah mengandungkan engkau dan selama itu mak menanggung segala keperitan kesusahan atas kesusahan yang lain. Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat ke 14:

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)…”

Mak adalah insan yang sentiasa menjadikan dirinya pelindung kepada kesusahan anak-anaknya. Kebiasaan bilamana kita susah, siapa kita mengadu? Mak.

Sebabnya mak lebih memahami kita dalam banyak perkara hatta kalau kita dalam kesusahan pun mak akan tahu, walaupun kita adik-beradik seringkali menyembunyikan banyak perkara supaya mak dan ayah tidak risau.

Sesungguhnya insan yang paling banyak mengalirkan air matanya kerana kita adalah mak. Jangan lupa itu, Syukri.

Ingat, ketika mana ayah dulu belum bertemu dengan mak. Keluarganya dipandang rendah lantaran kemiskinannya.

Dalam beberapa keadaan di rumah ayah dulu, dapurnya belum tentu ada beras untuk dimakan, lauk-pauk untuk dijamah tetapi mengharapkan tulang 4 keratnya untuk mengisi perut yang kosang untuk hari itu.

Beza dengan kita sekarang. Along teringat kata-kata Pak Uda, anak Neksu di Batu Pahat yang mana dia pernah cakap, “Dulu tiada orang nak jadikan ayah kau menantu kerana takut masa depan anak perempuannya menjadi gelap!

Begitulah sebahagian tanggapan orang terhadap ayah.

Along menceritakan ini bukan untuk menunjukkan kesusahan keluarga ayah dulu tetapi sebagai peringatan bahawasanya kita anak-anak ayah lebih beruntung dan lebih berpeluang. Kesenangan dan peluang yang engkau ada ini perlu digunakan sebaik mungkin.

Tidakkah engkau tahu bahawasanya ayah pernah patah tulangnya kerana mencari rezeki untuk kita? Bukankah kita pernah melihat ayah kesakitan lantaran kerjanya yang berat?

Semua itu bukan kerana memenuhi keperluan dia tetapi kerana anak-anaknya.

Pernah ayah bercakap dengan along, “Suatu hari nanti bilamana korang dah ada tanggungjawab, korang akan ketepikan sifat malu demi mencari rezeki untuk apa yang dipertanggungjawabkan. Begitu juga dengan ayah.”

Walaupun ayah cuma buruh binaan yang biasa, tapi kita semua berbangga kerana dengan pekerjaan itulah ayah membesarkan kita semua. Jadi, pasakkan dalam dirimu itu untuk berbakti kepada ayah kerana pengorbanannya sangatlah besar kepada kita.

Rakan Dan Guru Yang Baik

Tidaklah along nampak sifat yang ada dalam diri engkau itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh teman-teman yang baik.

Berapa ramai kita lihat di luar sana yang mana ayah dan maknya orang yang soleh tetapi tidak anak-anaknya lantaran kerana mereka tersalah pilih teman.

Syukri, engkau mempunyai teman-teman yang baik. Yang selalu membantumu dalam agamamu dan menjadi asbab utama kehendak yang engkau miliki hari ini.

Sebahagian mereka sedang melanjutkan pengajian di luar negara, sebahagian lagi hanya menunggu masa untuk pergi menuruti, yang mana mereka ini akan menjadi insan yang berjuang bersama-sama engkau nanti. Benarlah hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

“Seseorang itu berada di atas agama temannya, maka hendaklah kalian melihat siapa yang menjadi teman dekatnya.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Teman-teman yang bersahabat dengan engkau kebanyakannya berkongsi guru yang sama. Sesungguhnya guru yang hebat akan melahirkan anak murid yang hebat.

Itulah sunnatullah yang biasa berlaku seperti para sahabat nabi yang dididik oleh air tangan Rasulullah SAW sendiri.

Malah, tidaklah terlalu berlebihan jika along menyatakan bahawasanya Ustaz Mat Esa Deraman (TokKu Pasir Gudang) adalah insan yang paling banyak mempengaruhi engkau dalam setiap tindakan.

Hatta, kursus apa untuk diambil di Al-Azhar pun engkau merujuk apa yang diambil oleh Ustaz Mat Esa Deraman ketika beliau belajar di sana.

Along masih ingat lagi, pertemuan pertama kita dengan ustaz adalah pada bulan Ramadhan tahun 2014 yang mana kitab yang kita belajar adalah Wasiat Ibnu Qudamah Al Maqdisi.

Mulai dari situ kita mendampinginya, menelaah ilmu yang disampaikan dan sedaya upaya untuk menghadiri kuliah beliau setiap hari walaupun agak jauh di Pasir Gudang.

Sebenarnya, ustaz banyak berjasa dekat kita terutamanya kepada engkau secara langsung atau sebaliknya. Oleh itu, ingatlah jasa beliau dan selalulah mendoakan kebaikan ustaz sebagai nilai akhlak kita kepada guru.

Al-Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulumuddin ada menukilkan kisah akhlak Imam Ahmad bin Hanbal terhadap gurunya al-Imam al-Syafi’e. Diriwayatkan bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan:

“Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam al-Syafi’e, semoga Allah SWT merahmatinya.”

Dan pasakkan ingatanmu dengan pesanan ini supaya menjadi tuntutan engkau di sana mendampingi alim ulama’. Sesungguhnya, ahli hikmah menyatakan:

“Hai anakku, hampirilah dengan fuqaha’ dan belajar daripadanya nescaya kamu menjadi ulama.”

Menjadi Asbab Yang Baik Kepada Kami

Adikku, orang yang paling berat untuk melepaskan engkau menyambung pengajian di sana adalah mak dan ayah.

Tentunya mereka berfikir banyak perkara dan benda sebelum mereka redha atas pemergian engkau di sana.

Tempat yang mana asing bagi engkau. Tempat yang mana tiada sanak-saudara dan tiada orang untuk bergantung harap.

Walaupun begitu, mereka berharap agar suatu hari kelak engkau akan membawa sesuatu yang sangat berharga .Jika tidak di dunia, kelak di akhirat.

Hendaklah engkau tahu bahawasanya ayah dan mak selalu melahirkan kegusaran dekat along dan adik-beradik yang lain apabila dapat tahu yang engkau ingin melanjutkan pengajian di sana.

Pelbagai perkara yang bermain dalam kotak pemikiran mereka. Tetapi, disebabkan ayah dan mak ingin melihat engkau menjadi seorang yang berilmu dan soleh bahkan mereka mengharapkan apabila engkau pulang kelak, engkau akan menjadi pejuang dalam agama dan membetulkan banyak perkara yang salah dalam masyarakat.

Wahai adikku, sesungguhnya manusia itu pasti akan bertemu dengan kematian dan akan dihimpunkan di padang mahsyar.

Di sana kelak, pastinya keadaan amat menakutkan dan masing-masing di antara kita akan menyatakan, “Nafsi, nafsi”. Jika engkau dalam kalangan orang yang soleh, bantulah kami.

Mungkin ada dalam kalangan keluarga kita tidak terselamat daripada azab api neraka dan jika ditakdirkan begitu, dengan segala kemuliaan yang ada pada dirimu, mintalah tolong kepada Allah SWT untuk keluarkan kami daripada azab yang dahsyat itu.

Itulah harapan terbesar kami kepadamu.

Selamat Berjuang Di Sana

‘Ala kullihal, apa yang engkau hajatkan kini telah menjadi kenyataan. Sekarang tibalah masa untuk engkau menjadi insan yang tamak dalam menuntut ilmu di sana.

Tiada istilah penat dalam kembara engkau di sana kerana ilmu itu tidak akan diperoleh dengan mudah kecuali dengan pengorbanan yang besar.

Ingatlah kata seorang tabi’in Abu Nard Yahya Bin Abi Kathir al-Yamani yang mana separuh daripada kalam ini dimuatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, iaitu:

“Warisan ilmu itu lebih baik daripada warisan emas, jiwa yang solehah lebih baik daripada permata lu’lu’, dan tidaklah mampu diperolehi ilmu dengan kerehatan tubuh badan.”

Ketika mana di balai pelepasan hati ini sedih melihat insan yang selalu bercerita dengan along tentang pelbagai perkara termasuklah kepayahan, kesusahan, cita-cita dan angan-angan, kini akan meninggalkan kami dan belum tentu lagi akan bertemu lagi.

Hanya satu yang terlintas di hati iaitu mata yang berair kecil ini adalah tanda syukur dan gembira atas perginya engkau di sana. Along ingin ingatkan dan ia juga merupakan pesanan satu keluarga kepada engkau di sana iaitu…

Selamat berjuang wahai adikku!

 

*Penulisan ini ditujukan kepada adik penulis bernama Muhamad Syukri Bin Salim yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru, Johor. Sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana (Master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan UTM, Skudai.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%