Pertama kali aku menulis tentang ukhuwah, jari-jemari halusku kaku tak berkutik, hanya merenung skrin putih di hadapan.
Terdiam. Ligat berfikir. Kata apa yang perlu aku mulakan, susunan apa yang perlu aku aturkan. Jeda. Hentakan papan kekunci ini terlalu lambat, tidak selaju sang mulut apabila bercerita.
Mungkin ada yang masih belum maklum, ukhwah secara mudahnya bermaksud, saudara, teman, sahabat dan lain-lain.
Jika ingin maksud yang lebih mendalam, boleh dikatakan ukhuwah itu dikatakan seperti perasaan kasih sayang, bantu-membantu dan bertolak ansur sesama manusia khususnya.
Selalunya, frasa ‘ukhwah’ akan dikaitkan dengan golongan yang soleh-solehah, mereka yang selalu mengikut bulatan gembira, misalnya.
Tidak kurang juga ramai yang suka bercia-cia-cia ‘semoga ukhuwah antara kita terbina hingga ke syurga’ atau yang lebih selalu kita dengar ‘semoga ukhwah kita ini Lillah.’
Kalau aku sendiri, detik aku memahami makna ukhwah itu adalah apabila aku membaca kisah persahabatan Rasulullah dan Abu Bakar As-Siddiq.
Di saat seluruh penduduk mekah tidak mempercayai Baginda, Abu Bakar membenarkan. Di saat banyak manusia yang mengejar Baginda untuk dibunuh, Abu Bakar bersedia untuk lari bersama.
Malah ketika sang ular sudah mematuk kaki Abu Bakar, beliau tak berganjak meski sakit kerana khuatir Baginda Nabi terjaga.
Aku juga memahami makna ukhwah lewat pembelajaranku ketika sekolah menengah, tentang Hijrah. Tentang kaum Muhajirin dan Ansar yang telah dipersaudarakan oleh Rasulullah sejurus Baginda tiba di Madinah.
Bagaimana mungkin kita memberikan kemudahan dan keselesaan yang kita ada untuk orang yang baru sahaja kita kenal, bukan?
Tetapi orang Ansar tidak begitu. Jangankan makanan, isteri sendiri pun kalau boleh hendak ditawarkan, seperti pelawaan Saad bin Rabi kepada Abdul Rahman bin Auf.
Merasakan nikmatnya berukhwah itu belum pernah aku rasakan ketika sekolah menengah, semuanya sederhana. Dek keadaan aku yang lebih suka bergerak sendiri, aku lebih bebas, tidak bergantung dan tergantung.
Namun, setelah aku terbang ke bumi Anbiya’ ini, hidup di dalam sebuah rumah bersama lima insan yang baru, ada ruang tamu, ada bilik sendiri, ada jiran berbangsa asing, bukan sebuah kamar panjang yang penuh dengan 20 katil tersusun panjang hingga ke hujung, 20 almari di sudut dinding, segalanya berubah. Aku perlu belajar untuk tidak hidup sendiri.
Menjadi anak muda, aku perlu berusaha untuk mengadaptasi kehidupan baru, untuk sering bermanis muka dan berlapang dada, dengan ego yang perlu diruntuhkan, ia menjadi warna-warni dalam kehidupan baruku.
Walaupun jauh daripada ibu bapa, antara pengikat hubungan kami serumah untuk menjadi sebuah keluarga adalah dua jiran Arab kami yang sangat baik hati. Kami menggelarkan mereka berdua Umi. Umi sebelah dan Umi atas.
Umi sebelah sebenarnya seorang nenek dan merupakan bekas jurutera, suaminya juga sama. Anak lelakinya juga jurutera. Yang membuatkan aku tertarik dan pelik adalah, menantunya seorang ahli farmasi. Boleh abaikan kepelikan ini.
Aku ingat lagi, ketika kami dijemput ke rumah Umi , dia terus mengambil sebuah mushaf dan meminta salah seorang di antara kami untuk mentasmi’ bacaan.
Semua ahli beytku perlahan-lahan berundur ke belakang dan memberi laluan kepadaku. Lucu. Aku pun terkedu.
Umi atas pula masih muda dalam lingkungan 40-an, dan mempunyai dua anak gadis lebih kurang sebaya kami umurnya. Senyumannya manis dan menenangkan. Dia sangat penyayang dan mengambil berat tentang kami.
Ketika musim sejuk tiba, kebanyakan kawan-kawanku daripada beyt yang lain sudah bersedia dengan heater masing-masing. Tetapi oleh sebab semua ahli beytku penjimat orangnya, maka kami semua rela bertahan di dalam kesejukan.
Alhamdulillah, Umi sebelah datang dan memberikan dua selimut tebal yang besar untuk kami berenam. Malah keesokan harinya Umi atas pula turun dan memberikan sebuah heater berwarna merah untuk kami.
Aku masih teringat bubur kacang yang Umi buat untuk kami dengan nasihatnya supaya menjaga makan agar tidak sakit.
Juga kushairi handmade Umi sebelah yang rasanya lebih enak daripada kubeli di Shabrawi. Terasa manis bila ada yang sayang dan memberi perhatian, bukan?
Di antara memori ketika orentasi, kebanyakan senpai akan menasihatkan untuk berhati-hati dengan orang Arab di sini. Jangan terlalu mudah percaya orang, jangan tunjuk sangat bendul tu, sebab orang Arab suka menipu orang Malaysia yang kecik-kecik ni.
Ada juga senpai yang jujur memberitahu kalau sehari tidak bergaduh dengan orang Arab ni mesti tidak sah sebab perangai mereka yang suka mencari pasal.
Namun aku bersyukur apabila ada yang menasihatiku untuk sentiasa mencari mutiara di dalam debu bumi ini. Aku bersyukur apabila selalu dinasihatkan untuk memandang daripada sudut yang positif.
Jika kaca mata kita berhabuk, jangan salahkan orang lain apabila pandangan terasa kabur. Aku bersyukur kerana selalu diingatkan bahawa di sini tidak semua orang sebaik Musa dan tidak semua orang sejahat Firaun.
Pilih hendak jadi yang mana!
Dipendekkan cerita, dua kali Ramadhanku di perantauan, Umi tidak pernah lupa menjemput kami ke rumahnya, walaupun kami semua sudah pindah setahun kemudian.
Hidangan di atas meja memang berkelas lima bintang, semuanya dimasak sendiri dengan air tangan penuh cinta, memang perut penuh apabila kami pulang ke rumah.
Kadang-kadang apabila mindaku teringat Umi, tiba-tiba Allah menggerakkannya untuk menelefonku dan bertanya khabar. Tiba-tiba sahaja. Ajaib.
Tindakan jiran Arabku, walaupun mungkin tidak sebesar golongan Ansar yang sanggup memberikan semua milik mereka kepada golongan Muhajrin, sudah membuatkan aku jatuh cinta.
Perhatian mereka, kasih sayang mereka, budi pekerti mereka, semuanya halus dan tulus. Meminta balasan? Jauh sekali! Jadi bagaimana pula perasaan golongan Muhajirin kepada golongan Ansar ya? Saat mereka ditolong sepenuh hati?
Jika diberikan ruang dan peluang, aku ingin merasakan manisnya ukhwah seperti Muhajirin dan Ansar. Ukhwah yang sebenar. Dengan ketelusan dan kesediaan untuk berkorban.
Bukan hanya manis di mulut tapi liat untuk dibuktikan. Bukan semata-mata puisi indah di status muka buku tetapi kaku tika bertemu. Ukhuwah yang terjalin tanpa memerlukan asbab musabbab.
Walau tanpa ikatan darah, walau dengan sekejap perkenalan. Sebuah ukhuwah yang asing.
Berikan kami cintaMu, ya Allah dan cinta orang-orang yang mencintaiMu. Dan perbuatan yang mendekatkan kami kepada cintaMu.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Liana yang merupakan mahasiswa Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.