Setiap kali tibanya bulan Ramadan, ayat ke-183 daripada Surah al-Baqarah sering kali kedengaran di corong-corong radio dan kaca televisyen.
Dibaca oleh para ustazah yang memberikan ceramah.
Ayat tentang ibadah puasa di bulan Ramadan. Namun, tahukah kita apakah sebenarnya natijah yang ingin diraih daripada ibadah ini?
Takwa. Itulah natijah yang seharusnya dikejar oleh setiap Mukimin di sepanjang bulan Ramadan dengan berpuasa.
Dengan takwa, momentum Ramadan dapat dikekalkan walaupun sedikit sehinggalah tiba Ramadan yang berikutnya.
Mukimin yang Bertakwa
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” - QS Al-Baqarah 2: 183)
Jika diperhatikan, dengan jelas Allah tujukan ayat ini kepada orang-orang beriman tentang kewajipan berpuasa di bulan Ramadan.
Kemudian, diakhiri pula dengan ungkapan “supaya kamu bertakwa.”
Hal ini bermakna, orang Mukmin yang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, natijah yang diharapkan ialah takwa.
Namun apakah pula takwa? Antara takrifan takwa ialah berlindung.
Apabila disebut “Bertakwahlah kepada Allah!” bermakna jadikanlah Allah sebagai pelindung.
Justeru, itulah yang diharapkan oleh setiap Mukmin. Setiap kali tibanya bulan Ramadan dan menjalani ibadah puasa, seolah-olahnya kita sedang memperbaharu benteng kita.
Benteng bagi menghadapi godaan hidup.
Caranya dengan menunaikan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.
Dari situ, kita akan sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah sehinggalah bertemu Ramadan yang berikutnya.
Itulah maksud menjadi orang yang bertakwa.
Tiket Menjadi Tetamu Allah
Mengapa perlu menjadi orang yang bertakwa? Itulah persoalan yang mungkin bermain di minda kita.
Benar, perkataan takwa ini sering kali disebut.
Namun, sayangnya nilai takwa itu sendiri tidak ramai yang tahu sehingga apabila berakhirnya bulan Ramadan, diri kembali menjadi seperti sebelumnya. Tiada apa-apa perubahan.
Sebenarnya, takwa merupakan tiket untuk kita menjadi tetamu Allah di Padang Mahsyar kelak.
Bagai tiket untuk memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.
Namun, tiket takwa lebih besar nilainya daripada tiket biasa.
Tanpanya, sudah tentu kita akan terlepas saat-saat yang agung ini.
Buktinya? Firman Allah SWT: “(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman dengan berpasukan-pasukan.” -QS Al-Maryam 19: 85)
Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa hanya orang yang bertakwa sahaja yang bakal mendapat kemuliaan mengadap Allah SWT.
Maka, salah satu cara untuk mendapatkan tiket takwa ini adalah dengan berpuasa di bulan Ramadan.
Usahakan yang terbaik agar tiket ini dapat diperoleh.
Ya Allah, kami bermohon agar tergolong dalam hamba-hamba-Mu yang bertakwa.
Agar kelak kami dapat mengadap-Mu di akhirat. Pandulah tingkah laku kami agar sentiasa berada di jalan takwa. Amin.
Rujukan:
Al-Qur'anul Karim, Surah al-Baqarah 2: 183
Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Maryam 19: 85